Tuesday 14 June 2016

Vehaen II: Rif'at (Prolog ~ Bab 1) ~ Ainul Farihah

PROLOG

Amrullah menapak satu demi satu langkah mengelilingi bilik kawalan serba putih itu. Kesejukan terasa hingga ke tulang belulang biarpun badannya sudah dibalut dua lapis baju beserta satu hoodie sweater. Mesyuarat tergempar sedang berlangsung antara penyumbang-penyumbang dana untuk misi terdekat ini, melibatkan ayah dan rakan-rakannya.
Dr. Abu Khairuddin juga ada, datang dari Malaysia untuk menghadiri mesyurat besar itu.
Mata Amrullah tertancap pada skrin besar bilik kawalan tersebut, jelas memaparkan peta dunia dengan beberapa negara ditanda dengan warna yang berlainan. Hijau, merah, oren dan pelbagai lagi label. Syria, Mesir, dan… Palestin.
Amrullah senyum saat matanya meneliti peta negara Palestin. Peta Semenanjung Gaza yang telah bertukar hijau sejak beberapa tahun yang lepas, tanda kawasan itu bebas dari cengkaman Israel seratus peratus manakala kawasan Tebing Barat masih berwarna oren, tanda ia dalam usaha membangun dan melepaskan diri dari cengkaman barat.
Perang besar dunia antara negara Islam dan negara-negara seperti Amerika dan Israel akan tercetus tidak lama lagi, menggemparkan penduduk dunia. Amrullah mahu pastikan penglibatannya dalam misi besar ini, menyumbang untuk umat semampunya.
Seperti mana sahabatnya Rif’at berpeluang menjadi antara tentera Gaza yang menggemparkan dunia dengan gelombang tentera pemuda yang membebaskan Semenanjung Gaza daripada cengkaman Israel, jiwa muda Amrullah terinspirasi.
Dia masih ingat peristiwa itu. Bagaimana dia dan rakan-rakannya mengikuti perkembangan semasa oleh media antarabangsa mengenai kebangkitan tentera ‘misteri’ Gaza, menakluk satu persatu kawasan-kawasan penting bagi ketenteraan Israel dalam Semenanjung Gaza.
Dia masih ingat ketika tersebarnya berita gembira bahawa tentera Gaza memenangi semua serangan bertali arus yang mereka rancang sehingga akhirnya, Semenanjung Gaza bebas berada di bawah pemerintahan sendiri dan berita tersebut turut membuatkan umat Islam di seluruh dunia sedikit demi sedikit peka dengan isu islami serta berwaspada dengan propaganda barat dan permainan media mereka.
Amrullah termasuk antara yang teramat gembira mendengarkan itu kerana dia tahu, sahabatnya adalah salah seorang manusia-manusia hebat bergelar pemuda  yang menyumbang kepada nama Islam itu sendiri.
Segala yang masih segar diingatannya itu berlaku beberapa tahun lepas……
 ***

BAB 1

“Any last word?” tanya Rif’at.
“Sujud di hadapan Masjidil Aqsa untuk aku,” kata Amrullah.
“Bebaskan Palestin untuk aku..” Imran ketawa kecil.
Rif’at turut ketawa. “Amboi.. sujud tu aku boleh kompromilah. Tapi kalau bebaskan Palestin, aku tak cakap mustahil. Cuma kalau tak sempat, aku tinggalkan mujahid-mujahid generasi harapan ummah untuk tunaikan permintaan kau. Permintaan tu pun, bukan kau seorang je nak,”.
“Apa-apalah…any last word for us?” Imran bertanya.
Rif’at menjulingkan mata ke atas, berfikir. “Ummm…Am, memandangkan kau ambil film studies…”
“Languages juga..” Amrullah menambah.
“Yelah…untuk film studies, aku harap aku sempat dengar hiburan dunia ni direkrut oleh hiburan islami…dan selamat menjadi translater yang hebat,” Rif’at menepuk bahu Amrullah. “Kalau kau datang Gaza, aku cakap arab pun kau fahamlah..”
“Tapi aku mana belajar bahasa arab,” Amrullah berkata. Imran mengangguk, menyokong.
“Well, aku suggest kau belajar bahasa syurga tu..Senang kita lepak-lepak di syurga nanti,” Rif’at sengih. Penyataannya disambut dengan tawa riang Amrullah dan Imran. Pandangannya beralih pula pada Imran. “Kau nak jadi apa actually?”.
“Aku ambil engineering, tapi merangkap IT juga,” Imran sengih. “Nakal ya kau…Dua tahun aku belajar di Vehaen pun tak tahu ambil apa..”
“Bukan tak tahu, tak faham je.. Aku tahulah kau ambil Engineering and International studies.. So, kau conquer IT akan datang, sebarkan fikrah islam guna gadget tu,” Rif’at memandang Imran.
“Insya-Allah…” Big dream, ey.
“Ehem…” Syafiq berdehem, mewakili tiga orang lagi rakannya. Imran, Amrullah, dan Rif’at ketawa. Terlupa bahawa mereka bertujuh, bukan bertiga.
Rif’at menghadap keempat-empat rakannya. “Kau orang, jadi atlet beriman yang berjaya. Jadi qudwah untuk atlet-atlet bola sepak yang lain. Bawa nama Islam di padang, dan sinarkannya pada dunia..”
“Insya-Allah…our dream too,” Baqli berkata. Tangannya menepuk-nepuk bahu Rif’at. Seorang demi seorang bersalaman dan berdakapan dengan Rif’at.
“Jangan lupa aku…terutamanya dalam doa kau orang,” Senyum Rif’at menembusi hati mereka.
Amrullah mengangguk.
“Never never ever, bro..” Imran senyum.
***
“Kita tidak akan biarkan ukhuwah kita pudar…walau apa pun yang terjadi,”.
“Janji?” Teragak-agak Imran bertanya. Amrullah mengangguk.
“Bi iznillah, kita janji, Insya-Allah,” ujar Rif’at.
Imran memejam mata. Walau apa pun yang jadi Rif… Itu janji kita.

***
“Uhuk..” Batuk seorang lelaki yang duduk bersebelahan dengannya di dalam pesawat itu membuatkan Rif’at terjaga sepenuhnya dari lena. Suasana kapal terbang tersebut masih lagi serupa seperti mana kali terakhir dilihatnya sebelum dia dibuai lena. Lampu yang dipasang agak malap. Sepi menyelubungi. Kebanyakan penumpang turut tidur.
Beberapa saat berlalu sebelum otak Rif’at berjaya mencerna situasi di sekelilingnya. Dia kemudiannya menarik nafas dalam-dalam sebelum menghelanya sambil menoleh ke kanan, membuang pandang ke arah tingkap. Hanya kelihatan awan nipis di langit malam.
Bulan… tidak pula kelihatan.
“Tak nampak bulan tak bermakna bulan tu tak ada,”.
Senyuman automatik menghiasi bibir Rif’at tatkala suara itu bergema dalam kepala.
Im… Am… rindu gila aku dekat korang. Hatinya berbicara. Aaah… malas la layan rindu ni. Sekali hati dah sebut rindu, kejap lagi mula la rindu pula pada abi, umi, rumah, Vehaen, dan semua yang berada dalam ingatannya.
Hakikatnya, ada rindu yang lebih kuat dalam diri. Rindu yang membuatkan dia kini berada di atas pesawat itu. Rindu yang mengatasi rindu pada perkara yang lainnya. Rindu… pada tanah airnya, tempat asalnya, bumi baitul maqdis.
Badannya ditegakkan. Mata mencuri pandang ke arah jam tangan. Menurut perkiraannya, masih ada baki lebih kurang tiga jam sebelum kapal terbang mendarat di lapangan terbang antarabangsa mesir. Mata sudah tidak mahu lelap. Tangannya lantas mengeluarkan telefon pintar, lekas sahaja membuka berita terkini berkenaan destinasi yang dituju. Semenjak dua minggu lepas, itu lah tabiatnya. Mengambil tahu info semasa berkenaan suasana di Palestin, sama ada di Gaza ataupun Tebing Barat.
Dia akui, perasaan gementar sekali sekala turut menjengah tatkala melihatkan keamanan Palestin dalam fasa yang agak meruncing.  Namun tekad dibulatkan hingga mengalahkan rasa gementar yang pada Rif’at, cumalah hadir dek kiriman syaitan.
Serangan bom di Jabaliya dan Tulkarm. Gaza dan Tebing Barat diserang dalam satu malam.
“Allahu…” Terkeluar kalimah itu dari mulut Rif’at. Bersediakah aku…?
***
JABALIYA, GAZA. 0113
“BAM!”
Dia dapat merasakan seseorang berguling  bagi mengelakkan tembakan lantas kepala orang itu melanggar kakinya.
Ughh…pedih…
Tanpa mempedulikan siapa pun orang itu, Najdat lekas tunduk lalu menarik tubuh itu ke belakang dan bersembunyi dari pandangan tentera zionis yang menghampiri. Sekitar dua atau tiga orang tentera Israel melepasi runtuhan bangunan yang menjadi tempat persembunyian mereka.
Tanpa perlu amaran, kedua-duanya menahan nafas seboleh mungkin.
Detik yang berlalu terasa begitu lama dan perlahan. Derapan kaki tentera zionis agak membingungkan bagi mereka berdua untuk mengagak. Posisi dan jarak mereka dengan tentera lawan seakan bercampur dengan dentuman serta bunyi jeritan yang bergema tidak jauh dari kawasan itu.
“BAM! BAM!”
Bunyi dua das tembakan tidak jauh dari situ secara automatiknya membuatkan tiga tentera zionis itu berlari-lari anak meninggalkan tempat tersebut. Setelah pasti hanya mereka berdua yang tinggal di balik runtuhan bangunan 12 tingkat itu, Najdat melepaskan pautannya pada bahu manusia yang diseretnya tadi.
“Siapa?”. Suara itu bertanya. Dalam kegelapan malam, kedua-duanya tidak mengenali antara satu sama lain.
“Aku,” Ringkas Najdat menjawab.
“Oh, Najdat,” Sungguh seringkas-ringkas jawapan itu paling dikenali oleh rakan-rakannya.
“Fida’?”.
“Uhuh…” Fida’ tunduk mencapai raifal Najdat yang terjatuh tatkala menariknya tadi. “Terima kasih. Nyaris sungguh tadi,”.
Ungkapan itu cuma dibalas dengan senyuman.
“Yang lain bagaimana? Kau pula dari mana?”.
Fida’ angkat muka. “Semua dah berpecah ke kawasan masing-masing selepas tentera-tentera tu mula masuk ke sini. Sebelum aku sampai sini, Muntasir dan  Solah ada di belakang aku. Kali terakhir aku nampak Basyir pula, dia ditembak di bahu kiri tapi cepat cari tempat berlindung,”.
Riak Najdat kekal seperti selalunya. Tenang tanpa senyuman. Tidak pula disusuli senyuman. Fida’ sudah melangkah ke hadapan, menjenguk keluar dari bangunan tersebut sambal memastikan laluan tersebut selamat.
“Kau?” Soalan dipulangkan.
“Aku jaga kawasan ni tadi, ada lima enam orang juga yang bersembunyi di sini. Asim dah bawa mereka ke tempat yang lagi selamat,”.
Fida’ mengangguk. “Dari awal kita gerak tadi, kau cuma di sini?”.
Najdat mengangguk meskipun dia tahu Fida’ sudah tidak mengendahkan jawapannya tatkala sahabatnya itu duduk mencangkung, meneliti sesuatu di lantai bangunan yang penuh debu itu. Darah. Pekat kelihatan disimbah cahaya lampu jalan dari luar. Tanpa berganjak dari posisinya, Najdat hanya diam memerhati Fida’ yang menyentuh darah itu dengan telunjuknya lantas memandang sekeliling. Mencari mayat atau tubuh mangsa tembakan barangkali.
“Ini darah baru,” Berkerut wajah Fida’ mengungkap kata-kata. Langsung tidak dipandangnya Najdat. “Ada yang tercederakah waktu Asim selamatkan orang lain tadi?”.
Najdat menggeleng.
Jeda sebentar sebelum Fida’ bangun dan berjalan ke arah Najdat lalu tunduk.
“Kau cedera,” Ujar Fida’. Tangannya merasai kehangatan darah yang masih mengalir keluar dari betis kiri Najdat. “Duduk,”.
Empat saat detik yang diambil oleh Najdat sebelum menurut kata-kata sahabatnya itu. Wajahnya kekal seperti biasa, tidak bereaksi namun Fida’ dapat mengesan raut wajah yang menunjukkan Najdat sedang menahan sakit.
“Haih…” Nafas berat dihela. “Kau ni memang tak reti nak cakap ya kalau ditembak?” Padan la dari tadi berdiri di situ. Fida’ kini duduk di hadapan Najdat. Kain pengikat kepala berwarna hijau miliknya ditanggalkan, sebelum dijadikan sebagai pembalut sementara untuk menghentikan pendarahan.
Raifal Najdat pula dicapai.
“Bagus betul..” Ujar Fida’ setelah mendapati kelongsong peluru raifal sahabatnya itu kosong.
                                                                                                ***
LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA CAIRO, MESIR
Pasukan perubatan yang dihantar dari Malaysia berjumlah hanya lebih kurang 23 orang semuanya termasuk Rif’at. Sepanjang dalam penerbangan tadi, tidak ada satu pun wajah-wajah yang kini berada di hadapannya kelihatan.. Orang pertama yang menyapanya adalah seorang pemuda yang tua setahun daripadanya. Namanya Yusuf Qaradhawi.
Teruja Rif’at mendengarkan nama itu. Nama bekas ketua ulama’ dunia yang ulung pada suatu masa dahulu. Zaman ketika dia masih belum lahir barangkali. Namun sejarah hidupnya banyak dibukukan. Buku-buku tulisannya juga banyak berada di rak buku di rumah. Antara nama masyhur yang penulisannya banyak berada dalam koleksi buku abi selain Dr. Zakir Naik, Nouman Ali Khan, Mufti Menk dan banyak lagi. Barangkali itu semua figura-figura Islam yang hebat zaman abi masih muda sepertinya.
“Wah, belum sampai Gaza, aku dah jumpa orang Gaza,” canda Yusuf ketika Rif’at memperkenalkan diri. Menurut Yusuf, dia merupakan salah seorang pelajar umi Rif’at. Dia mengenali Rif’at pun kerana Dr. Abu Khairuddin sendiri pernah bagitahu secara umum mengenai penyertaan Rif’at dalam pasukan ini sekadar menumpang sehinggalah tamat ekspedisi paramedik ini di Gaza.
Melihat wajah Rif’at sahaja, ramai daripada mereka di situ yang dapat meneka bahawa dia lah yang dimaksudkan oleh Dr. Abu Khairuddin. Wajah anak arab. Untuk pertemuan awal, Rif’at tidak banyak bercakap melainkan hanya memerhati. Semua yang berada dalam pasukan itu semuanya dalam lingkungan 20-an hingga awal 30-an. Semua daripada mereka semestinya menceburi bidang perubatan, farmasi dan yang seangkatan dengannya.
“Aku Irfan Halim,” Seorang pemuda sederhana tinggi dan tegap menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Rif’at. Sebelah tangannya memegang erat sebuah handicam. Seorang lagi pemuda dengan ketinggian mencecah 180 cm menghampiri Yusuf, Rif’at, dan Irfan dengan gaya bersahaja sambil mulutnya bergerak menutur sesuatu.
“Sedamai desa nan permai… Asyiknya suasana hidup bersama Islam…”. Sedap suaranya, serak-serak basah.
Indahnya Hidup Bersyariat – Najahan. Laju Rif’at meneka. Mamat tinggi lampai ni tengah menyayi rupanya.
“Azhan Asyraf,” Lelaki tinggi itu hulur tangan dengan senyuman.
“Rif’at,” Huluran bersambut.
Seperti hari pertama keberangkatannya ke Vehaen, hari itu merupakan antara hari Rif’at banyak mengenal orang baru. Rif’at akui, mengenali ramai susuk tubuh para doktor atau bakal doktor ini agak menyeronokkan. Biarpun mereka semua berada dalam satu bidang kerjaya yang sama, Rif’at dapat lihat perbezaan generasi dari segi perwatakan mereka. Ada yang semacam ayah-ayah, perangainya agak matang. Ada yang masih muda bujang, perangai bukan main sempoi dan gila-gila.
Melihatkan teman-teman baru yang jenis kepala macam ‘senget’ sikit ternyata membuatkan Rif’at merindui kebisingan seorang Imran dan Amrullah, serta rakan-rakannya yang lain. Bila dipejam mata dan berfikir, baru seminggu lebih berlalu sejak dia meninggalkan mereka semua.

Baru seminggu. 

No comments:

Post a Comment