LUQMAN
Salam.
Saya dah kat gate belakang ni.
Mardhiyah
Kejap.
Faisal belum turun.
Luqman
Ok.
Cepat sikit ya. Banyak nyamuk ni.
Mardhiyah tersenyum-senyum melihat
pesanan ringkas WhatsApp yang masuk.
Luqman. Luqman Arif.
Samsung tab di ribanya tiba-tiba
bergegar lagi. Mardhiyah menekan skrin.
Luqman
Dah
makan? Malam ni kami buat BBQ. Jom ikut sekali.
Mengada-ada, Mardhiyah mengetap
bibir menahan senyum.
Mardhiyah
Tak
ada kaitan dengan perkhemahan, tiba-tiba tunjuk muka waktu makan. Nanti orang
kata muka tak malu.
Luqman
Awak
kan wakil Pengarah. Saya Kem Komandan. Awak jemputan khas saya.
Mardhiyah sudah tersenyum panjang.
Luqman
Susup
masuk bawah pagar, tak pula malu hahaa…
Jomlah…
ikhlas ajak ni. Ada ayam panggang madu, saya masak tau. Resepi istimewa
keluarga saya.
Mardhiyah sudah tergelak kecik
membaca pesanan ringkas itu. Eleh, pandai hendak pancing kita supaya datang,
siap kata ada resepi istimewa lagi. Hesy, tapi segan pula rasanya bila
terkenangkan kisah dia menyusup bawah pagar petang semalam.
Tok! Tok!
Mardhiyah menoleh ke kiri. Faisal
sudah berdiri di sebelah keretanya sambil mengetuk cermin tingkap.
“Dapat jawab?” soal Mardhiyah
ketika Faisal melangkah masuk ke dalam kereta.
“Insya Allah… ada satu dua soalan
je yang sangkut sikit,” jawab Faisal sambil menutup pintu kereta.
“Kalau tak dapat ikut pertukaran
pelajar je Jepun ni, tak berbaloi tau Mak Long seludup masuk keluar macam ni,”
ujar Mardhiyah sambil menukar gear dari N ke D.
“Cikgu Luqman tunggu ke?” Tanya
Faisal apabila kereta Persona milik Mardhiyah itu menyusur laju di jalan besar.
“Ya. Cikgu tu ajar sekolah kamu
ya?” Tanya Mardhiyah.
“Aa… baik Cikgu Luqman tu Mak Long.
Nasib baik dia ada, kalau tak susah juga nak keluar ambil ujian ni,” jawab
Faisal. “Cuma, kalau dia bagi arahan masa kawad, garang sikitlah.”
Wah, naik saham Cikgu Luqman di
mata Mardhiyah. Kalau Luqman dengar kata-kata Faisal itu, pasti dia belanja
Faisal makan KFC tiga hari berturut-turut.
“Nanti sampai tapak perkhemahan,
jangan cakap kat orang lain tahu, kisah kita keluar masuk macam ini,” pesan
Mardhiyah sedikit bimbang.
Yalah, siapa tak susah hati.
Seludup murid keluar dari tapak perkhemahan macam ini. Sudahlah yang terlibat
pegawai dari JPN dan Kem Komandan. Nanti kalau orang lain tahu, timbul masalah
lain pula.
“Tak… ibu dah pesan dah. Cikgu
Luqman pun ada cakap jugak, jangan bagitahu orang lain,” jawab Faisal.
Dia pun tahu cerita dia keluar
sekejap ini memang salah, tapi hendak buat macam mana, nak ditinggalkan
perkhemahan KABORI ini memang sayang sebab ini aktiviti peringkat antarabangsa,
cuma dibuat empat tahun sekali. Ujian kelayakan program pertukaran pelajar ke
Jepun itu pula, memang tidak ada tarikh lain. Dua-dua perkara itu sama penting.
“Jangan lupa ucap terima kasih kat
Cikgu Luqman tu. Susah payah dia cari alasan nak tunggu kamu kat gate belakang,” pesan Mardhiyah lagi.
Takut juga dia kalau Luqman kena tindakan. Amboi Mardhiyah, tiba-tiba saja dia
pandai pula susah-hati pasal Luqman itu.
“Yalah…” jawab Faisal.
Kereta Persona terus meluncur laju
membelah jalan. Semakin dekat dengan tapak perkhemahan, entah kenapa hati
Mardhiyah semakin berbunga-bunga.
AGUS
TERCARI-CARI wajah Mardhiyah dalam ramai-ramai
tetamu yang datang itu. Majlis akad nikah Kak Azreen tidak lama lagi akan
bermula, tapi dia tidak nampak pula si mata sepet berkulit kuning langsat itu.
Tadi dia macam perasan ibu bapa
Mardhiyah bersalam dengan ibu bapanya, jadi dia ingat tentu saja Mardhiyah ada
ikut sekali. Seketika dia memandang telefon pintarnya, masih berkira-kira mahu
hantar atau tidak pesanan ringkas pada Mardhiyah.
Susah betul kalau hati sudah
terpaut sayang ini. Barangkali dia terlalu cepat agaknya, tapi Mardhiyah itu
kan dia sudah kenal dari sekolah rendah lagi. Geng main kahwin-kahwin, lawan
main batu seremban masa kecil dulu, kawan bergaduh masa sekolah menengah, Agus
tersenyum sendiri mengenangkan kisah dulu-dulu.
Tapi, yalah, mungkin apa yang ada
dalam hatinya tidak sama dengan apa yang ada dalam hati Mardhiyah. Pemikirannya
mudah saja, bila hati sudah berkenan, dia tidak akan tunggu lama-lama.
Lebih-lebih lagi bila dia rasa sudah jumpa gadis yang baik, dan dia rasa
sekarang dia sudah boleh tanggung anak dara orang sebagai isteri.
Hati orang, manakan sama dengan
hati kita.
“LAMA
DAH KE KERJA kat JPN?” Tanya Luqman ketika
ambil tempat duduk sebelah Mardhiyah. Pinggan kertas yang penuh dengan makanan
yang ada di tangan kanannya, dia hulur pada Mardhiyah.
“Dua tahun jugaklah… terima kasih…”
ucap Mardhiyah sambil sambut pinggan kertas di tangan Luqman. Pucuk dicita ulam
mendatang, lewat petang tadi Cikgu Awang Had telefon dan minta dia ke tapak
perkhemahan ini untuk jadi wakil JPN. Malam ini bukankah malam kebudayaan.
“Ayam panggang… satu malam saya
perap. Resepi Umi saya,” kata Luqman sambil mengunjuk ayam panggang di pinggan
Mardhiyah.
“Cium bau, tengok rupa pun dah
sedap,” puji Mardhiyah. Kembang kuncup hatinya menerima layanan kelas pertama
dari Kem Komandan.
Tadi segan juga dia bila melangkah
masuk ke kawasan perkhemahan ini, nasib baik Timbalan Kem Komandan, Encik Ismail sudah dapat panggilan telefon
lebih awal dari Cikgu Awang Had. Selepas menonton persembahan kebudayaan murid-murid
Persatuan Pengakap, Luqman pelawa pula dia makan. Ayam panggang baru saja
masak, kata Luqman. Tetamu kehormat kena makan awal, sebab kalau hendak tunggu
sampai semua persembahan habis, lagi lamalah dia duduk di tapak perkhemahan
ini.
“Bila nak bakar unggun api ini?”
Tanya Mardhiyah sambil pandang longgokan kayu yang ada tidak jauh dari tempat
mereka duduk itu. Kerusi-kerusi plastik disusun mengelilingi longgokan kayu
yang bakal jadi unggun api nanti.
“Kejap lagi, tunggu persembahan
dekat nak habis nanti, baru bakar. Sebab itu suruh cikgu-cikgu makan dulu,
boleh cikgu-cikgu semua pantau murid-murid yang makan nanti. Budak-budak ni
nanti makan sambil tengok unggun apilah,” terang Luqman. Menguruskan
budak-budak pengakap sekolah rendah ini susah juga, nanti kalau tidak pantau
betul-betul, ada saja yang main-main dekat dengan unggun api. Itulah kena suruh
para guru makan awal sikit, nanti perut dah kenyang senang jaga murid-murid
pengakap itu semua.
“Dulu mengajar mana?” Tanya Luqman.
Pinggan kertas di tangan kirinya sudah beralih ke atas ribanya. Nasib baik
jawatan di sini jadi Kem Komandan, jadi tak adalah nampak janggal sangat dia
makan bersebelahan dengan Cik Mardhiyah, merangkap wakil JPN ini.
“Saya mengajar sekolah pedalaman.
Jauh dari bandar,” jawab Mardhiyah.
Nampak sedap pula ayam panggang di
pinggannya ini, perlahan dia cubit sedikit isi ayam itu. Tak apalah tak dapat
makan nasi kenduri akad nikah Kak Azreen, dapat makan ayam panggang ini pun
sudah cukup. Duduk pula sebelah Cikgu Luqman yang tampan ini, macam bulan jatuh
ke riba saja.
“Macam mana boleh masuk ibu
pejabat?” masih juga Luqman mahu mengorek cerita si gadis manis sebelahnya ini.
Jarang yang muda-muda macam Mardhiyah ini diserap ke ibu pejabat.
“Oh… dulu masa mengajar, saya aktif
kat portal Engkabang. Portal rasmi JPN, pernah dengar tak?” Tanya Mardhiyah.
Beberapa orang guru sudah ambil tempat duduk di kerusi plastik dekat-dekat
dengan mereka berdua, jadi tak adalah segan sangat dia duduk berdua dengan
Luqman di sini.
Luqman mengangguk. Dia tahu portal
itu. Laman web berbentuk forum itu kiranya wadah untuk para guru dan staf
pendidikan berinteraksi. Banyak maklumat mengenai pendidikan boleh diperolehi
dalam portal itu.
“Agaknya sebab saya selalu bagi
komen, lepas itu selalu juga tolong jawab apa-apa masalah berkaitan ICT yang
cikgu-cikgu tanya kat dalam portal tu, last-last, somebody from JPN tanya
saya, berminat ke tidak hendak kerja di ibu pejabat,” terang Mardhiyah panjang
lebar.
“Ni kiranya nak lari dari kawasan
pedalaman jugalah ni?” Tanya Luqman dengan nada berseloroh.
Mardhiyah tersenyum malu. “Tak
adalah macam itu. Tukar angin kata orang.” Manalah ada dia hendak lari dari
mengajar kawasan pedalaman, seronok mengajar di sekolah kecil begitu, cuma dia
hendak rasa suasana baru saja.
“Nasib baik awak masuk JPN…” kata
Luqman di sebelahnya.
Mardhiyah menoleh ke arah Luqman.
“Mana ada nasib baik? Kena tangkap susup masuk bawah pagar, buat rosak reputasi
staf JPN saja.”
Luqman sudah tersenyum.
“Yalah, nasib baik kerja JPN. Kalau
tak, tak adalah kita jumpa kan…” sambung
Luqman cuba beranikan diri.
Mardhiyah sudah terdiam. Tiba-tiba
saja hatinya berdegup kencang dua kali ganda.
…kalau
tak, tak adalah kita jumpa kan…
Apa maksud Luqman?
“Eh… saya lupa ambil sos ayam panggang.
Ada sos istimewa juga. Kejap ya, saya ambil kat sana dulu,” Luqman sudah
bangkit dari duduknya. Pinggan kertasnya dia letak di atas kerusi plastik yang
dia duduki sebentar tadi.
Mardhiyah cuma memandang langkah
Luqman dari belakang. Bahang unggun api yang semakin marak di tengah-tengah
padang tidak terasa di wajahnya. Matanya menyoroti setiap derap sepatu Luqman
yang menuju ke arah tempat pemanggang.
Diakah? Diakah jodoh yang dia
tunggu-tunggu selama ini?
Ceh, tiba-tiba rasa hendak tampar
pipi sendiri saja. Baru duduk makan sebelah-menyebelah, dia sudah fikir pasal
jodoh.
No comments:
Post a Comment