SENYAP-SENYAP,
Azlan mengisi borang permohonan ke universiti tanpa pengetahuan keluarganya.
Dia telah nekad. Walau apa pun yang terjadi, dia tetap akan meneruskan niatnya
untuk menyambung pelajaran ke universiti. Liyana sudah pun mendaftar masuk ke
Tingkatan 6 STPM. Liyana ada memujuknya untuk turut sama masuk ke Tingkatan 6
namun dia tidak mahu. Jika dia turut mengambil STPM, bererti dia akan terus berada
di rumah itu. Dia ingin keluar dari rumah itu. Dia ingin lari dari penderitaan
yang selama ini mencengkam kehidupannya.
Beberapa bulan selepas
permohonannya, dia akhirnya diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Johor kampus Segamat dalam bidang Pengurusan Maklumat. Dia sangat bersyukur.
Kini dia sudah berada di permulaan garisan untuk mencapai impiannya.
Persiapan ke universiti dilakukan
secara senyap-senyap. Pemeriksaan kesihatan, pembayaran yuran dan urusan-urusan
lain semuanya dilakukan tanpa pengetahuan ahli keluarganya. Mujurlah ada
keluarga pak longnya yang sudi membantu. Liyana, walaupun kurang bersetuju
dengan hasratnya itu namun tetap membantu dia membuat persiapan. Liyana menjadi
orang kuat di belakangnya.
Hari ini, Liyana menemani Azlan ke
bandar menguruskan hal-hal berkaitan kemasukannya ke universiti disamping
membeli beberapa barang keperluan. Mereka ke bandar dengan menaiki bas.
Azlan dan Liyana melangkah keluar
dari Klinik Hashim selepas selesai urusan pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan
kesihatan ini diwajibkan kepada semua pelajar baru yang bakal mendaftar masuk
ke universiti.
“Lepas ni temankan aku pergi beli
baju kemeja ye. Baru teringat yang
aku tak ada langsung baju kemeja yang elok sikit.”
“Baju kemeja? Kau ada duit ke?”
“Ada la sikit. Aku beli sehelai je. Lagipun dalam surat tawaran dia ada
tulis suruh sediakan satu kemeja warna putih. Nanti kalau tak ada susah pulak.”
“Oh, okeylah! Jom!”
Mereka mengatur langkah ke deretan
kedai pakaian yang terletak berhadapan dengan klinik tersebut. Mereka bergerak
dari satu kedai ke satu kedai bagi memilih baju yang sesuai dengan harga yang
berpatutan.
“Ha, tu nampak macam ada kemeja
warna putih lengan panjang. Jom tengok!” Liyana menghalakan jari telunjuknya ke
arah deretan baju kemeja di sebuah kedai.
Azlan mengekori Liyana menuju ke
arah deretan baju-baju tersebut.
“Mana yang sesuai? Aku mana reti
pilih-pilih baju ni." Azlan bingung seketika. Sememangnya dalam hidupnya,
sangat jarang dia berpeluang membeli-belah seperti itu. Seingat dia macam tak
pernah sepanjang dia tinggal bersama dengan ibunya. Baju yang dipakainya pun
sekadar mengharapkan ehsan pemberian orang.
“Erm, kau ambil yang ada jalur merah
tu la. Nampak cantik sikit. Harga dia pun tak adalah mahal sangat. Tak apa kan
ada jalur sikit-sikit?” Liyana membawa mata daripada baju kameja tersebut ke
wajah Azlan.
“Aku rasa tak apa kot. Lagipun jalur
dia halus-halus je. Masih putih
lagi.”
Liyana mengoyak ketawa nipis. “Masih
putih lagi ye.. Kau pergi try dulu. Lepas tu tunjuk kat aku.
Alang-alang kau beli la seluar slack
warna hitam sekali.”
“Seluar slack? Budget tak cukup
la. Lagipun seluar slack aku kat
rumah tu rasanya elok lagi.”
“Tak apa. Seluar ni aku belanja.
Dah, pilih cepat!” Liyana menarik tangan Azlan ke arah tempat seluar lelaki.
Azlan lantas memilih seluar slack yang bersesuaian dengannya. Dia
lalu menuju ke bilik persalinan untuk mencuba pakaian tersebut. Selesai
menyarung pakaian yang baru dipilihnya itu, dia lalu keluar dari bilik
persalinan tersebut.
Liyana yang setia menanti di hadapan
bilik persalinan itu seakan terpaku melihat Azlan mengenakan kemeja yang
lengkap dimasukkan ke dalam seluar slack
itu. Anak muda itu tampak segak di matanya dengan mengenakan pakaian ala
korporat tersebut.
“Dah yang kau terpaku pandang aku
macam tu kenapa? Handsome sangat ke
aku ni?” Azlan mengenyitkan matanya ke arah Liyana.
Terasa darah menyerbu
ke muka dengan tiba-tiba. Cepat-cepat Liyana melarikan pandangan ke arah lain.
Entah mengapa hatinya rasa semacam tatkala memandang Azlan dalam persalinan
itu. Kenyitan mata Azlan lagilah buat dia rasa serba tak kena. Semacam ada
debaran yang sedang melanda sukma kala itu.
“Huh, perasan! Aku cuma pandang baju tu je.
Cantik sangat. Sesuai dengan kau. Dah, pergi tanggal cepat. Lepas tu bayar.”
Liyana cuba berlagak biasa.
“Oh, kena tanggal ke? Ingatkan boleh
terus pakai balik rumah.” Azlan menayang senyum.
“Sengal!” Senyum turut terukir di
bibir Liyana.
Azlan mengoyak ketawa lalu masuk
semula ke dalam bilik persalinan untuk menanggalkan baju tersebut.
Liyana tersenyum sendirian. Bahagia!
Hanya perkataan itulah yang boleh menggambarkan rasa hatinya ketika itu. Dia
berasa cukup bahagia dan terhibur setiap kali bersama Azlan. Susah senang dia
sentiasa bersama dengan sepupunya itu. Dia akan menjadi pendengar yang setia
apabila Azlan mempunyai masalah dan Azlan juga akan menjadi pendengar yang
setia apabila dia pula yang mempunyai masalah.
Selesai membayar harga baju dan
seluar tersebut, kedua-dua mereka kemudiannya menuju ke gerai cendol yang
berhampiran bagi membasahkan tekak. Dua mangkuk cendol pulut dipesan. Kira-kira
lima minit menunggu, cendol tersebut sudah siap terhidang di hadapan mereka.
Azlan menikmati cendol dengan penuh
berselera. Sementara Liyana hanya mengacau-ngacau isi cendol sambil matanya
tidak lepas memandang wajah Azlan. Dia tersenyum sendirian melihatkan gelagat
Azlan yang nampak berselera menikmati cendol. Namun, jauh di sudut hati ada
rasa pilu yang hadir. Sejak kebelakangan ini, perasaan sayu dan sedih terasa
mencucuk-cucuk jiwanya apabila mendapat tahu Azlan ingin meneruskan hasrat
menjejaki menara gading.
Dia sedar, saat-saat indah bersama
Azlan tidak lagi akan dapat dinikmati seperti selalu. Teman sepermainan sejak
kecil itu akan meninggalkannya keseorangan. Bayangkan tujuh belas tahun mereka hidup bersama tanpa pernah
berpisah, tiba-tiba insan yang selalu berada di hadapan mata hilang begitu
sahaja. Dia tidak dapat membayangkan hari-hari yang akan dilaluinya tanpa
kehadiran Azlan. Pasti terasa janggal dan sepi.
“Lah, kenapa tak makan lagi cendol
tu? Tak nak bak sini bagi aku.” Azlan
menegur Liyana yang tengah asyik dibuai perasaan.
Liyana tersedar dari lamunannya.
“Lan, betul ke kau nak tinggalkan aku?” Dengan nada sayu, soalan itu diajukan
kepada Azlan.
Keasyikkan menikmati keenakan cendol
pulut terganggu dengan pertanyaan Liyana. Azlan mendaratkan sudu di tangan ke
dalam mangkuk. “Kenapa kau tanya macam tu?”
“Kita ni dari kecil tak pernah
berpisah. Tiba-tiba je sekarang kau
nak pergi tinggalkan aku. Aku tak boleh bayangkan macam mana hidup aku bila kau
tak ada nanti Lan.” Liyana jujur meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Sayang jugak kau dekat aku ye!"
Azlan ketawa. "Kau pun tahu kan yang aku pergi sambung belajar. Bukannya
aku saja-saja nak tinggalkan kau. Dari dulu lagi aku sebenarnya nak keluar dari
rumah tu. Hanya ni je cara aku dapat
lari dari rumah tu. Aku dah cukup terseksa hidup dalam keluarga yang tak pernah
nak sayang dan terima aku.” Ada nada sayu pada getaran suaranya.
“Tapi aku kan ada Lan. Mak dengan
ayah aku pun sayang dekat kau.”
“Aku hargai kasih sayang kau orang
dekat aku. Tapi tetap tak sama dengan kasih sayang daripada keluarga aku
sendiri.”
“Tapi kalau kau keluar dari rumah tu
pun, kau tetap takkan dapat kasih sayang dia orang jugak.”
“Tapi sekurang-kurangnya aku dapat
lari daripada segala penderitaan dan rasa benci dia orang dekat aku. Aku dapat
lari daripada terus hidup dengan orang-orang yang benci dekat aku.”
Liyana hanya diam. Tak tahu nak
berkata apa lagi. Dia sebenarnya amat memahami derita yang ditanggung sepupunya
itu. Namun hatinya tetap berat untuk melepaskan sepupunya itu pergi.
“Doakan aku Liya. Kau akan sentiasa
ada dalam hati aku. Aku takkan lupakan kau sampai bila-bila."
“Kau janji ye!”
“Iye
Liya. Takkanlah aku boleh lupa dekat kau. Kaulah satu-satunya kawan yang aku
ada dekat dunia ni.”
“Terima kasih Lan.” Liyana menutur
rendah. Dia membuang pandangan jauh ke hujung jalan. Entah mengapa, hatinya
dirasakan terlalu sebak ketika itu.
Azlan merenung wajah Liyana yang
bermuram durja itu. Dia memahami apa yang sedang dirasai oleh Liyana kala itu.
Dia juga turut merasai perasaan yang sama. Berpisah itu bukanlah sesuatu yang
mudah. Lebih-lebih lagi dengan insan yang selama ini menjadi tempat dia
berkongsi suka dan duka sejak dari kecil lagi. “Dahlah, jangan sedih-sedih.
Walaupun aku tak ada, tapi Aidil kan ada.” Azlan mengjongketkan kening sambil
menanti reaksi daripada Liyana.
Serta-merta
genggaman tangan berbentuk penumbuk terhidang di depan mata. Liyana memberikan
jelingan maut tanda amaran sementara Azlan pula sudah terburai ketawanya.
Hidup memang takkan
dapat lari daripada merasai pahitnya perpisahan. Tak ada benda yang akan kekal
menjadi milik kita selamanya. Bahkan nyawa yang ada pun hanya pinjaman. Bila-bila
masa aje akan terpisah daripada badan.
No comments:
Post a Comment