“JIKA ENGKAU minta intan permata tak mungkin ku mampu. Tapi sayangkan kucapai bintang dari langit untukmu...”
“Lawak betul le kau ni Ain.” Nurin tergelak besar apabila kawannya itu menyanyi
riang di tepi bendang. Bukan sekadar menyanyi bahkan menari-nari sambil
mengipas-ngibas rambutnya yang merah dan panjang mengurai itu. Siap
melentok-lentok lagi.
Ain tidak menghiraukan teguran itu.
Dia kemudian menyambung semula nyanyiannya. “Sayangku
jangan kau persoalkan siapa di hatiku. Terukir di bintang tak mungkin hilang
cintaku padamu…”
Nurin tergelak.
“Alah, kau saja je kan nak buang semangat aku? Tak
guna punya kawan!” Ain menepuk bahu Nurin dengan kuat.
“Hoi! Sakit le. Apalah kau ni. Aku sokong kau tau. Sebab aku tahu kau ni jenis
gila-gila orangnya.” Nurin menjawab.
Tersengih-sengih menahan sakit
“Ya aku ni gila-gila. Tak tutup aurat. Habis tu kau nak suruh aku buat apa?
Pakai tudung labuh? Pakai purdah?” perli Ain.
Pertanyaan Ain itu membuatkan Nurin
lagi tergelak besar. Apa tidaknya, kawannya itu pantang dicucuk sikit mulalah
meradang tak tentu pasal. Apatah lagi
soal purdah diperkatakan.
Ain menambah lagi. Dia tetap tak
puas hati. “Kau ingat kau ni baik sangat
ke? Orang yang pakai tudung ni pasti ke dijanjikan syurga oleh Allah? Pelacur
yang bagi minum kat anjing pun boleh
masuk syurga tau.”
“Hahaha! Habis, kau nak sangat masuk
syurga? Kau jadilah pelacur lepas tu bagi makan kat anjing. Kat kampung kita ni
banyak juga anjing-anjing kelaparan.” Nurin menempelak sahabatnya dan sekali
lagi tergelak besar.
Ain tidak gelak mendengar lawak
Nurin. Dia mencelah. “Ya, memang banyak sangat anjing-anjing kat kampung kita
ni. Dan salah sekornya adalah yang
duduk di depan aku ni.”
“Kau saja je kan!” Nurin sedikit bertempik apabila dituduh seperti itu.
Kali ini giliran Ain pula tergelak
besar. Menampakkan giginya. Bahkan anak halkumnya. Kuat benar. Sayup kedengaran
di hujung bendang.
“Apalah kau ni panggil aku anjing? Kau tu layaknya anjing!” Balas Nurin pula
sambil tergelak.
“Dah
tu kau nak kejar syurga sangat pergilah kejar syurga. Pergi jadi wanita….”
Ain tidak dapat meneruskan kata-kata.
Nurin kebingungan lalu tiba-tiba
melihat ke belakang. “Wah, perempuan lindungan Kaabah sudah datang.”
“Ya, perempuan berkalong sorban itu.
Sekarang juga aku ajar!” Ain terus meluru kearah Nur Aishah yang sedang
berjalan sambil membawa plastik kain.
“Pucuk dicita ulam mendatang!” Ain
cepat-cepat mendekati. Terkinja-kinja
kepuasan. Tak sangka kali ini dia berhadapan dengan Nur Aishah. Detik yang
dinanti-nantikan telah tiba.
Nurin mengekori penuh semangat.
Drama apa pula yang akan disaksikannya kali ini. Adakah drama air mata ataupun
perang dunia bakal meletus?
“Hei,
kau nak kemana ni sayang? Nak ke surau ke? Takkan nak ke surau,
Zohor belum masuk lagi.” Tegur Ain sambil tergelak besar. Dia sekadar memerli
bagi menaikkan darah Nur Aishah.
Nur Aishah berhenti tanpa berkata
apa. Perjalanannya dihalang. Namun dia masih menunjukkan muka biasa. Tak cuak
langsung.
“Dia nak pergi bukak sejadah le. Apa kau tau!” balas Nurin pula
menyindir.
Ain tergelak. Kelakar bunyinya.
“Assalamualaikum.
Ain, Nurin, izinkan aku pergi. Aku ada urusan.” Nur Aishah menolak lembut.
Memang dia sudah masak benar dengan perangai rakan sekampungnya itu.
Lebih-lebih lagi Ain. Kalau dilayan lama-lama boleh jadi balah dibuatnya. Bagai
mencurah minyak ke dalam api.
“Wah,
nak pergi jahit purdah ke?” Nurin pula cuba menegur apabila mendapati di dalam
plastik itu ada semacam kain.
“Oh, aku lupa. Ni kain dari Mekah. Jadi tak
elok dikutuk-kutuk.” Ain menyindir lagi. Tahu benar itu adalah kain. Mungkin
hadiah daripada Haji Ezudin kepada anaknya.
“Izinkan aku pergi. Aku ada urusan. Assalamualaikum!” pinta Nur Aishah lalu
cuba melangkah setapak.
“Nanti dulu!” Ain cuba menahan. Dia
mendepakan kedua-dua tangan. Mulutnya bergerak-gerak. Keningnya sekali lagi
terangkat-angkat. Hidungnya tinggi.
“Ya, tahan dia. Tahan dia!” Nurin
pula menjadi nasi tambah. Cuba mengapi-apikan.
Ain menyambung suara. “Sejak kau
pakai purdah ni macam-macam aku dengar pasal kau. Pasal buruk…”
“Pasal baik juga aku dengar.
Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah. Yang buruk datang dari aku.”
Cepat-cepat Nur Aishah mencelah. Dia cuba menenangkan Ain dari berburuk sangka
dan sengaja menimbulkan api berbalahan.
Ain dan Nurin berpaling lalu
tergelak serentak. “Hahahah!” Jawapan itu amat kelakar.
“Hei, perempuan padang pasir. Aku
nak tanya. Kenapalah kau beria sangat pakai purdah?” Soal Ain penuh dengki.
Satu soalan cepu emas.
“Ya. Betul kata Ustazah Ain tu.” Nurin
tergelak. Memang dia tak sabar nak
tahu jawapan.
“Tak perlu pakai sebab Islam bukan agama yang menyusahkan.” Sambung
Ain lagi. Dia melihat jubah Ain dari atas ke bawah. Kemudian memandang mata Nur
Aishah yang langsung tidak memandangnya.
Walau pun begitu.
Sindirian Ain itu betul-betul memanaskan telinga Nur Aishah. Apatah lagi
melihat Nurin yang beria-ia menjadi suara latar. Mengulang soalan yang keluar
dari mulut Ain. Lagi menguji kesabarannya.
“Adakah berpurdah
sesuatu yang menyusahkan? Padaku tidak sama sekali.” Pandai Nur Aishah menepis
soalan. Bunyinya ringkas tapi jelas.
“Nak tunjuk baik le tu!” Ain menyindir lagi. Dia
memprotes menampakkan jawapannya begitu kosong.
“Ya, memang dia nak tunjuk baik. Lepas ni semua orang suka kat dia.” Nurin cuba
mengapi-apikan sekali lagi. Terkinja-kinja di belakang Ain.
“Ain, Nurin. Aku tidak akan peduli apa kata manusia di
sekeliling. Di kampung kita ni. Aku tidak peduli jika mereka tidak suka atau
tidak meredhai pakaian suci ini kerana yang aku harapkan hanyalah redha dari
Allah…"
“Berlagak! Kau berpakaian macam ni
akan orang tuduh sombong? Tak senyum
pada orang. Kau nak macam tu?” Soal Ain lagi.
Dia memuncungkan mulutnya. Memang dia tak mahu mengalah. Saat berjumpa
Nur Aishah dia akan tanya bertalu-talu sehingga wanita itu lemas dan berlalu
dari situ.
“Ya. Ya. Kalau sombong siapalah nak
berkawan dengan kau nanti? Nanti matilah kau sorang-sorang.” Nurin sekali lagi membalas. Mulutnya
memuncung-muncung. Bagai itik menyudu air.
“Tak apalah. Jika aku dituduh
sombong. Insya Allah aku akan menegur semua rakan-rakan yang dikenali sepanjang
perjalanan dengan salam.”
“Hahaha!” Ain dan Nurin tergelak.
Nur Aishah menarik nafas.
“Masalahnya orang nampak ke kau
senyum atau ketawa? Muka kau tu tertutup. Macam ninja!”
Ain dan Nurin menyambung gelak.
“Hahaha! Ninja ke? Betul lah.” Nurin mendekatkan kepalanya
menghadap Nur Aishah. Memandang dari atas ke bawah. Kemudian menyambung gelak.
“Walaupun aku tahu tiada siapa yang nampak
senyuman ini namun jelas terpancar cahaya senyuman ikhlas di mataku yang redup
itu. Insya Allah.” Nur Aishah
membalas sabar.
“Tak payah le nak susah-susah berpurdah. Tengok macam aku ni. Tak pakai tudung
pun aku bahagia melayari hidup ini. Ada ramai juga kawan.” Ain membalas dengan
bangga. Menunjukkan baju t-shirt ketatnya yang cantik.
Nur Aishah diam. Dia tak mahu
berbalas. Jawapan Ain itu seolah-olah jawapan dari orang yang tak pernah
belajar agama.
Ain dan Nurin berpaling. Dia
merasakan Nur Aishah dah tewas dengan soalan.
“Tak apalah. Sudah sampai seru aku.
Jadi biarlah aku berpurdah. Aku akan sentiasa bermujahadah mendepani suatu
hakikat yang mungkin bakal mengubah hidup ini.” Sambung Nur Aishah lagi.
“Bukan ke menutup wajah adalah bid’ah?”
“Ya. Bi…bid..ah. Betul cakap Ustazah
Nurin tu.” Ain hampir-hampir tergelak. Dia sokong kata-kata Nurin walaupun dia
sendiri tak tahu apakah yang dimaksudkan.
“Tapi tidak menutup rambut adalah
haram. Ada dalam al-Quran dan hadis,” balas Nur Aishah geram.
“Dah
mula dah. Memang sah dia nak jadi
ustazah jadian kat kampung kita ni.” Sindir Nurin. Dia tak menjawab dengan ilmu
tetapi menjawab dengan mulut yang kosong dan lebih kepada mengapi-apikan.
“Menutup wajah adalah lebih utama bagi
wanita.” Sambung Nur Aishah lagi sebagai menepis setiap soalan itu.
“Tapi, wajah dan kedua telapak
tangan bukan termasuk aurat?” soal Nurin. Dia tak mahu mengalah. Nak juga dia kenakan gadis di depannya itu.
“Ya, ya betul. Wajah dan tapak
tangan bukan termasuk aurat. Buat apa nak ditutup?” Sokong Ain pula.
“Memang wajah dan tapak tangan bukan
aurat tapi rambut adalah aurat setiap wanita. Sehelai rambut bersamaan seekor
ular.”
“U…lar…” Ain dan Nurin berkata
serentak. Dia menelan air liur. Cuba memegang rambut masing-masing. Mereka
berpandangan.
“Apa-apa sajalah kau ni. Tapi, aku rasa
sekejap saja kau pakai macam ni. Sebab kau fahamlah kita ni bukan kat Mekah atau Jordan. Tapi kita kat Malaysia.”
“Betul kawan aku cakap tu.
Tambah-tambah kat kampung kita ni. Nanti bila kau pakai purdah orang cakap kau
amalkan ajaran sesat. Kau geng al-arqam.” Tuduh Ain.
Nurin dan Ain tergelak besar.
“Aku sentiasa berdoa mengharapkan
Allah meredhai perubahan yang ingin dilakukan dan diberkati niat murni untuk
menjaga diri dengan berpurdah. Aku harap
Allah bukakan pintu hati aku untuk betul-betul mengenali purdah. Sehingga
semakin jatuh cinta dengannya.”
“Jatuh cinta dengan purdah konon.
Tapi kau tau tak hukum memakainya?”
Soal Ain geram.
“Ya betul? Betul tu. Kau tahu tak
hukum memakainya?” soal Nurin lagi sekadar memerangkap Nur Aishah.
“Walaupun pelbagai pendapat ulama'
tentang isu purdah, jumhur setuju
bahawa tidaklah haram, bahkan memakai purdah adalah sunat yang ahsan.”
“Ahsan?” Ain ternganga lalu
memandang Nurin.
Nurin mengangkat bahu. “Manalah aku
tahu ahsan tu apa? Asam keping aku
tahu lah. Asam boi ek?”
“Ahsan
tu sangat baik. Atau sunat yang sangat-sangat dituntut. Lebih kurang sama
seperti lelaki yang memakai serban tatkala memakainya dia mendapat pahala
sunnah dan ketika mencabutnya tidaklah dia berdosa.” Nur Aishah menerang agar
kedua gadis di depan yang masih belajar itu faham.
Terkebil-kebil Ain dan Nurin
mendengar penjelasan itu. Memang benar tapi mereka tetap tidak berpuas hati.
Tetap nak berbahas.
“Jadi tidak patutlah jika seseorang
yang berpurdah, meletakkan seolah-seolah berpurdah itu wajib sehingga tidak
boleh menanggalkannya langsung apabila sudah dipakai. “
“Eleh, “Ain menjawab sambil membuat
muka.
“Dan seolah-olah berdosa pula jika
lelaki ternampak mukanya kerana tujuan asal berpurdah itu adalah untuk menjaga
diri dan mengelakkan dari sebarang fitnah. Jadi, memakainya juga perlulah kena
dengan waqi' atau keadaan. Bahkan aku
tahu benar akan hukum-hukum tidak menutup aurat, memakai baju ketat. Assalamualaikum!” Nur Aishah membalas
dengan panjang lebar membuatkan Ain dan Nurin tak terkata. Mereka menjawab
sesama mereka mengikut logik akal.
Apapun kali ini Nur Aishah puas.
Sekurang-kurangnya perjalanan hari itu terlindung. Terhindar dari sesuatu yang
menyakitkan. Semoga Ain dan Nurin akan menjaga tatatertib lagi. Belajar untuk
menghormati orang. Menghormatinya yang memilih jalan untuk berpurdah.
Ain dan Nurin hanya melihat saja Nur
Aishah berlalu pergi. Mereka seolah-olah mati kutu untuk berdebat.
“Ya Allah. Terima kasih kerana
melindungi aku. Semoga aku dapat merasai sesuatu yang sangat membahagiakan
hidup. Tenang yang tidak dapat diertikan dengan kata-kata.” Luah Nur Aishah
sambil melangkah setapak ke setapak.
“Apa kau ingat kau baik ke? Kau
tengok le nanti. Sampai ke tua le kau
tak kahwin kalau masih dengan pakaian macam ni. Macam hantu pocong siang hari!”
Ain melaung dari jauh sebaik saja Nur Aishah meninggalkannya.
“Apa hantu pocong?” Nurin pula
tergelak besar. Memegang-megang perutnya.
“Kau ni buat lawak betul le Ain. Ada-ada saja idea kau. Dah le
hari tu kau tuduh dia ninja turtle,
lepas tu al-arqam, al-maunah, pembalut nangka. Kini kau cakap dia hantu
pocong.” Memuncung mulut Nurin sambil menahan gelak.
“Ok le tu aku cakap hantu pocong. Kan aku cakap kuntilanak harus kau
lari!”
“Hahahaha!”
“Kau ni Ain cakap tak ada insuran
langsung. Kau tak takut ke malaikat kerat lidah kau nanti?”
“Kau pun satu. Malaikat kerat lidah
aku ke lidah kau? Dah le, aku malas
nak dengar semua ini. Memang hantu pocong tu nak kena. Nasib le hati aku tak berapa panas hari ni.
Satu hari nanti, tengoklah aku akan ajar dia juga! Berpurdah dan berjibab
konon. Pui!” Ain meludah ke tengah jalan.
Ketika itu jugalah Fatin yang sedang
bermotosikal lalu menjerit dengan kuat. “Woi! Kau ingat jalan mak bapak kau ke?
Elok-elok ar kalau nak meludah sekali
pun!”
Ain dan Nurin melihat Fatin yang
sedang menuju ke arahnya. Dengan perasaan yang marah.
“Astarfirullah
Fatin…” Nur Aishah melihat ke belakang apabila mendapati Fatin
memberhentikan motor dan telah pun berdiri betul-betul di sebelah Ain dan
Nurin.
“Kau ni apa hal? Aku ludah kat jalan
bukannya ludah kat muka kau.” Ain membalas sebaik saja Fatin turun dari motor.
“Ya, kau nak ke kalau Ain ni ludah
kat muka kau?” Nurin menambah. Dia menumbuk-numbuk tangan kirinya ke tangan
kanan.
“Sebelum kau ludah ke muka aku, baik
aku ludah ke muka kau yang tak berapa cantik tu. Lain le aku cantik,
berpelajaran. Lagipun kau tak tengok ke bulu mata palsu I ni…” Fatin mula
menggedik. Kepalanya bergerak-gerak. Bagai orang India yang sedang mempersembahkan
tarian.
“Ah, pi jahanam le dengan bulu
mata palsu kau tu! Kau ingat aku tak
boleh beli ke?” Ain membalas tak puas hati.
“Ya, ingat Ain tak boleh beli ke?
Ain pun ada duit juga tau!” soal Nurin menduga.
“Tapi, memang hakikatnya kau dengan
aku dah lama dendam dengan aku kan? Dendam dengan Echa.”
“Fatin, sudah-sudah le tu. Tak elok
bergaduh.” Tiba-tiba saja Nur Aishah menegur dari belakang. Dia mendekatkan
diri. Tangannya memegang tangan Fatin. Risau benar dia.
“Ya, betul tu Fatin. Tak elok
bergaduh. Agama kita tak macam tu. Nanti tak boleh jadi penghuni syurga macam
kawan kau ni.” Ain mencelah menyindir Nur Aishah.
“Kan aku dah cakap. Kau ni dah le buat hal dengan aku. Jangan pula nak
kenakan kawan aku. Bikin panas ni!” Fatin mencekak kedua pinggangnya.
“Bila kita orang nak kenakan kamu?”
Nurin menyoal sedikit cuak. Apatah lagi melihat muka Fatin merah dan nafasnya
turun naik.
“Yang kau ludah tadi tu apahal? Kau
nampak aku je kau terus ludah.” Fatin
memberanikan diri menyoal.
“Sebab, aku dah meluat dengan muka
kau. Sebab tu aku ludah. Muka kau macam taik!” Panas Ain membalas sambil
menunjukkan jari ke muka Fatin.
“Muka aku cantik macam ni kau cakap
macam taik. Bodoh!” Fatin terus menyerang Ain. Cuba ditumbuk dan
diganyang-ganyang mulut Ain yang sangat-sangat kurang sopan.
Sekali serangan itu membuatkan Ain
terjatuh ke tanah. Ain cuba bangun melawan. “Tak guna punya perempuan!”
Berlaku adegan tarik menarik dan
tumbuk menumbuk.
“Astarfirullah.
Fatin dah le tu!” Nur Aishah
kebingungan.
“Ain, pukul dia lagi. Pukul
kuat-kuat!” Nurin menyokong. Dia menumbuk tangan kirinya dengan tangan kanan.
Mengapi-apikan.
Ain dengan sepantas kilat terus
menerkam dan menarik rambut Fatin. Fatin tak mahu mengalah terus melakukan
perkara yang sama sambil menyumpah seranah antara satu sama lain.
“Ya Allah. Tolong! Tolong!” Nur
Aishah menjerit dengan sekuat hati. Dia melihat ke kiri dan ke kanan. Hatinya
berdegup kencang.
“Pukul dia sampai mati, Ain! Pukul
perempuan gedik ni sampai mati. Tarik rambutnya. Koyak bajunya!” Nurin menyokong
sekali lagi. Sesambil itu dia cuba menahan Nur Aishah dari cuba meleraikan
pergaduhan itu.
Tarikan itu membuatkan Fatin dan Ain
tergolek ke kiri dan ke kanan. Rambut sudah menjadi serabai macam sabut kelapa.
Lengan baju Ain terkoyak apabila ditarik Fatin. Selut dan tanah jelas kelihatan
di paha, lutut dan juga punggung mereka berdua.
Nurin tergelak besar.” Pukul sampai
mati! Ganyang lagi kuat. Belasah cukup-cukup. Jangan mengalah Ain!”
“Sudah le tu! Ya Allah!” Nur Aishah cuba memberhentikan pergaduhan itu.
Dia cuba menepis dengan tanganya.
“Kau jangan nak jadi hakim!” marah
Nurin lalu menarik kuat tangan Nur Aishah. Nur Aishah tertolak ke tepi.
“Nurin, kita kena leraikan
pergaduhan ini. Nanti makin parah.” Sekali lagi Nur Aishah cuba menasihati.
“Ah,
tak perlu. Kita tengok siapa juara
kampung. Ya, pukul lagi Ain. Pukul lagi!” Nurin menjerit sekuat hati. Tangannya
memegang tangan Nur Aishah. Dia tak mahu Nur Aishah menjadi penghalang.
Ain dan Fatin terguling-guling ke
kanan dan ke kiri. Masing-masing ingin menunjukkan jaguh. Lagak mereka bagai
ahli gusti.
“Hoi
apa ni? Dah! Dah! Jangan bergaduh!”
Tetiba Abang Khairi yang kebetulan lalu kat situ terus menahan. Memang terkejut
dengan apa yang disaksikan. Lekas-lekas dia turun dari motor. Dia meleraikan
pergaduhan itu.
“Abang tengok le ni. Dia pukul Ain!” Ain bertempik lalu cuba menerkam. Tetapi
abangnya terus meleraikan terkaman itu. Dia memegang Ain.
“Fatin, mengucap. Jangan macam ni.
Malu kat orang!” Nur Aishah pula memegang dan memeluk Fatin yang nafasnya
tengah naik turun. Rambutnya berserabai dibiarkan menutupi pipi.
“Kau memang gila!” Ain menuduh
sambil menunjukkan jarinya.
“Kau lagi gila. Dasar perempuan tak
tahu malu!” Fatin membalas. Dia betul-betul panas. Suaranya tinggi rendah.
Nafasnya tercungap-cungap.
“Astarfirullah, Fatin. Dah le tu.” Nur Aishah lembut cuba
menghalang. Suaranya hilang dek
pekikan Fatin dan Ain.
Nurun hanya berdiri pagai patung.
Hilang kata-kata. Dia masih tak puas hati. Geram pun ada. Tak habis lagi
menyaksikan gusti jalanan.
Beberapa pemuda kampung juga
berhenti menyaksikan apa yang berlaku. Tua, muda dan kanak-kanak juga ikut
serta. Ain tetap menyumpah tak tentu hala.
“Bawa dia pergi sekarang!” Abang
Khairi menyuruh.
Nur Aishah memujuk. Nasib baiklah
Fatin tidak berkeras. Nur Aishah terus menarik tangan Fatin dan mendapatkan
motor.
“Cepat, kita pergi dari sini. Tak
mahu aku tengok perempuan gila tu!” marah Fatin sekali lagi tanpa rasa malu
depan orang ramai.
“Dah
le tu. Mari kita pergi.” Nur Aishah cepat-cepat mengajak.
Fatin terus menghidupkan motornya.
Nur Aishah tanpa disuruh terus membonceng di belakang. Malunya dia hanya Allah
yang tahu.
“Abang tengok le ni. Baju saya koyak. Perempuan gila tu koyak!” Ain seakan
menjerit.
“Dah
le tu. Tak perlu nak bertengkar. Kita balik sekarang!”
Abang Khairi mengajak.
“Ain tak nak balik. Ain nak
bunuh budak gila tu!”
Abang Khairi tidak menghiraukan
kata-kata itu. Dia terus menarik tangan Ain. Berat saja Ain naik ke atas motor.
Tapi apabila dipujuk berulang kali dia terpaksa mengalah.
“Balik cepat!” Abang Khairi
menjerkah. Kemudian cepat-cepat memecut laju. Babak drama itu telah berakhir.
“Ni, apa tengok-tengok ni. Baliklah.
Nak tengok apa lagi? Suka tengok perempuan bergaduh!” Nurin pula marah-marah
kepada penonton yang ada. Dia lalu terus mendapatkan motor. Terus memecut laju.
Dia tetap tidak berpuas hati. Satu
hari nanti Fatin harus diajar. Kalau tak ada orang, alamatnya Fatin dan lama
jadi arwah. Dengan Nur Aishah sekali dia kuburkan kat situ. Geramnya!
“ECHA NI, KENAPA
BALIK balik lewat? Dah nak Zohor dan ni?” Haji Ezudin bertanya sambil tangannya
memegang al-Quran di hadapan tangga.
“Maafkan Echa ayah. Ada masalah
sikit tadi.” Balas Nur Aishah yang berat-berat nak menceritakan apa yang
berlaku. Takut dituduh membawa cerita.
“Masalah apa pula?” Pandangan Haji
Ezudin difokuskan kearah anaknya. Lain benar bunyinya. Pagi tadi beria anaknya
membawa plastik jubah. Katanya tak sabar untuk memakai jubah. Tapi kini dia
melihat anaknya macam sugul saja.
“Cerita pada ayah, nak.”
“Echa minta maaf, ayah. Echa tak
dapat nak mengelak tadi.”
“Apa yang berlaku?” soal Haji Ezudin
lemah lembut.
“Fatin dan Ain bergaduh besar di tepi jalan.”
“Ya Allah. Apa kena dengan dua orang
tu? Dua-dua tu layak jadi isteri orang. Bergaduh tepi jalan macam budak-budak.”
Haji Ezudin menggelengkan kepala. Dunia sekarang ni macam-macam berlaku. Soal
malu ditolak tepi. Perempuan sama naik dengan lelaki.
“Echa minta maaf andai pergaduhan
itu sedikit sebanyak berkaitan dengan Echa.” Nur Aishah berkata kemudian diam.
“Orang lain bergaduh kau pula nak
minta maaf?”
“Entahlah ayah. Saya pun tak faham.
Tapi sedikit sebanyak pasal purdah yang saya pakai ni le.”
Haji Ezudin menarik nafas panjang.
Butakah mereka? Bergaduh semata purdah? Purdah hanya kain. Tak bersalah. Tak
ada perasaan.
“Tak apalah. Itu hal kecil saja.
Insya Allah esok lusa berbaik le tu
mereka. Lagi pun sekampung tak elok bergaduh.” Haji Ezudin tidak mahu bertanya
panjang.
“Insya
Allah ayah. Echa cuba yang terbaik.” Nur Aishah menjawab. Tetiba dia
teringat peristiwa tadi. Andai dia tak ada masa itu tak tahulah apa yang
berlaku. Silap hari bulan tujuh keturunan le
berlaku pergaduhan antara Ain dan Fatin.
“Ya Allah. Semoga semuanya menemui
hidayah. Semoga semuanya berubah.” Hati Nur Aishah berdetik. Dia berdoa. Lama
dia termenung.
“Ya baguslah. Pasal berbaik dengan
orang ni ayah ada satu perkara nak maklumkan.” Haji Ezudin menutup al-Quran.
Dia memandang anaknya. Tak mahu anaknya termenung panjang.
Nur Aishah membuka purdah yang
dipakai. Menampakkan mukanya yang putih melepak. “Apa dia, ayah?” soalnya
lembut.
Haji Ezudin diam.
“Ayah ni, saja je nak kenakan
Echa.” Nur Aishah duduk bersimpuh di depan ayahnya. Tangannya diletakkan di
atas paha. Matanya fokus ke dalam anak mata ayahnya.
“Apa dia ayah?” Soalnya sekali lagi.
Haji Ezudin diam.
“Apa dia ayah? Saja je kan? Cakaplah?” Mata Nur Aishah
memandang tepat ke arah ayahnya. Wajah tua itu diperhatikan. Ada garis-garis
kedua di dahi. Rambut juga sudah mulai uban.
“Ayah ni saja nak mainkan Echa kan?”
Soal Nur Aishah. Dia tahu ayahnya mahu bergurau sekali lagi.
Satu perkataan keluar dari mulut
Haji Ezudin. “Ada orang masuk merisik Echa.”
“Ayah!” Suara Nur Aishah agak
meninggi. Mulutnya terlopong. Nasib baik tak didengari jiran tetangga. Malu
dibuatnya.
Haji Ezudin mengangguk-anggukkan
kepala bila anaknya memadang. Penuh tanda tanya. Kelakar pun ada.
Bagi Nur Aishah pula, dia
betul-betul terkejut. Belum habis drama gaduh tepi jalan tadi, sudah masuk
drama baru. Kali ini soal masa depannya. Soal cinta.
Haji Ezudin membetulkan kedudukan.
“Sebenarnya, masa orang kampung datang rumah kita semalam pun dah macam-macam
orang datang berbisik kat ayah. Tanya tentang kau.”
“Ayah ni saja je.” Nur Aishah
malu-malu. Dia tertunduk.
Haji Ezudin tersenyum.
“Tanya tentang purdah ke, ayah?”
“Purdah pun dia tanya. Rata-rata
memuji kau. Menarik katanya. Sebab itulah ramai nak ambil kau jadi menantu.”
“Ayah ni. Malulah macam ni.”
Haji Ezudin tersengih. Kemudian
memuji anaknya. “Saham kau makin meninggi. Siapa kata wanita berjubah lambat
jodoh? Tengok, baru semalam ayah balik kau telah pun dirisik. Tak sia-sia doa
ayah kat Mekah suruh kau cepat-cepat kahwin.”
“Ayah ni, ada-ada saja.”
“Betul. Apa yang pasti mereka sangat
suka jubah kau tu.” Haji Ezudin meluah dengan nada yang serius.
“Tapi Echa masih barulah ayah. Masih
lagi nak belajar tentang purdah.” Nur Aishah menolak. Rimas apabila soal ini
diperkatakan. Dia memegang lengan bajunya.
“Mereka pun nak belajar tentang
purdah juga. Berminat memperkatakan tentang purdah.”
“Tentang purdah? Nak belajar dengan
Echa ke? Manalah Echa tahu pasal purdah ni?” Nur Aishah cuba menyoal. Saja dia
nak mengalihkan perhatian pada risikan orang kampung tentang dirinya.
“Baguslah kalau nak jadi yang terbaik di mata
masyarakat. Apapun Echa nak tahu ke siapa yang bertanya tentang Echa?”
Nur Aishah diam. Memang ayahnya
kembali kepada topik utama. Apapun Nur Aishah tak salahkan ayahnya. Orang
kampung berhak bertanya dan merisik. Selagi dia belum sah menjadi milik sesiapa
selagi itulah dia berhak ditanya.
Serta-merta mengingatkan kembali saat hari ketika dia menetap di
pondok. Teringat kata sahabatnya Anis Shamimi yang mengatakan seorang muslimin nak berkenalan. Buat pertama kali,
hatinya dipagut resah, kerana memikirkan cara yang 'kurang syar'ie' yang
diambil oleh muslimin tersebut.
“ Apa kau tak nak tahu siapa lelaki itu?”
Nur Aishah terkebil-kebil. Mulutnya bergerak-gerak. Nak kata ya dikatakan
gatal. Nak kata tidak takut dikatakan sombong.
“Nak tahu siapa dia?” Soal Haji Ezudin buat kali kedua.
“Siapa?” Nur Aishah akhirnya bertanya bersahaja. Perlahan bunyinya.
Hakikatnya pada masa itu dia terbayang juga Aiman Safuan yang pernah menunggu
jawapan yang sama darinya.
“Ramai!”
“Eh, ayah ni. Jangan le macam
tu.”
“Tu le kalau ayah cakap asyik mengelamun saja.”
Nur Aishah rasa bersalah pula.” Siapa ayah?” Dia memandang ayahnya.
“Anak Pak Cik Yusof.”
“Anak Pak Cik Yusof? Abang Khairi?” Hampir ternganga dibuatnya. Memang dia
tak sangka. Baru saja tadi dia berjumpa dengan Abang Khairi yang meleraikan
pergaduhan. Abang Khairi datang tepat pada masanya. Bagaikan hero. Lagaknya
bagaikan Aaron Aziz.
“Ya sayang. Abang Khairi le.”
Memang dia kenal Abang Khairi. Orangnya amat baik sekali. Namun, apa yang
membuatkan dia takut adalah Ain. Apakah Ain menerimanya sedangkan semua sedia
maklum bahawa Ain musuhnya dari sekolah. Bahkan sejak dia mengambil keputusan
untuk berpurdah itu lagi hebat tekanan dari Ain.
“Tak mungkin.” Katanya perlahan. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Apa? Tak mungkin?” Soal Haji Ezudin yang ternyata mendengar kata-kata
anaknya walaupun perlahan.
“Eh, entahlah, ayah.”
“Tak apalah Echa. Istikharah akan menemui jawapan. Kalau Echa tak setuju
kita boleh bagi jawapan yang baik. Kalau setuju pun kita bagi jawapan yang baik
juga.” Haji Ezudin terus mencapai al-Quran lalu membaca perlahan-lahan.
Nur Aishah bangun perlahan-lahan lalu menuju ke bilik. Hatinya sedikit
gusar. Entah kenapa sejak dia berjubah, semacam ujian yang datang. Kalau di
pondok dengan hasrat hati Aiman Safuan. Kat kampung pula Abang Khairi.
Entahlah, yang mana baik untuk ayah. Baik untuk dia juga.
“Susahnya untuk aku kata setuju ya Allah!”