Thursday 20 April 2017

Lapan Tahun Itu ~ (Bab 2) ~ Fizziany



FATIAH MERENUNG skrin telefon bimbitnya. Ada mesej dari applikasi Whatsapp yang masuk. Sejurus membaca mesej itu, Fatiah bingung sendirian. Ben, rakannya yang duduk di sebelahnya menoleh.
“Kau kenapa?” soal Ben. Mereka rakan sekelas di sekolah. Rumah mereka juga tidak jauh. Ada di flat yang sama. Flat DBKL yang terletak di Jalan Cheras.
“Lia...” ujar Fatiah perlahan sambil menunjukkan kepada Ben mesej yang diterimanya dari Adelia. Ben membaca mesej itu dengan penuh minat. Apa-apa saja yang bersangkut paut dengan Adelia, memang menarik minat Ben. Sudah lama dia menaruh hati pada Adelia yang dingin itu. Pada Ben, biarlah rahsia hatinya dipendam sebaik mungkin. Mungkin belum masanya untuk dia meluahkan isi hatinya pada  Adelia. Lagipun, dia bimbang jika Adelia akan berasa tidak selesa dengan hubungan persahabatan mereka selama ini.
“Macam mana ni?” soal Fatiah seraya menjungkit kening kepada Ben. Wajah keduanya berkerut. Ben menarik nafas payah. Dia bangun, sambil menyapu sisa-sisa kotoran yang melekat di punggungnya. Matanya meliar ke arah orang ramai. Fatiah juga turut bangun. Mereka mula mencari kelibat Adelia. Jam sudah hampir 9.30 malam. Mereka berdua sebenarnya mahu pulang. Bimbang jika lambat mengejar LRT, mereka akan ketinggalan LRT pula.
“Dia dah sampai ke?” soal Ben dengan leher yang dipanjangkan mencari kelibat Adelia.
“Dia cakap dah... Tapi..apahal dia tiba-tiba keluar malam? Dia tak pernah keluar malam macam ni sebelum ni...” rungut Fatiah.
“Kalau tak ada hal penting, dia takkan cari kita malam-malam macam ni..” ujar Ben perlahan. Fatiah menjungkit kening. Faham. Setuju.
“Hah! Tu dia!” laung Ben bila terpandangkan satu tubuh yang bergerak laju mencelah orang ramai yang masih berpeleseran di Bukit Bintang malam itu. Mata Fatiah segera memandang ke arah itu. Mereka berdua laju menapak menuju ke arah Adelia yang turut menghampiri mereka berdua. Dari jauh, Ben sudah tersenyum lebar.
“Hai!! “ Ben segera melaung bila mereka sudah berdiri rapat di celah-celah orang ramai. Nafas Adelia naik turun, tercungap-cungap berjalan laju sejak turun dari bas awam tadi.
“Korang dah nak balik ke?” soal Adelia dengan nafas yang tidak teratur.
“Lebih kuranglah...” Fatiah menelek jam di skrin telefon bimbitnya. Ben hanya tersenyum memandang keduanya.
“Kenapa?” Kau keluar malam ni, apa hal?” soal Fatiah bertalu-talu. Adelia memandang kedua wajah rakan karibnya. Sejak di tingkatan 3, mereka bertiga memang akrab di sekolah. Ke mana-mana saja bertiga. Kini, selepas habis peperiksaan SPM, Ben dan Fatiah banyak menghabiskan masa di sekitar Bukit Bintang. Lepak katanya. Sementara Adelia berperang dengan maut ibunya yang saban hari menunggu masa menjemput pulang. Setelah sebulan bertarung, akhirnya ibunya pergi dan Adelia baru menyedari bahawa dia masih punya dunia yang perlu diterjah likunya.
“Aku..aku..” Adelia meneguk air liur pekat. Dia memandang kedua wajah rakannya.
“Apa dia?” soal Ben yang sedari tadi asyik merenungnya. Adelia senyum kelat.
“Aku nak tumpang tidur rumah kau, malam ni boleh?” soal Adelia gugup kepada Fatiah. Fatiah yang mendengar, nyata terkeejut. Riak wajahnya berubah serta merta. Fatiah memandang Ben di sisinya. Fatiah meneguk air liur pekat.
Aku...” melihat Fatiah yang berwajah resah seperti itu, hati Adelia terasa sebal. Seakan menyesal pula dia meminta tolong tadi.
“Kalau tak boleh tak apa..” segera Adelia memintas. Dia tidak mahu Fatiah merasa bersalah.
“Bukan... bukan aku tak bagi.. Tapi, kau pun tahu aku cuma tinggal kat flat. Rumah aku ada 2 bilik je. Aku kongsi bilik dengan adik-adik aku. Kalau aku bawak kau, aku takut mak aku marah..” resah Fatiah memberi alasan. Dia tidak mahu diselar dengan tanggapan tidak mahu menolong kawan.
“Tak... it’s okay. Tak apa...” Adelia cuba meredakan rasa bersalah Fatiah.
“Kau kenapa? Kenapa tiba-tiba nak tidur luar malam ni?” soal Fatiah kalut. Ben menarik nafas resah. Dia berfikir sesuatu.
 “Aku... aku lari dari rumah tu..” keluh Adelia berterus terang. Ben dan Fatiah berpandangan. Masing-masing menarik nafas resah. Wajah Adelia yang murung dipandang lama. Ben menggaru kepalanya sambil membetulkan topinya.
“Beb...aku rasa, baik kita story dalam LRT. Aku takut nanti kita terlepas train...jom...” ajak Ben bila melihat Fatiah dan Adelia yang termangu di situ. Berdri lama-lama di tengah-tengah jalan itu pun tak selesa juga. Lagipun hari makin lewat.Kalau bercerita dalam LRT, koman-koman pun mereka boleh duduk.
Fatiah dan Adelia saling memandang Ben. Kata-kata Ben ada betulnya juga. Mereka angguk setuju.
“Jom...” dengan langkah perlahan, mereka bertiga bergerak seiringan menuju ke arah stesen LRT Bukit Bintang.

“DIA bertegas nak jugak geran tanah tu...Kalau dia tak dapat geran tanah tu, aku dia nak jual sebagai ganti...” keluh Adelia yang duduk di tengah-tengah di antara Ben dan Fatiah. Beg sandang birunya digenggam erat ke dada. Ben dan Fatiah merenungnya penuh empati. Sesekali badang mereka berhinggut bila LRT yang sedang bergerak laju berhenti di stesen-stesen yang tertera di dalam jadual perjalanan. Bunyi bising dari brek LRT dan bunyi mulut orang awam tidak dipedulikan.
“Dia nak buat apa jual rumah tu?” soal Fatiah. Adelia senyum kelat sebelum menjawap. Berat hatinya hendak bercerita tentang keburukan orang.
“Dia tu banyak berhutang... Dia bohong pada arwah mak aku, dia berhutang sebab nak dapatkan rawatan pakar untuk sakit kanser mak aku. Tapi, aku tak nampak duit tu pergi kepada rawatan mak aku pun...” keluh Adelia perlahan. Fatiah dan Ben terdiam. Masalah kawan mereka ini rumit juga. Tak tahu bagaimana nak tolong.
“Habis tu, malam ni, kat mana kau nak tidur ni?” soal Fatiah prihatin. Adelia diam tak berkutik. Dia buntu.
“Rumah kau Ben?” soal Fatiah sambil memandang Ben yang duduk di hujung. Ben mengetap bibir resah. Dipandangnya Adelia yang muram wajahnya.
“Aku memang nak tolong. Tapi rumah aku pun tak boleh...Tapi, aku ada kenal 1 mak cik ni... dia ada buat sewa bilik kat kawasan rumah kedai kat Taman Segar. Kita trylah pergi minta sewa bilik untuk 1 malam saja. Esok...kita fikir semula macam mana nak tolong Lia...” ujar Ben. Fatiah dan Adelia berpandangan.
“Kat mana aku nak cari duit nak sewa bilik?” soal Adelia susah hati. Fatiah terkebil-kebil berfikir. Ben menyeluk kocek jeansnya lalu mengeluarkan dompetnya. Beberapa not RM10 dikeluarkan.
“Aku ada RM30 saja. Kau?” soal Ben Fatiah dan Adelia memandang Ben terkebil-kebil. LRT terus bergerak laju menuju ke arah Cheras.

WAKTU mereka bertiga tiba di depan deretan bangunan kedai di Taman Segar, hari sudah lewat. Jam sudah hampir pukul 11.30 malam. Ben melihat papan tanda yang tergantung di hadapan kedai.
“Haa...atas ni lah...” kata Ben yakin. Dia terus berjalan laju menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas rumah kedai itu. Adelia meliarkan pandangannya. Rumah kedai itu agak kotor. Dari sudut pandang waktu malam, bangunan rumah kedai itu memang agak suram. Tapi bila melihat langkah Ben yang laju, dia ikut saja. Beg sandangnya erat di dalam pelukan. Fatiah masih membuntuti di belakang. Bunyi anjing berteriakan sahut bersahutan di luar.
Sebaik sampai di tingkat satu bangunan itu, terus Ben menuju ke satu bilik. Adelia memerhati sekelilingnya. Aras itu ada beberapa bilik kecil. Catnya juga sudah pudar melalui lampu kalimantang yang terbias suram cahayanya.
Knok!Knok! Pintu sebuah bilik yang agak besar berbanding bilik lain diketuk oleh Ben. Adelia dan Fatiah berpandangan.
Aunty Kimah...” laung Ben bila ketukannya tidak mendapat reaksi dari penghuni di dalam bilik. Buat seketika, pintu bilik dikuak dari dalam. Tersembul wajah seorang perempuan tua yang hanya memakai baju kelawar separa lutut. Tubuhnya agak gempal. Bila dia berdiri di muka pintu, hampir keseluruhan bilik yang dihuninya dapat dilihat oleh Fatiah dan Adelia.
“Haa...Ben..apa kau mau?” soal Aunty Kimah. Cara dia bercakap, tak ubah macam orang Sarawak bercakap.
“Ini...yang mau sewa bilik 1 malam tu...” kata Ben lalu menunjukkan ke arah Adelia. Pantas Adelia tunduk hormat dan senyum segaris bila Aunty Kimah memandangnya.
“Satu malam saja? Mengapa tak mahu sebulan? Lagi lama lagi baik...Bilik itu pun sudah lama kosong...” kata Aunty Kimah. Dia masuk kembali ke dalam biliknya dan mengambil segugus kunci. Sesekali dia terbatuk-batuk sambil mengira kunci.
“Tak ada duit lagi mau sewa lama-lama aunty...” kata Ben pula sambil tersenyum.  Aunty Kimah memandang Adelia.
“Duitnya?” soal Aunty Kimah. Adelia dan Fatiah saling berpandangan. Serentak dengan itu, Adelia pantas mengeluarkan sejumlah wang RM50 yang dikongsi bersama Fatiah dan Ben sejak dalam LRT tadi. Wang RM60 itu terus diserahkan kepada Aunty Kimah. Kunci bertukar tangan.
“Mari...” Aunty Kimah memanggil mereka bertiga membuntuti langkahnya menuju ke arah satu bilik. Tiba di depan pintu bilik tersebut, langkah mereka berhenti.
“Ini biliknya...” kata Aunty Kimah kepada mereka bertiga. Dia merenung satu persatu wajah mereka bertiga.
“Sudah lewat sangat ni Ben... Kau tak mahu balikkah? Nanti mama kau bising?” soal Aunty Kimah. Loghat Sarawaknya agak pekat.
“Ya..ya...saya balik sekarang...” Ben tersengih-sengih. Aunty Kimah kemudian terus beredar dari situ dan masuk semula ke biliknya.
So...kitorang balik dulu. Dah lewat sangat ni...esok kita jumpa kat Leisure Mall...” kata Ben pada Adelia. Fatiah angguk.
“Eh...terima kasih ye korang...” sungguh terharu perasaan Adelia saat itu. Kebaikan kawan-kawan yang sudi menolongnya di saat dia benar-benar perlukan pertolongan amat dia hargai. Fatiah angguk dan menepuk bahunya. Ben cuma tersenyum sebagai tanda selamat tinggal. Selepas itu, terus Ben dan Fatiah bergegas pulang ke flat mereka yang terletak tidak jauh dari situ.
Bilik yang dihuninya itu, memang sangat kecil. Ia hanya muat satu katil saiz Queen dan sedikit ruang untuk solat. Bilik itu kosong. Langsung tidak ada apa-apa hatta sebiji bantal pun. Lantainya yang ada tikar getah cuma kelihatan sangat berhabuk. Dalam waktu-waktu lewat seperti ini, Adelia rasa ralat nak mengganggu Aunty Kimah lagi. Jadi, dia meletakkan beg sandangnya di hujung sudut dan Adelia keluar. Biliknya berdepan dengan sebuah bilik lagi. Bilk itu terletak di ruang hadapan yang menghadap bangunan luar.  Adelia menapak perlahan-lahan, memasang telinga dengan teliti. Dia takut jika kehadirannya disedari oleh penghuni lain aras itu. Adelia berjalan perlahan-lahan. Aras itu ada 5 bilik kesemuanya. Bilik Aunty Kimah letaknya di tengah-tengah. Di tengah ruang aras itu, ada sebuah bilik mandi, sebuah tandas dan dapur yang dikongsi oleh penghuni aras itu. Wah...dah macam Lodging Mak Limah dalam cerita P-Ramlee, Masam-Masam Manis tu...

Adelia mengetap bibir sambil dia menghendap sekelilingnya. Tapak kakinya diperlahankan. Takut jika dia mengganggu orang lain yang sedang lena tidur. Dia mahu mencari penyapu. Puas diperhatikan segenap ruang. Namun, sebiji batang penyapu pun dia tak jumpa. Aduh...bagaimana nak tidur dalam keadaan bilik yang kotor macam itu? Paling koman pun...kena mop dulu lantai bilik itu. Keluh Adelia. Adelia mengetap bibir. Dia masih mencari. Tanpa sedar, sepasang mata sedang memerhatikannya.

No comments:

Post a Comment