Sudah
tentulah abah terkejut dengan apa yang berlaku pagi itu. Kebetulan waktu abah sampai ke rumah, Makcik
Senah sedang menemani cucu-cucunya memungut anak-anak kucing yang sedang bermain
di halaman rumah abah. Anak-anak kucing
itu Lela dan adiknya, Izam letakkan ke dalam kotak besar tempat kucing-kucing
itu tidur di waktu malam. Entah apa yang
dikatakan Makcik Senah kepada abah, abah terus buka pintu rumah dan segera
melaungkan nama Ona. Terkocoh-kocoh Ona datang
sebaik mendengar suara abah. Melihat air
muka abah tegang, kecut juga perut Ona. Ona
dapat rasakan yang dia bakal kena marah dengan abah nanti. Semuanya gara-gara dia menggertak Makcik
Senah, konon hendak panggil polis pagi-pagi tadi. Abah bukannya peduli siapa betul siapa salah. Janji anak-anak abah jaga tingkah laku dan
tidak berlaku kurang ajar dengan orang tua.
"Apa
hal ni, Ona?" abah terus bertanya.
Walaupun
abah tampak tenang, tetapi air muka abah cukup meyakinkan Ona yang abah
sebenarnya sedang memendam marah dalam hati.
Ona jadi gugup berhadapan dengan abah.
Sempat lagi dia jeling Makcik Senah yang sedang sibuk mengarahkan Lela
dan Izam supaya memungut segala ‘harta benda’ kepunyaan kucing-kucing itu yang
bersepah di halaman rumah mereka. Apa
pun tanggapan dan reaksi abah terhadapnya sekarang, Ona tetap bersyukur kerana
gertakannya hendak memanggil polis pagi-pagi tadi telah menakutkan Makcik Senah,
sehingga wanita separuh umur itu tidak berlengah lagi terus bertindak pantas
dengan membersihkan halaman rumah mereka secepat mungkin. Memang padanlah muka Makcik Senah!
"Ona?"
Abah mendesak dengan nada rendah. Ona
jadi gugup dan tidak tentu arah.
"Err... Ona takut kucing!"
Terkulat-kulat
Ona memandang abah. Ona harapkan abah
faham dengan trauma yang Ona alami. Kalau
abah ingat lagi, Ona pernah kena cakar dengan kucing arwah Tok Yang dulu
sehingga dia jadi takut dengan binatang itu sampai kini.
Tetapi
walaupun Ona buat muka sedih di depan abah, Ona tahu abah mana ingat lagi pada
insiden yang berlaku ke atas diri Ona semasa Ona kecil dulu. Tumpuan dan minat abah ketika ini hanya pada
perkara yang Ona telah mulakan dengan Makcik Senah pagi-pagi tadi. Abah ternyata tidak suka dengan cara Ona
berurusan dengan Makcik Senah. Hanya
kerana kucing, Ona gertak hendak telefon polis? Mengada-ada betul Ona ni
tau!
Makcik
Senah menegakkan tubuh sebaik terlihat Makcik Fauziah keluar dari rumahnya di
seberang koridor sana. Pagi-pagi lagi
Makcik Fauziah sudah siap membasuh. Siap
hendak menyidai pakaian yang sudah dibasuhnya itu di penjemuran yang didirikan
di depan pintu rumahnya.
Makcik
Fauziah menoleh ke arah mereka.
"Apa
hal tu pagi-pagi lagi dah kecoh?" Makcik Fauziah menayangkan sengih.
Ona
dapat mengagak yang Makcik Fauziah mesti sudah tahu punca kekecohan yang
berlaku di halaman rumah jirannya ini dan Makcik Fauziah berasa geli hati
sendiri. Apa lagi yang selalu buat Ona
bingit, kalau bukan fasal anak-anak kucing Si Lela itu?
Alah,
Makcik Fauziah bolehlah gelak geli hati kerana kucing-kucing Si Lela itu tidak
menceroboh ke halaman rumahnya. Cuba
kalau kucing-kucing itu pergi mengganggu ke tempatnya, Ona boleh agaklah, mesti
Makcik Fauziah juga tidak akan suka. Mesti
Makcik Fauziah akan bertikam lidah juga dengan Makcik Senah tanpa mempedulikan
jiran sekeliling yang hendak menikmati pagi minggu mereka ini dengan tidur yang
nyaman.
Makcik
Senah meletakkan tangan sebelah di pinggang rampingnya yang berbalut kain batik
lusuh berwarna hijau lumut.
"Ni,
hah… fasal kucing-kucing nilah. Kita nak
buang jauh-jauh. Biar jangan ganggu
orang lain lagi." Jelas Makcik Senah.
Serupalah kata-katanya itu seperti sindiran di telinga Ona yang nipis. Tetapi hati Ona tidak terkesan langsung. Lagilah dia suka kerana akhirnya Makcik Senah
telah sedar betapa kucing-kucing kepunyaannya itu telah menyusahkan hidup
jirannya yang tinggal di tingkat bawah rumahnya.
Makcik
Fauziah menyeringai lebih panjang lagi. Tidak
jadi dia hendak menyidai pakaian yang sudah dibasuhnya itu. Ditinggalkan sahaja baldi berisi pakaian
basah itu di tepi pintu rumahnya yang sudah bertutup rapat. Lambat-lambat dia menghampiri Makcik Senah
dan abah. Makcik Senah kembali
mengarahkan cucu-cucunya supaya membersihkan tumpahan susu di atas lantai
dengan kertas surat khabar. Terbongkok-bongkok
Lela dan Izam menurutkan arahan nenek mereka tanpa membantah. Mulut Ona pula yang gatal ingin segera
menyuruh Lela memungut dulang pasir berisi najis kucing-kucing itu. Geli betullah dia tengok. Terasa akan terkeluar segala isi perutnya
apabila memandang dulang pasir itu lama-lama.
"Ganas
juga kucing-kucing ni, ya?" Makcik Fauziah bersuara lagi sebaik menjenguk
ke dalam kotak yang mengandungi anak-anak kucing itu.
Dilihatnya
kucing-kucing itu sedang berusaha hendak memanjat keluar. Ada yang sibuk mencakar dinding kotak
seolah-olah melepaskan geram. Kasihan
juga dia melihatkan keadaan kucing-kucing itu.
Tetapi hendak buat macam mana lagi?
Daripada mengotorkan tempat orang, lebih baik dibuang jauh-jauh. Satu masalah juga hendak membela anak-anak
kucing sebanyak lima ekor itu di rumah pangsa.
Mesti ada jiran yang tidak suka. Mesti
ada yang akan kompelin. Gelilah. Kotorlah.
Mengganggulah. Macam yang selalu
dibuat oleh Si Ona itu.
"Itulah,
kita sendiri pun takut nak bela sebenarnya.
Tapi budak-budak ni, tahu nak buat main saja. Tentang nak bersihkan tempat dan menjaganya,
malas." Makcik Senah berleter perlahan.
Sebelah tangannya menggaru-garu dagu yang terasa gatal tiba-tiba. Sementara matanya tunak memerhati Lela dan
Izam bersungguh-sungguh membersihkan tumpahan air susu di atas lantai. Sudah kena marah tadi dengan ayah mereka,
barulah mereka hendak mendengar kata. Tidak
fasal-fasal mereka dikejut supaya bangun awal hari ini. Mereka disuruh memungut anak-anak kucing itu
serta membersihkan halaman rumah jiran mereka ini yang bersepah dengan barangan
kucing.
"Biasalah,
Senah… budak-budak, tapi ke mana awak nak buang kucing-kucing ni? Tak kasihan
ke kalau dimakan anjing nanti?"
Sebaik
Makcik Fauziah menyebut ayat terakhir itu, terhenti Lela daripada menyental
lantai. Mendadak kepalanya didongakkan
ke arah Makcik Senah.
"Tak
pedulilah kita, Cik Fauziah. Janji
kucing-kucing tu tak ganggu orang lagi. Kita
dah malas nak fikirkan nasib mereka. Banyak
lagi kerja kita nak buat di rumah. Kerja
kita menjaga cucu. Bukan menjaga anak
kucing." Balas Makcik Senah dengan suara tegas. Tidak kuasa lagi hendak memikirkan tentang
kucing-kucing itu. Selagi anak-anak
kucing itu tidak dinyahkan jauh-jauh, selagi itu jugalah dia akan selalu
bertelagah dengan anak jirannya yang seorang itu. Rasa-rasa Makcik Senahlah, melayan kerenah
anak jirannya yang seorang itu lebih memenatkan daripada melayan kerenah
cucu-cucunya yang dua orang ini. Kalau
cucu, boleh sahaja dia cubit sekiranya degil.
Tetapi anak dara yang garang seperti Si Ona itu, huh… minta simpang
malaikat 44… janganlah sampai menjadi menantu.
Tidak mahulah Makcik Senah sampai pisang berbuah dua kali.
Terloncat
Lela daripada cangkungnya. Tubuh kecil
Makcik Senah dipaut kejap. Kepalanya
terdongak, memandang muka neneknya sambil mencebik hiba.
"Nenek. Jangan buang kucing. Lela sayang kucing."
Sekejap
saja air mata Lela sudah berlinang bagaikan empangan pecah melimpahkan air. Bergerak-gerak bahu kecilnya melayan sendu
yang datang secara tiba-tiba. Makcik
Senah mengetap bibir. Ditahan rasa sebak
dan serba salah yang menggasak dadanya dengan gelagat Si Lela itu.
"Laaa,
kan ayah dah kata tak boleh tadi, janganlah degil. Siapa nak jaga kucing-kucing tu? Nenek sendiri takut nak bela. Lela pula sekolah. Mana ada masa nak jaga?"
Waktu
itu Ona telah melontarkan jelingan maut ke arah Makcik Fauziah yang sedang
tersengih girang bagaikan tidak ada apa-apa berlaku. Sukalah hati Makcik Fauziah dapat menonton
drama sensasi seperti ini. Kerana mulut
celopar Makcik Fauziah jugalah kini Lela jadi panik dan sedih. Yang sebut fasal anjing makan kucing tadi itu
buat apa? Kenapa tidak cakap sahaja
begini: Tak apalah Lela, mari letakkan kucing-kucing tu di tempat makcik. Biar makcik tolong bela.
Makcik
Senah meletakkan kedua-dua belah tangan ke pinggang bagaikan ingin tunjuk
garang pada cucunya, Si Lela itu. Tetapi
dengan air muka Makcik Senah yang lembut, mana mungkin budak degil seperti Si
Lela itu hendak rasa takut. Bahkan
digoncang-goncangnya pula tubuh neneknya yang kecil itu sambil merayu-rayu agar
tidak dibuang anak-anak kucing itu.
"Lela
boleh jaga nek, Lela boleh jaga. Nanti
Lela jaga elok-elok. Nenek janganlah
buang kucing. Lela sayang
kucing."
Makcik
Senah melepaskan nafas penat. Penat
melayan kerenah cucu yang manja seperti Si Lela ini.
"Cakap
kamu saja nak jaga elok-elok. Tapi
sampai masa nanti nenek juga yang kena jaga, kena kasi makan, kena bersihkan
tempat berak kucing-kucing tu. Kamu…
buat tak tahu saja. Kamu kan tahu nenek
selalu sibuk. Sibuk nak masak. Nak membasuh.
Nak hantar adik kamu ke sekolah lagi."
Makcik
Senah memang tidak mahu mengalah lagi dengan Lela. Sudah cukuplah kesilapannya membenarkan Lela
membela sekejap ibu kucing yang sedang sarat mengandung itu, yang Lela kutip
dari pasar.
Lela
kata, dia kasihan dengan ibu kucing yang tidak ada tempat selamat untuk
melahirkan anak-anaknya. Sebab itulah
dia bawa balik ke rumah. Tetapi dengan
adanya anak-anak kucing itu sekarang, semakin bertambahlah kerja Makcik Senah
di rumah. Daripada sibuk menguruskan
kerja-kerja rumah dan cucu, terpaksa juga Makcik Senah menguruskan hal
kucing-kucing itu.
Kalau
menjaga cucu, ada juga hasil yang Makcik Senah dapat. Setiap bulan, penat lelahnya dibayar oleh
ayah Si Lela dan Si Izam itu. Tetapi
menjaga anak-anak kucing terbiar itu, apa yang Makcik Senah dapat hanyalah
penat. Sudahlah itu, bersengketa pula
dengan anak jirannya yang bernama Ona itu tidak sudah-sudah.
Makcik
Senah tidaklah sekejam mana pun terhadap kucing-kucing terbiar itu. Sekiranya dia tidak geli dan takut dengan
kucing, mahu juga dia bela anak-anak kucing itu di rumah sendiri. Hendak harapkan Lela membelanya?
Huh! Rajin Lela cuma sebentar sahaja…selagi Lela
suka bermain dengan kucing-kucing itu. Nanti
sebaik jemunya datang, ditinggalkan sahaja binatang-binatang itu merayau ke
sana sini, tidak diawasi lagi. Tahu-tahu
sahaja nanti anak-anak kucing itu bagi bersepah halaman rumah jiran dan jiran pun
datang mengadu kepada Makcik Senah kucing-kucing itu telah mengotori tempat
mereka. Memang kebanyakan penghuni rumah
pangsa ini tidak suka pada kucing. Pantang
kalau ternampak seekor tersesat ke halaman rumah mereka, mulalah mereka hambat
dengan penyapu. Nama hendak berasa belas
dan memberi kucing itu makan, langsung tidak.
Sudah beberapa kali juga Lela kena marah dengan ayahnya fasal anak-anak kucing
itu. Ayah Lela tidak benarkan anak-anak
kucing itu dibawa masuk ke dalam rumah. Bahkan
binatang-binatang itu disuruh buang jauh-jauh agar tidak mengganggu jiran yang
tinggal sebelah-menyebelah.
Suatu
hari Lela datang berbisik di telinga Makcik Senah. Lela beritahu Makcik Senah, kononnya
kakak-kakak yang tinggal di tingkat bawah rumah mereka tidak kesah menumpangkan
anak-anak kucing itu bermain-main di tempat mereka. Sebab itulah Makcik Senah sampai berani
meletakkan segala harta benda dan keperluan anak-anak kucing itu di halaman
rumah jirannya ini. Tetapi kemudian Ona
menelefon ke rumahnya dan bertanyakan tentang kucing-kucing yang tiba-tiba
muncul di halaman rumah keluarganya. Barulah
waktu itu Makcik Senah sedar bahawa dia telah dikelentong hidup-hidup oleh Lela. Namun untuk mengambil semula anak-anak kucing
itu dari rumah jirannya ini, Makcik Senah memang tidak sanggup.
Selain
sudah malas hendak menguruskan anak-anak kucing terbiar itu, Makcik Senah juga
tiba-tiba berasa seperti membodohkan diri sahaja membela kucing-kucing yang
bukan kepunyaan mereka pun. Walaupun
Lela telah menumpangkan ibu kucing itu beranak di tempat mereka dahulu, itu
tidak bermakna anak-anak kucing yang keluar daripada perut si ibu kucing itu
telah menjadi kepunyaan Lela seperti yang didakwa oleh Ona. Sebab itulah Makcik Senah biarkan sahaja
anak-anak kucing itu di halaman rumah jirannya ini. Biar kebulur ke… dahaga ke… janji binatang-binatang
itu sudah berada jauh dari rumahnya. Dan
Lela juga tidak kena marah lagi dengan ayahnya.
Tetapi
ternyata hati kanak-kanak kecil seperti Si Lela ini lebih murni daripada hati
orang dewasa seperti Ona yang tidak ada perasaan belas langsung terhadap
makhluk Allah yang terbiar itu. Tergamak
Ona membiarkan anak-anak kucing itu kelaparan dan dahaga selama
binatang-binatang itu berada di halaman rumah keluarganya. Mahu tidak mahu terpaksa juga Makcik Senah
menyiapkan semua makan dan minum untuk kucing-kucing itu setelah didesak
berkali-kali oleh Lela.
Lela
kata, kalau kita manusia tahu berasa lapar dan dahaga, begitu jugalah dengan
binatang. Apalagi binatang kecil seperti
anak-anak kucing itu yang belum pandai lagi mencari makanan sendiri. Sudahlah ibu kucing-kucing itu diusir pergi
entah ke mana. Sudah hilang kasih ibu,
dibiarkan pula tidak diberi makan atau dijaga dengan sempurna. Tersentuh jugalah hati Makcik Senah
mendengarkan kata-kata Lela itu yang seperti mengeluhkan nasib sendiri. Sebab itulah anak-anak kucing itu Makcik
Senah beri makan dan uruskan semula walaupun dengan berat hati.
Tetapi
sekarang, semuanya akan berakhir setelah Ona menggertak akan menelefon polis
dan ayah Lela telah berkata akan mengurung Lela selama seminggu di dalam bilik
sekiranya Lela tidak memungut semula anak-anak kucing itu dari rumah jiran
mereka ini. Ayah Lela kata,
kucing-kucing itu akan dihantar ke SPCA.
Di sana nanti kucing-kucing itu akan dijaga dengan baik dan diberi makan
dengan secukupnya.
Sebab
itulah Lela mahu menurutkan cakap ayahnya.
Janji kucing-kucing itu ada tempat tinggal yang selamat dan dipelihara
dengan baik, Lela sanggup sahaja melepaskan anak-anak kucing itu pergi dengan
senang hati.
Tetapi
gara-gara mulut gatal Makcik Fauziah menyebut fasal anjing makan kucing tadi,
Lela sudah kembali bimbang dan sedih. Satu
kerja pula Makcik Senah terpaksa memujuk Lela semula. Geram, memanglah Makcik Senah geram dengan
mulut Makcik Fauziah yang celopar itu. Tetapi
hendak buat macam mana lagi? Takkan dia
hendak marahkan Makcik Fauziah pula?
Jirannya itu biarpun suka cakap lepas, tetapi dengan Makcik Fauziah
sahajalah Makcik Senah boleh ngam. Dengan
jiran-jiran lain, kadang-kadang terserempak di tengah jalan pun mereka akan
buang muka ke arah lain. Nama hendak
bertegur sapa, langsung tidak.
"Sudah,
jangan banyak cakap lagi. Ayah kamu dah
suruh buang, buang sajalah. Nanti bising
lagi ayah kamu kalau nampak kucing-kucing tu bersepah di halaman rumah
orang." Makcik Senah memarahi Lela lagi dengan nada lebih tegas.
"Tapi
Lela sayang kucing, nek." Lela masih tidak mahu mengalah.
"Kenapa
degil sangat ni? Nak kena marah lagi
dengan ayah ke?" Terangkat juga nada suara Makcik Senah. Terkunci mulut Lela kali ini. Tidak berani lagi dia hendak membantah cakap
neneknya. Esak tangisnya sahaja yang
kedengaran sehingga menyentuh hati Ayu yang sedang mengintai senyap-senyap di
belakang Ona.
Kasihan
sungguh Ayu melihat Lela. Kalau bukan
kerana Ona takutkan kucing, memang tiada siapa peduli pun dengan kehadiran
anak-anak kucing itu di luar sana. Seingat
Ayu, abah sendiri tidak pernah kompelin tentang anak-anak kucing itu. Aina juga
pernah berkata, suka melihat anak-anak kucing itu yang sudahlah kecil dan
comel, nakal-nakallah pula. Ona sahaja
yang mengada-ada takutkan kucing. Kadang-kadang
tanpa pengetahuan Ona, Ayu akan keluar bermain-main dengan anak-anak kucing itu
bersama-sama dengan Lela dan Izam.
Makcik
Senah berpaling memandang abah.
"Minta
maaflah, Encik Berahim. Cucu saya Si
Lela ni suka sangat nak pelihara kucing-kucing tu sampaikan ayahnya suruh buang
pun dia degil nak simpan juga. Tu yang
dia tumpangkan anak-anak kucing tu di sini.
Dia fikir Encik Berahim dan anak-anak tak kesah. Tapi kalau dah sampai lima ekor, memang
mengganggu juga kan? Tadi ayah Lela dah
kata akan hantar kucing-kucing tu ke SPCA. Harap-harap adalah orang yang sudi membela
kucing-kucing tu nanti."
Tenang
sahaja Makcik Senah menjelaskan kepada abah.
Abah hanya diam sebelum menoleh kepada Ona. Ona yang sedang berpeluk tubuh di muka pintu,
abah lihat sedang menggolekkan mata ke arah siling. Geram betul abah tengok lagak Ona yang angkuh
itu, macamlah diri tidak bersalah langsung.
"Ona,
minta maaf dengan Makcik Senah. Kamu pun
bersalah juga." Kata abah dengan suara tegas.
Hampir
terbeliak mata Ona kerana terkejut dengan sergahan abah dan arahan yang tidak
disangka-sangka itu. Sudah sah-sah
Makcik Senah yang bersalah, mengapa pula dia yang disuruh meminta maaf? Ada ke patut?
Tetapi
sebaik melihat wajah tegang abah, terbantut juga hasrat Ona ingin membantah. Lagipun dia fikir, tidak mengapalah dia
mengalah pada Makcik Senah, memandangkan anak-anak kucing itu sudah pun
dipungut semuanya dan akan dihantar ke SPCA nanti. Selepas ini, tidak adalah dia takut lagi
hendak membuka pintu. Akan amanlah
hidupnya semula seperti dulu-dulu.
Lalu
dengan suara rendah antara dengar dengan tidak, ucapan keramat itu diluahkan
juga kepada Makcik Senah.
“Minta
maaf, cik."
Makcik
Senah mengangguk kecil.
"Yalah,
makcik pun begitu jugalah… minta maaflah kerana menyusahkan Ona sekeluarga."
Selepas
itu Makcik Senah pun mengarahkan cucu-cucunya supaya pulang. Berdedai-dedai tiga beranak itu menaiki anak
tangga ke tingkat atas. Lela dan Izam,
sama-sama mengangkat kotak besar berisi anak-anak kucing itu. Sementara Makcik Senah pula mengangkat dulang
pasir berisi najis kucing-kucing itu. Ona
segera melepaskan nafas lega di muka pintu.
Selamat dah… tak ada kucing lagi!
No comments:
Post a Comment