Friday 31 July 2015

Kepala Batu Kepala Angin (Bab 3) ~ Fizziany

HARRIS MERENUNG isi kandungan SMS yang baru diterimanya. Satu keluhan dilepaskan. Telefon bimbit kembali disimpan ke dalam kocek seluarnya. Otaknya yang sebelum ini kosong, kini terganggu dek pesanan itu.

Sejak dari 5 tahun yang lalu, saat seperti inilah yang ditunggunya. Saat untuk mendapat tahu, berapakah bahagian harta yang akan diterima olehnya.  Selama 5 tahun ini, dia memaksa dirinya untuk menetap di Malaysia hanya semata-mata mahu melunaskan kemahuan mama. Jika diikutkan hatinya, mati hidup balik pun, dia tidak pedulikan semua harta bapanya itu. Dia tidak ralat hendakkan harta yang melimpah ruah lantaran sudah terbiasa hidup sederhana sedari kecil.

Sejak dia lahir, dia tidak pernah melihat arwah ayahnya. Dia dibesarkan oleh mamanya di sebuah kejiranan di London bersama-sama beberapa orang rakan senegara mama. Semasa kecil, mungkin dia begitu inginkan kehadiran seorang ayah kerana cemburu dengan teman sebaya yang ada ayah, tapi lama kelamaan, dia mula mengerti bahawa hidupnya sudah tersurat bahawa dia hanya ada ibu yang gigih dan tabah membesarkannya. Untuk itu, dia telah meletakkan titik noktah untuk bertanya tentang perihal ayah. Dia tidak mahu hati mama terluka atau terusik walau sekelumit. Pasti mama akan sedih.

Tapi, buat seketika, berita kematian ayahnya telah mengganggu emosi kehidupan mereka berdua buat seketika. Nyata, mama tidak berfikir panjang setelah menerima berita itu. Apa yang sewajarnya menjadi hak mereka, patut dituntut. Pada mulanya, dia agak membangkang tindakan mama.

Tapi, mama terlalu mendesak! Kata mama, papa meletakkan syarat. Jika mahu namanya tersenarai didalam senarai penerima wasiat, dia perlu bermastautin di Malaysia, sekurang-kurangnya 5 tahun. Demi sayangnya pada mama yang dirasakan terlalu menderita kerana perbuatan papa, Harris turutkan juga. Lagipun, dendamnya pada sikap papa terhadap mama, sebetulnya patut dibalas begini! Harta yang bertimbun itu, perlu diberikan hak kepada mama…

Harris menutup skrin komputernya. Jam ditangan dikerling. Sudah hampir Maghrib. Pejabat juga sudah kosong. Rata-rata pekerja nampaknya sudah pulang sejak jam 5.30 petang tadi lagi. Dia berkira-kira mahu pulang saja. Meskipun bila pulang ke rumah, tidak ada yang hendak dibuat di apartmennya, tetapi tinggal dipejabat juga agak membosankan.

Harris bangun lalu menutup lampu biliknya.
“Woih…ko pun tak balik lagi ke?” segera Harris menoleh ke bilik sebelah bila dia disapa oleh Azah yang juga baru menutup lampu biliknya. Harris angguk lalu terus berjalan  menuju pintu utama.Harris berlenggang sambil menyeluk kocek seluarnya.

“Apasal kau balik lambat? Kau bukan ada kerja banyak pun….” Sengaja Harris menyoal dengan ayat keras. Azah sengih saja dengan beg yang tergalas di bahunya.  Nampak macam budak sekolah! Mereka sudah beriringan keluar.
“Saja. …” balas Azah pendek. Mereka sama-sama berjalan menuju ke tempat letak kereta.
“Kau dok mana?” soal Azah. Harris dilihat sedang menyeluk kocek seluarnya sambil sebelah tangannya lagi melonggarkan tali lehernya.


“Kau nak ikut aku balik rumah ke?” soalan dibalas soalan. Terus Azah terdiam sambil mencebik meluat. Harris terus menuju ke keretanya tanpa menoleh ke arah Azah. Manakala Azah, terpaksa menapak lebih jauh kerana keretanya diparkir agak jauh. Hari makin gelap dan azan sahut-sahut berkumandang memecah hening langit petang.

Thursday 30 July 2015

Suri Hati Abang (Bab 2) ~ Aylanins

MACAM MANA boleh terjumpa semula? Punyalah besar bandar ini, dalam ramai-ramai orang, kau boleh terjumpa dia?” Tanya Din tersengih-sengih. Macam tak percaya pun ada dengar Agus sudah jatuh cinta. Siap minta emak dan ayahnya merisik-risik lagi.

“Kau tak ada masa tu, aku dan Hisyam yang jaga kedai ini. Dia hantar sepupu dia gunting rambut. Muka dia tak banyak berubahlah, sama saja macam zaman sekolah dulu. Makin lawa adalah…” sahut Agus. Dia cubit sedikit ikan goreng di dalam bekas makanan di hadapannya.

Nak masuk tengah hari begini, jarang kedai gunting rambut mereka ini didatangi pelanggan. Nanti lewat petang tengoklah, ada-ada saja kaum bapa datang bawa anak-anak lelaki mereka ke sini untuk gunting rambut. Bila kedai taka da pelanggan, cepat-cepat dia dan Agus ambil peluang untuk makan.

“Dia kerja apa?” Tanya Din.

Agus mengerutkan dahinya. “Entah… aku tak tanya pula.”

Baru Agus tersedar, sejak berjumpa semula dengan Mardhiyah lima bulan yang lepas, selepas bertukar-tukar nombor telefon, yang ditanyanya pada Mardhiyah semasa menghantar pesanan ringkas melalui telefon itu cumalah ‘apa khabar’,’dah makan’, ‘baru balik kerja’. Lebih-lebih dia tidak berani sebab Mardhiyah pun jawab sepatah-sepatah pertanyaannya. Mungkin Mardhiyah sibuk agaknya, sebab itu tidak pernah balas panjang-panjang.

Lainlah kalau sesekali terserempak di pasaraya Giant ini, Mardhiyah ramah saja menegurnya. Mardhiyah tidak pernah sombong dengannya. Itu yang buat hati makin tertawan. Mungkin juga, sebab sebenarnya, bukankah Mardhiyah itu gadis yang paling dia senangi sejak zaman sekolah dulu.

Sempat juga dia tanya pada Mardhiyah dengan nada bergurau, bila mahu makan nasi minyak, dengan nada lucu Mardhiyah jawab, “Makan nasi minyak kat restoran nasi beriani Pak Samat saja Agus, nasi minyak kenduri Mar lama lagi.”

“Kalau ada yang berkenan dengan Mar, masuk meminang Mar terus, Mar sudi ke?” Agus memberanikan diri bertanya begitu pada Mardhiyah bulan lepas.

“Ada ke yang berkenan kat Mar? Untungnya kalau ada yang berkenan kat kita lepas itu masuk meminang terus.” Jawab Mardhiyah sambil gelak-gelak kecil. Asal beli barang-barang dapur kat Giant ini pasti dia terserempak dengan Agus. Dia suka berbual dengan Agus ini, jauh berubah sudah Agus sekarang berbanding Agus yang dulu. Dulu Agus nakal, selalu kena marah dengan cikgu. Sekarang Alhamdulillah, pandai berdikari dah Agus itu, siap buka kedai gunting rambut sendiri.

Ayat yang Mardhiyah tuturkan itulah, yang buat dia yakin Mardhiyah memang belum berpunya. Itu yang dia berani minta ayah risik-risikkan Mardhiyah.

Apa kerja Mardhiyah ya? Tapi setiap kali nampak Mardhiyah lalu di hadapan kedainya ini, pakaian Mardhiyah sentiasa kemas. Selalunya baju kurung dan kasut hitam berkilat. Kerja pejabat mungkin. Tiba-tiba saja dia rasa menyesal suruh Ayah risik-risik pasal Mardhiyah. Kalau Mardhiyah tolak bagaimana ya? Aduh, malunya. Mana mahu letak muka ini, tiba-tiba itu yang terlintas di fikiran Agus.



“KESIAN ANAK makcik tu. Suami dia baru meninggal bulan lepas. Mengajar di kawasan pedalaman, naik bot, elektrik guna generator. Anak dia kecil lagi. Makcik harap dia dapat pindah dekat dengan makcik,” ujar suara di sebelah sana.

“Nama dia Puan Fazila ke?” Mardhiyah membelek-belek fail yang bertimbun di atas mejanya.

“Ya… ya… Fazila binti Kamarudin.”

“Makcik telefon saya semula lima minit nanti. Lepas tu sebut nombor 4. Saya semak fail dia dulu,” sahut Mardhiyah. Dia menulis angka empat dan nama Fazila di atas Post-It-Note berwarna kuning dan melekatkannya di skrin komputernya.

“Ok… ok…”

Mardhiyah meletakkan telefon. Tadi ada dia nampak fail Fazila itu di atas mejanya. Ketika sedang mencari-cari itu telefon berdering lagi.

“Puan… anak saya semak dalam Internet, dia dapat transfer balik Johor, tapi surat tak sampai lagi. Kata suruh melapor minggu depan, ni surat takde, Pengetua tak bagi lepas,” selepas memperkenalkan diri, suara di sebelah sana membuat aduan.

“Jap… bagi nama cikgu tu. Nama sekolah dia jugak,” sahut Mardhiyah.

“Azrianna… Azrianna binti Salleh. SMK Sains, Miri. Dia ada kanser, nak buat treatment kat hospital dekat rumah,” masih lagi suara di sebelah sana mengadu.

“Puan telefon saya semula lima minit nanti, lepas itu sebut nombor 5 boleh? Saya cari fail dia dulu,” jawab Mardhiyah.

“Ok… terima kasih Puan.”

Mardhiyah meletakkan gagang telefon ke tempat asalnya. Dia menulis angka 5 dan nama Azrianna di atas kertas Post-It-Note kuning itu. Kertas itu ditampalnya di skrin laptopnya. Fail Fazila sudah ada di hadapannya.

“Amboi… pakai nombor pulak dah,” sapa Mieza yang tiba-tiba muncul di meja Mardhiyah. Skrin komputer Mardhiyah sudah penuh dengan kertas kuning Post-It-Note yang bertulis angka-angka dan nama-nama.

“Tengah tahun. Semua nak minta pindah. Kecoh betul hari ini… aku dari tadi nak makan tak sempat. Mieza tolong fax benda ni ke PPD Bintulu boleh? Cikgu Fazila…”

“Tak hantar lagi ke semua ni?” Tanya Mieza sambil meneliti surat yang diberi oleh Mardhiyah.

“Baru buat keputusan dalam mesyuarat dua minggu lepas. Baru habis mesyuarat dengan JPN antara negeri. Ada yang sudah dapat surat, ada yang belum…” jawab Mardhiyah.

“Ok… nanti aku fax… PPD Bintulu ya…” sahut Mieza. Telefon berdering lagi. Tangan Mardhiyah cepat mengangkat telefon di atas mejanya.

“Empat…” suara di sebelah sana menjawab.

“Cikgu Fazila kan?” Mardhiyah mengerling sekilas pada kertas kuning yang ditampal di skrin laptopnya. Empat. Fazila Kamaruddin.

“Surat anak makcik saya baru fax tadi. Dia dapat transfer. Rasanya petang nanti atau esok PPD fax surat tu ke sekolah anak makcik.”

“Terima kasih Puan… terima kasih banyak-banyak…”

Mardhiyah merenung telefon yang baru diletaknya. Penat bekerja begini, bila dapat ucapan terima kasih, sejuk rasa hatinya.

“Mar...” tiba-tiba Mieza muncul lagi di pintu biliknya. “Ketua Unit nak jumpa. Sekarang.”

“Cikgu Awang Had? Kenapa ya?” Mardhiyah bangkat dari tempat duduknya.

“Jangan-jangan kau kena ganti dia petang ini tak? Dia ada mesyuarat dengan Pengarah petang ni, baru kena panggil tadi,” ujar Mieza.

“Aku banyak kerja nak buat… ganti dia ke mana petang ini?” dahi Mardhiyah sudah berkerut. Pantas kakinya menuju ke bilik Cikgu Awang Had, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah.



MARDHIYAH  MEMANDANG wajah murid-murid di hadapannya. Nak kata nakal, ikut KABORI Pengakap. Nak kata jenis sopan santun, rambut panjang cecah kolar. Cikgu pengiring tak saring dulu ke murid-murid ini?

“Kena gunting rambut ni. Takut nanti berkawad, Pengarah nampak. Tuan Pengarah tu mata jenis mata helang, pantang nampak silap orang,” ujar Mardhiyah sambil memandang ke arah cikgu perempuan di sebelahnya. 

“Gunting sendiri ke? Tak berani saya Puan. Nanti kena saman. Budak-budak sekarang bukan boleh sentuh sangat, sergah sikit pun nama kita masuk news,” sahut cikgu perempuan itu. Budak lelaki tiga orang dengan rambut mencecah kolar sedikit gelisah berdiri di hadapan mereka berdua.

“Gunting kedailah. Tak apalah… saya bawa. Tapi kena ada seorang guru yang temankan saya. Tiga murid, awak, saya. Lima orang, cukuplah. Jam tiga macam ini tak ramai orang kat kedai gunting rambut,” jawab Mardhiyah.

Hendak tak hendak, kena bawa juga murid tiga orang ini gunting rambut di mana-mana kedai gunting rambut sebab budak yang seorang ini tugasnya bawa bendera Pengakap masa majlis penutupan nanti. Yang seorang lagi, bakal dapat anugerah pingat Keris Emas. Memang pasti murid itu akan naik ke atas pentas bersebelahan dengan Tuan Pengarah. Masalahnya, rambut budak-budak ini memang mencecah kolar. Kalau buka topi pengakap pun, panjang rambut budak itu melebihi genggaman tangannya.

“Cikgu Mar… nak bawa budak ke?” tegur Encik Ismail yang tiba-tiba muncul di situ.

“Rambut panjang sangat. Mati kita nanti, Pengarah datang lusa. Budak ini naik pentas terima anugerah,” jawab Mardhiyah.

“Tiga orang kan. Itulah… dah ramai sangat budak kat sini, memang tak perasanlah kes rambut dia ni,” ujar Encik Ismail agak serba-salah.

Dia Timbalan Kem Komandan. Segan juga bila Penolong Pengarah yang kesan kes begini. Cikgu pengiring tak pula perasan rambut budak ini. Tadi siapa entah yang maklumkan padanya Cik Mardhiyah si Penolong Pengarah dari Jabatan Pendidikan Negeri itu datang, sebagai wakil JPN.

“Nanti jam lima gitu kami balik sini semula ya…” Mardhiyah sudah menggenggam kunci kereta.

“Tak apa ke?” Tanya Encik Ismail masih serba-salah.

“Takpe… takpe… kejap je. Nak suruh cikgu lain, semua terlibat aktiviti kan…” sahut Mardhiyah seraya senyum nipis. 

Jadi satu hal pula di ke sini petang ini. Memantau perjalanan kem pengakap peringkat kebangsaan ini bukan tugas dia pun, ini kerja unit lain. Sejak bila pula hal-ehwal perkhemahan begini masuk skop Sektor Pengurusan Sekolah (SPS), tapi kata Mieza, skop kokurikulum memang ada di bawah SPS ini.

Agaknya, sebab semua Ketua Sektor ada mesyuarat petang ini dengan Tuan Pengarah, lepas itu pegawai lain ramai yang bertugas di luar daerah, sebab itu dia pula yang diarahkan ke sini. Susah betul kalau unit kita bersebelahan dengan Unit KK.

Kedai gunting rambut. Sebetulnya boleh saja dia arahkan guru yang bertugas untuk pergi hantar murid-murid ini, tapi entah kenapa dia tiba-tiba saja tawarkan diri. Mungkin sebab ada kedai gunting rambut tertentu yang dia mahu pergi, kan Mar?



“GUNTING MACAM mana? Satu dua tiga?” Tanya Agus sambil matanya pura-pura menilik kepala budak lelaki yang duduk dihadapannya. Padahal sebenarnya dalam hati dia mahu saja menatap wajah Mardhiyah lama-lama.

“Kikis tepi bang…” sahut budak lelaki yang duduk itu.

Army cut… pendek. Macam askar,” tegas Mardhiyah menjawab.

Wah, pandai-pandai nak minta kikis tepi. Sudahlah servis gunting rambut kita yang bayar, suka hati saja nak minta fesyen macam-macam.

Agus tersenyum menahan gelak. Mardhiyah sudah keluar aura Ketua Pengawasnya. Teringat dia dengan si Mardhyiyah yang dicop garang sewaktu di sekolah menengah dulu.

“Malam esok datang tak Mar? Kak Has tanya-tanya tu, lama katanya tak jumpa geng sama-sama main galah panjang dulu,” tanya Agus sambil menoleh ke arah Mardhiyah sekilas.

Mata Cikgu Aini tiba-tiba saja memandang wajah Mardhiyah sekilas. Mar? Cik Mardhiyah kenal ke dengan si tukang gunting rambut ni? Dahinya sudah berkerut.

“Tak pasti. Kalau mak datang, Mar ikut sekali. Kalau abah tak ajak, abah nak pergi seorang, alamatnya duduk rumah je esok,” jawab Mardhiyah dengan nada segan.

Segan pertama sebab Agus cuma panggil dia Mar, lebih-lebih lagi Cikgu Aini ada berdiri di sebelahnya ini.

Segan kedua sebab dia sudah mahu kata tidak pada risikan Haji Syafie, tapi sekarang bila berhadapan dengan Agus secara siaran langsung begini, entah kenapa tiba-tiba saja hatinya rasa berdebar-debar. Degupan jantungnya semakin laju. Darah terasa menyerbu naik ke muka. Bukan kali ini saja, tiap kali ke pasar raya ini, kalau kebetulan dia terserempak dengan Agus di sini, pasti rasa berdebar-debar itu wujud.

Sukakah ya dia dengan Agus itu? Mardhiyah sudah pura-pura mengitari sekeliling kedai gunting rambut itu sambil Agus terus menggunting rambut budak lelaki yang duduk di hadapannya.

Malam esok, majlis akad nikah Kak Azreen, kakak Agus. Kad jemputan memanglah keluarganya dapat, tapi seganlah dia hendak datang ke majlis orang kalau tanpa emak yang menemankan. Dia bukannya pandai sangat beramah mesra dengan tetamu yang dia tidak kenal. Lebih-lebih lagi selepas Haji Syafie berkias-kias pada abah merisik dia untuk Agus.   

Agus terdiam sambil tangannya tekun menggunting rambut budak lelaki yang duduk di hadapannya. Tiba-tiba saja dia teringat dengan kata-kata ayahnya, Haji Syafie, beberapa hari lepas. Ayah sudah tanya-tanya pada abah Mardhiyah, kalau Mardhiyah setuju, kita masuk meminang, begitu kata ayah.

Tapi, setujukah Mardhiyah? Terburu-burukah keputusan yang dia buat ini ya, Agus sudah dilanda bimbang. Kalau setuju, tentu Mardhiyah tidak teragak-agak untuk ke majlis akad nikah Kak Has malam esok.

“Semua sekali dua puluh satu ringgit,” Agus senyum pada Mardhiyah selepas selesai menggunting rambut murid yang ketiga.

Mardhiyah hulur kepingan duit kertas pada Agus.  “Kirim salam kat Kak Has ya. Insya Allah, kalau mak pergi, Mar ikut sekali…”

“Insya Allah…” sahut Agus menyambut huluran duit daripada Mardhiyah. Din sudah pura-pura batuk di sebelahnya. Agus sekadar menjeling tajam pada Din. Dari tadi sejak Mardhiyah ada di dalam kedai gunting rambut itu, Din tidak habis-habis dengan batuk kecilnya.

Kaki Mardhiyah terus melangkah keluar dari kedai gunting rambut sederhana kecil itu. Haraplah emak ikut sekali ke majlis malam esok, adalah alasan untuk dia pergi sekali. Kalau emak tidak ikut, memikirkan hal itu, terasa  ada sesuatu yang hilang dari hatinya.


Tapi kemudian, entah kenapa tiba-tiba saja dia teringat dengan Faisal. Faisal anak Kak Bariah. Faisal anak saudaranya. Faisal yang punya rambut sarang tebuan. Tentu sarang tebuan di kepala Faisal itu makin lebat. Baiklah, malam ini dia akan telefon Kak Bariah, dia mahu cup si Faisal sarang tebuan itu untuk dibawa ke kedai gunting rambut Agus ini, paling lewat hujung minggu ini.

Wednesday 29 July 2015

Kepala Batu Kepala Angin (Bab 2) ~ Fizziany

KALAU AKU cerita mesti kau tak percaya…” kata Harris sambil menyuap nasi goreng kampung ke mulutnya. 3 sekawan lagi bulat memandang muka Harris.
“Aku percaya…aku percaya…” sampuk Din. Yang lain tersengih. Tak sabar hendak mendengar cerita tentang pengalaman Harris yang bertuah dapat menjadi orang pertama berbual dengan si pekerja baru yang cantik mentik tu.
“Muka kiut, tapi hati legend beb…” kata Harris lagi. Semakin galak dia bercerita. Lebih-lebih lagi melihatkan muka cemberut kawan-kawannya itu. Nyata cemburu dengan peluang yang dia ada. Lagi galak hati Harris hendak bercerita.
“Apa yang legend?” soal Halim lagi. Md. Noor dari tadi hanya diam. Dia yang paling pendiam dalam kumpulan itu. Tidak banyak mulut seperti kawan-kawannya yang lain. Hanya bercakap bila perlu sahaja.
“Dia bahasakan diri dia ‘aku’ ‘kau’ aje….macam tak percaya..” sambung Harris.
“Oooo…”melopong mulut si Halim dan Din.
“Dia dah kahwin belum?” soal Din.
“Haha…betul! Itu yang paling penting nak tahu tu,” sampuk Halim pula. Harris terdiam sambil menyambung makan.
“Entah! Ada aku kisah kalau dia dah kahwin ke belum…” sambung Harris. Dia tidak berminat hendak mengetahui latar belakang gadis itu.
“Hissyyy…itu yang paling penting! Takpe, nanti lepas lunch, aku nak tanya….” Ujar Din.
“Tanya…tanya…” sokong Halim. Niat murni Din memang susah nak disembunyikan. Pantang nampak perempuan lawa. Mesti dia mengayat!


MASUK kali ni dah 3 kali Din lalu di depan bilik pekerja baru.  Harris turut perasankan kelibat Din. Malah dia tahu tujuan Din. Namun dia buat endah tak endah saja. Malas nak ambil tahu. Biarlah…ada aku kisah? Lagipun kerjanya masih berlambak….
Dengan senyum yang terkulat-kulat, Din menghampiri bilik Azah, kemudian bersandar di pintu bilik sambil membetulkan posisi badannya agar kelihatan lebih gagah di mata Azah.
“Nama siapa tadi? Azah ye?” soal Din, pura-pura lupa. Padahal, nama itu masih melekat di dalam kepalanya tatkala si penyelaras jabatan, Ching memperkenalkan Azah kepada seluruh isi pejabat.
“Ha’a…” Azah menoleh ke belakang lantas mengukir senyuman. Terbantut sekejap kerjanya.
Husband kerja kat mana?” soal Din dengan senyum yang terkulat-kulat. Azah menjungkit keningnya, kemudian mengulum senyum. Sudah acap kali dia mendengar soalan serampang dua mata itu. Cakap sajalah nak tanya dah kahwin ke belum. Bukan berdosa pun!
“Hmmm….dia kerja kat Shah Alam,” balas Azah. Di dalam hatinya, tergelak kecil. Hahahah….padan muka kena tipu.
“Ooo…tak jauh la tu,” sambung Din tersengih macam kerang busuk. Dia terus menapak keluar dari bilik Azah lalu melangkah 3 tapak ke belakang, berdiri di depan pintu bilik Harris yang bersebelahan.
“Dah kahwin…” ujarnya separuh berbisik dengan muka kelat. Harris yang memandang Din buat muka selamba. Ada aku kisah….???
“Tak dek chance…” Din menghampiri Harris lalu menepuk belakang Harris yang masih tekun membuat kerja di komputernya. Tersedak sedikit Harris dibuatnya dengan tepukan itu. Din dipandang menyampah.
“Blah! Aku banyak kerja ni…” halau Harris. Din terus keluar dari situ, menuju ke tempat si Halim pula demi menyampaikan berita panas itu.



“ERRRRR…macam mana nak buat proforma invoice ni? Orang MCIS dah call mintak proforma invoice! Dia kata, kalau aku tak bagi hari ni, kapal ke Sandakan tu akan tinggal kontena kita kat port…” soal Azah cemas.
Hari kedua berada di pejabat, dia sudah mula membuat kerja di bawah pengawasan lelaki bernama Harris itu. Pekerja yang membuat kerja Azah sekarang, telah berhenti kerja  dengan notis 24 jam, jadi Azah tidak sempat hendak belajar. Masuk kerja saja, terus kena buat kerja. Mujurlah ada pekerja seperti Harris yang sudi membantu.
Harris masih berlagak selamba dan tenang. Dia bangun dari tempatnya sambil menggamit Azah agar mengekorinya kembali ke tempat Azah.
“Duduk,” arahnya, agar Azah duduk di tempat duduknya dan mengendalikan komputer lagi. Harris kini berdiri betul-betul  di tepi Azah. Dekat.
“Pergi desktop,klik icon Export,” arah Harris. Azah ikut saja.
Klik icon Proforma Invoice,” arah Harris lagi. Azah ikut lagi.
“Mana buku nota? Keluarkan..” arah Harris lagi. Lagi sekali, Azah ikut.
“Ada 2 jenis dokumen untukinsurance coverage before kontena naik kapal. Satu proforma invoices dan satu lagi packing list. Dua-dua  ni, ada calculation sendiri. Kau catit apa yang aku cakap ni…lepas tu kau buat, aku tengok…” dan mulut Harris terus rancak bercerita.
Azah terus mencatit arahan Harris dan selebihnya, mula membuat seperti yang disuruh oleh Harris. Mujurlah Azah jenis yang cepat faham. Maka tiada masalah bagi Azah untuk cepat mahir dalam membuat kerja. Harris senyum puas hati bila melihat Azah yang cekap membuat kerja.

Satu kesimpulan yang Harris dapat buat, Azah memang berkebolehan orangnya! Harris senyum senang hati.

Thursday 9 July 2015

Suri Hati Abang (Bab 1) ~ Aylanins

SUARA RIUH-RENDAH di tingkat bawah mengejutkan Mardhiyah dari tidur. Jam di dinding menunjukkan pukul lima setengah pagi. Perlahan dia menggosok-gosok matanya. Entah siapa yang berdentang-dentang di tingkat bawah itu, emak rasanya. Macam bunyi kuali dan periuk berlaga pun ada. Emak itu, selagi majlis tidak selesai, selagi itu dia dilanda sindrom tidak dapat tidur.

Mardhiyah mencapai tuala untuk mandi, mahu bersiap seawal mungkin. Petang ini, mereka sekeluarga akan mengadakan majlis tahlil arwah Tuk Amit dan Nek Jas.

Siap berpakaian dan menunaikan solat Subuh, Mardhiyah turun ke dapur. Emak sedang sibuk menghitung pinggan mangkuk  yang sudah dilonggokkan di tepi kabinet dapur.

“Nasi sejuk ini nak buat apa mak?” Tanya Mardhiyah sekadar berbasa-basi, padahal bukan dia tidak tahu kalau nasi sejuk itu, tentu sekali emak mahu masak nasi goreng.

“Nak goreng. Kalau nak tolong goreng, bawang, ikan bilis, dan sayur mak dah sedia dalam mangkuk tepi dapur tu,” arah Puan Hafizah secara tidak langsung.

Mardhiyah pantas mencapai mangkuk besar berisi nasi sejuk itu. Dalam hati sebenarnya agak lega dengan arahan tidak langsung daripada emak itu. Perbualan emak dengannya malam tadi menyebabkan dia seboleh-bolehnya mahu mengelak dari berbual panjang dengan emak.

Ya, sejak emak buka mulut mengenai Agus.   

Agus?

AGUS ITU DULU satu sekolah dengannya, dari zaman sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah. Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga memang sekelas, kemudian bila masuk Tingkatan Empat, seingatnya Agus masuk kelas Perdagangan, dan dia masuk kelas aliran Sains.

Teringat Mardhiyah zaman dia bergelar pelajar sekolah menengah dulu. Kisah yang merenggangkan persahabatan mereka berdua lama dulu. Waktu itu dia Tingkatan Lima dan baru saja dilantik sebagai Ketua Pengawas Perempuan.

“Hei… kirim salam kat Ketua Pengganas tu,” jerit Agus dari celah pokok bunga raya yang lebat merimbun.

Riduan turut mengintai sama sambil gelak-gelak nakal dengan Hassan. Mardhiyah cuma menjeling tajam. Menyampah dengan perangai kebudak-budakan mereka. Sejak dia dilantik memegang jawatan tertinggi di kalangan pelajar sekolah itu, sejak itulah dia disapa dengan panggilan sebegitu. Ketua Pengganas!

“Ketua Pengganas, aku… aku…”

“Aku apa?!” Sergah Mardhiyah garang. Geram betul dia melihat wajah Agus yang main-main itu.

“Aku tak gunting rambut. Tengok, panjang tak?” Agus membuat iklan syampu di hadapan Mardhiyah. Rambutnya yang ikal itu lebat sekali sampai mencecah kolar baju sekolahnya.

Tersengih-sengih Agus memandang Mardhiyah yang berdiri di hadapannya. Puas hatinya dapat mengusik si mata sepet itu. Sebelum si mata sepet itu dilantik jadi Ketua Pengawas, ramah saja Mardhiyah menegurnya walaupun mereka sudah berlainan kelas. Tapi, sejak Mardhiyah jadi orang penting sekolah kononnya, Agus terasa macam semakin jauh dengan Mardhiyah.

Kadang-kadang dia macam rindukan Mardhiyah yang dulu. Mardhiyah yang peramah, yang baik, yang tidak sombong, walaupun Mardhiyah itu si cerdik pandai yang jadi kesayangan cikgu-cikgu.

Mardhiyah yang dia kenal dulu tidak macam pelajar perempuan lain. Pelajar perempuan lain, kalau cantik sikit, kalau pandai sikit, mulalah nak berlagak. Mardhiyah ini agaknya sudah bertukar jadi spesies yang begitulah. Rasa pandai sikit, mulalah nak berlagak.

“Itu kau sendiri punya pasal. Kalau cikgu disiplin tangkap, padan muka kau,” jawab Mardhiyah garang lalu berlalu pergi. Riduan dan Hassan yang jadi pengapit kanan dan pengapit kiri si Agus tercorot-corot masih memanggil nama Mardhiyah sehingakan pelajar-pelajar lain yang ada dekat-dekat situ menoleh kehairanan memandang Mardhiyah.

Geramnya!



SEJAK DIA memegang jawatan besar itu, perangai Agus dan kawan-kawannya makin menjadi-jadi. Zahida teman baiknya pula selalu merungut. Wajah Mardhiyah makin masam, makin nampak bengis. Tapi entah kenapa Mardhiyah rasa dia sendiri tidak banyak berubah. Cuma masa luang untuk bersama-sama dengan Zahida makin terasa singkat. Tapi bukannya dia sengaja pun.

Dia sentiasa sibuk dengan tugas-tugas sebagai Ketua Pengawas Perempuan sekolah. Bersama-sama Alfian, mereka berdua menjadi teraju Majlis Perwakilan Pelajar sekolah itu. Disiplin sekolah memang tidak pernah bagus. Hampir setiap hari dia mengeluarkan surat saman. Ada-ada saja kesalahan pelajar sekolah yang dia kenal pasti. Kalau bertugas di pintu pagar sekolah saja, suku pelajar yang datang awal pagi pasti punya kesalahan.

“Dik, mana kad pelajar?”
“Awak, pakai stoking belang-belang ni kenapa?”
“Ni rambut, kenapa cecah kolar?”
“Lewat lagi, memang tak ada muka lain ke? Asyik awak je.”

Itu belum lagi tugasnya sebagai Sidang Redaksi Majalah Sekolah. Dilantik sebagai Ketua Editor majalah sekolah, menjadi wakil sekolah dalam pelbagai pertandingan, Mardhiyah itu, Mardhiyah ini, pendek kata tidak ada nama lain yang naik ke pentas untuk terima hadiah penghargaan kalau bukan Mardhiyah.

Mungkin kerana itu, memang betul kata Zahida. Mardhiyah makin sombong. Makin lupa daratan.

“Sombong kau sekarang Mar. Maklum, orang jadi Ketua Pengawas sekolah. Kesayangan cikgu,” tuduh Agus.

“Mana ada aku sombong. Kita dah besarlah Agus… kena elok sikit perangai tu…” balas Mardhiyah.

Yalah, bila masa pula dia sombong. Agus itu yang sudah banyak berubah. Sejak berkawan dengan Riduan dan Hassan, makin menjadi-jadi pula sifat nakalnya.

“Yalah… kau kan pandai. Kau aliran Sains, aku kelas Perdagangan. Mana padan dengan kau…” luah Agus sambil pura-pura membelek tayar basikalnya.

Nantilah, kalau Mardhiyah keluarkan lagi surat saman, dia mahu pancitkan tayar basikal Mardhiyah. Sudah tentu Mardhiyah kena sorong basikalnya balik ke rumah, dan selepas itu, dia selaku jejaka prihatin, akan tolong hantar beg sekolah Mardhiyah ke rumah.

Beg Mardhiyah makcik, kasihan dia sorong basikal pancit tadi, Agus sudah tersenyum-senyum di situ.

Bukankah Mardhiyah pernah kata dalam hujahnya sewaktu pertandingan pidato antara kelas dulu;

kalau hendak pikat si anak dara,
kena pikat dahulu ibu dan bapanya,
kalau hendak dengar hujah saya,
dengarkan dulu definisinya.

Agus sudah senyum-senyum dalam hati. Dia ingat hampir semua yang berkaitan dengan Mardhiyah. Almaklum, Mardhiyah itu kan buah hati tidak rasminya. Si mata sepet itu sudah menambat hatinya sejak zaman mereka sama-sama sekolah rendah dulu.

“Kau senyum apa?” Tanya Mardhiyah sudah kehairanan melihat Agus tersengih-sengih sambil belek-belek tayar basikalnya.

“Mana ada aku senyum…” Agus terus berdiri pura-pura tidak tahu. Dia naik ke atas basikalnya, mahu mula mengayuh basikal itu. Riduan sudah sampai di sebelah Agus dengan basikal Mountain Bikenya itu.

“Agus. Sekolah ini atas bukit. Baik kau turun sekarang. Sampai bawah bukit baru kau kayuh basikal tu…” Mardhiyah sudah keluarkan arahan tegasnya. Agus ini memanglah. Mentang-mentang mereka kenal satu sama lain dari sekolah rendah sampai sekarang, berlagaknya ya ampun.

“Kalau aku jatuh, kau dukung aku haha…” sengih Agus. Sibuk saja Mardhiyah itu. Bukannya jatuh pun kalau setakat bukit landai begini. Tegasnya ya ampun mengalahkan mak nenek betul.

“Agus! Jangan kata aku tak bagi amaran…”

“Kau ni tegas sangatlah Mardhiyah. Membebel macam mak nenek. Cikgu disiplin pun tak macam kau,” ejek Riduan. Mardhiyah cuma menjeling geram.

Bye darling kahkahkah…” Agus sudah berlalu pergi sambil mengayuh basikalnya, meluncur menuruni bukit itu.

Mardhiyah menarik nafas panjang. Geram betul dengan Agus itu. Setiap hari ada-ada saja Agus mahu sakitkan hatinya. Dia toleh ke belakang mencari kelibat Zahida, kawan baiknya. Mana Zahida ya?

Teringat dengan kata-kata Zahida tempoh hari. Zahida kawan baiknya sejak Tingkatan Satu itu, terang-terang mengatakan Mardhiyah sudah lupa daratan. Mentang-mentang ayam tambatan sekolah. Kata Zahida, Mardhiyah sekarang sudah ada nama besar di sekolah ini, jadi lupa pada kawan-kawan yang tidak berkebolehan.

Benarkah ya? Benarkah dia sudah berubah sedemikian rupa? Ataupun adakah ketegasan yang dia pamerkan itu menjadi tembok pemisah kepada persahabatan mereka?



“TAK BAIK begitu Mar,” tiba-tiba saja Puan Hafizah bersuara memecahkan lamunannya. Mardhiyah menoleh. Emak sudah ada di belakangnya. 

“Haaa…? Apanya mak?” Soal Mardhiyah pura-pura tidak tahu sedangkan dia sudah dapat agak arah bicara emak.

“Tak baik pilih harta. Jangan tengok rupa juga. Yang penting bagi kita ini hati, kalau rupa saja lawa, perangai entah ke mana pun tak guna juga,” komen Puan Hafizah.

“Bukannya Mar memilih mak,” dia sudah mengetap bibir. Emak ini, sudah jadi isu pula hal dia dan Agus ini. “Mar pun ada ciri-ciri tertentu yang Mar mahukan dalam diri seseorang tu. Bukannya boleh main tangkap muat saja. Takkan terus nak kata ya.”

“Agus itu kita kenal dah lama. Sejak kamu berdua sama-sama sekolah tadika lagi. Sekampung. Bukan orang lain Mar,” balas Puan Hafizah. Kali ini dia sudah berlalu ke arah ruang makan.

“Tapi tak apalah, kalau Mar memang tak nak, mak tak paksa. Yalah, dia itu pun bukan kerja makan gaji. Kerja gunting rambut saja pun,” sambung Puan Hafizah.

Kalau dah tak suka, hati orang jangan dipaksa-paksa. Agus anak bongsu Hajah Fatehah itu memang bukan orang lain. Satu sekolah, malah satu kelas lagi dengan Mardhiyah dari sekolah rendah dulu. Kakak Agus, si Azreen itu pun teman sepermainan Mardhiyah masa kecil-kecil dulu. Tapi, yalah, dia faham juga, bukan senang Mardhiyah yang berkelulusan universiti itu hendak terima anak muda yang kerjanya cuma gunting rambut orang macam Agus.



MARDHIYAH TIDAK BERANI hendak menjawab. Karipap yang sudah garing di dalam kuali dikautnya dan diletak di atas pinggan beralaskan tisu penyerap minyak. Kemudian dia masukkan lagi karipap mentah ke dalam kuali berisi minyak panas.

Emak, Abah, Haji Syafie, Agus, dan soalan itu. Tawaran sebetulnya. Eh, pinangan sebenarnya.
Betulkah boleh dikatakan sebagai pinangan? Kalau pinangan, mana cincinnya?

Merisik. Ya, rasanya itu perkataan yang paling tepat. Haji Syafie, ayah Agus itu cuma risik-risik saja pasal dirinya. Kalau belum ada yang punya, dan Mardhiyah bersetuju, keluarga Agus mahu masuk meminang Mardhiyah ini, untuk disatukan dengan anak bongsu mereka, Agus itu.

Mardhiyah membalik-balikkan karipap di dalam kuali. Hatinya masih terkesan dengan kata-kata Emak. Kata-kata Abah malam tadi. Usul Haji Syafie juga. Mengenai Agus.

Tapi, bukankah kalau memilih pasangan itu, seboleh-bolehnya hendak yang sekufu?

Kalau lelaki itu, isterinya punya taraf pendidikan yang lebih rendah berbanding si suami, jarang ada masalah di kemudian hari.

Tapi, Agus itu, pendidikannya sampai tahap mana ya?

Mar ini Penolong Pengarah mak, Agus itu tukang gunting rambut. Manakan sekufu?


Atau, definisi sekufu pemahaman Mardhiyah ini berlainan dari definisi sekufu yang sebetulnya. Adakah ya, maksud lain bagi sekufu ini?