Thursday 26 March 2015

Saat Bulan Jatuh ke Riba (Bab 1) ~ Naurah Iman

Dua tahun kemudian.
                Ian hanif menekan butang lif angka enam belas. Dia berundur setapak ke belakang. Menjadikan dinding lif sebagai cermin, dia membetul-betulkan tali lehernya yang bercorak polka dot itu. Sedikit senget, lalu dibetulkannya kembali sehingga simpulan itu berada di tengah-tengah. Rambutnya yang sudah pendek itu dibetul-betulkan dengan hujung jari.
                Hmm... lawa! Dia senyum pada refleksi wajah sendiri.
Hari ini, dia ada mesyuarat dengan beberapa orang klien. Jadi dia perlu pakai kemas-kemas sedikit. Selalu tu, dia lebih suka pakai jeans dan baju T leher V sahaja atau baju berhud. Sampaikan Jay sudah tidak larat hendak menegurnya. Janji kemas sudahlah! Jawab Ian pula selepas itu. Ian lebih suka bekerja di belakang tabir. Jika tiada keperluan, dia lebih suka Jay yang tampil ke hadapan.
Dia melirik pada jam tangannya. Jam 8.30 pagi. Hmm… Bagus. Lif ini hanya untuk dia seorang sahaja. Mesyuarat akan bermula pada jam 11.30 pagi nanti. Masih awal lagi ni. Getusnya. Kemudian, kedua-dua tangannya memegang tangkai briefcase. Menunggu lif membawanya ke destinasi. Kaki kanannya dihentak perlahan-lahan mengikut irama lagu yang sedang dinyanyikan olehnya.
Ting! Pintu lif terbuka pada tingkat tiga pada ketika dia hendak tarik suara pada korus lagu tersebut. Potong betullah! Mulutnya yang sedang terbuka luas itu segera dikacip.
Menyedari keadaan itu, Ian berhenti menyanyi. Dia berdeham, membetul-betulkan suaranya. Menegakkan postur berdiri. Kena maco beb. Takkan nak bagi orang dengar dia menyanyi lagu jiwang pulakkan. Walaupun dia tahu, dalam hatinya sentiasa ada taman.
Dia menunggu gerangan yang menunggu kotak bergerak itu tadi untuk masuk. Lelaki ini mudah mesra. Maka pada wajahnya sudah terbit senyum manis untuk diberikan. Berpagi-pagi begini eloklah jika dimulakan dengan memberi. Dapat juga pahala. Jadi dia senyum lebar.
Senyuman lebarnya terus mati tatkala menyedari siapa yang masuk ke dalam lif tersebut. Spontan, dia bersandar terus pada dinding lif. Tali leher yang kemas tadi kini terasa mencekik batang leher, lantas segera dilonggarkan.
Udara yang disedut terasa tidak mencukupi untuk paru-parunya. Terasa tercecik. Rasa sesak nafas tiba-tiba. Tangannya terus berpeluh sejuk. Tidak! Tak mungkin. Ini tak mungkin berlaku. Otaknya menafikan apa yang di hadapannya. Renek peluh sejuk mula terbentuk di dahi. Ian betul-betul rasa tidak sihat sekarang ini. Dia rasa hendak demam!
Alamak! Macam mana ni? Ian berfikir sendiri. Dia ketap bibir apabila melihat jari itu menekan butang dua puluh. Tingkat terakhir bangunan itu. Mereka akan bersama-sama sehingga dia sampai ke pejabatnya. Oh Tuhan! Matilah aku macam ni! Air liur ditelan terasa pahit.
Ian terus pejam mata.
Dia mungkin boleh tahan jika hanya seorang, tapi ini melebihi daripada apa yang dia mampu tangani. Perutnya rasa bergelodak tiba-tiba. Hendak termuntah di situ juga. Malah, rasa itu sudah sampai ke ruang tekak. Dia cuba tarik nafas panjang. Urgh! Tak boleh! Tak boleh! Ian tekup mulut. Tahan Ian, tahan! Suara hatinya cuba menguatkan fizikal tuannya.
“Encik tak sihat ke?” suara halus salah seorang perempuan itu menerjah gegendang telinga.
“Encik?!!”
Ian buka mata. Ah! Silap besar! Bulat terus matanya apabila menyedari kedua-dua wanita itu sedang memerhatikannya dengan wajah pelik. Terus tubuhnya rasa panas. Dia sedang berhiperventilasi dan dia perlu segera keluar daripada situasi ini.
Tanpa diperdulikan suara dan wajah kerisauan mereka, Ian terus memicit mana-mana butang lif. Kalut! Dia sudah tidah kesah. Yang penting, janji dia dapat keluar daripada situasi yang menyebabkan tenaganya berada terus pada tahap zero. Ting!.., Dia diselamatkan daripada memalukan dirinya sendiri apabila lif terbuka pada tingkat sepuluh.
Ian terus meluru keluar dan semua isi perutnya terus terhambur keluar pada seseorang tanpa dapat ditahan-tahan. Ketul-ketul makanan yang hampir tercerna itu meluncur daripada mulutnya.  
Seperti filem yang diperlahankan, dia dapat melihat dengan jelas sarapan paginya iaitu roti bakar dan jus oren yang sudah bercampur di dalam perut bersama jus asid habis melekat pada dada yang Ian tidak tahu siapa. Sempat juga dia berpaut pada lengan seseorang sebelum dia membawa orang yang dipautnya itu sama rebah ke lantai.
Buk! Ian terus jatuh! Jatuh pada sesuatu yang lembut. Dia sudah tidak sedar apa-apa. Pandangannya jadi gelap.
                Dan seseorang itu, terjerit sama apabila punggungnya terhentak pada lantai marmar. Segera dia bingkas membetulkan tubuh yang menghempapnya tadi. Urgh! Beratnya. Bau masam segera terhidu namun dia tidak pedulikan itu semua. Dia terkejut buat kali kedua.

                “ Doc? Ian?”

Wednesday 25 March 2015

Ash (Bab 4) ~ RodieR

Headphone Girl
Ni yang aku lemah ni... Telefon bimbit diambil juga dan disua ke telinga selepas menekan butang answer. “Helo, assalamualaikum.”
“Wa’alaikumsalam. Eca kat mana tu? Dah sampai dah?” Suara ayah menyapa pendengarannya.
“Dah. Baru je sampai, tu yang tak angkat ayah call tadi, tengah drive lagi.” Tenang dia menjawab. Beg beroda yang tadi diheret dibrek berhentikan di sebelah katil. Katil sebelah masih lagi kosong. Aku tak tau lagi la roommate aku siapa ni. Tak sampai lagi kut.
“Makan apa malam ni, tau? Dah siap lapor diri la ni? Bilik okey? Berapa orang sebilik?” Laju ayah bertanya tak menyempat-nyempat nak menarik nafas.
Aishah menggeleng kepala sambil melabuhkan badan ke katil. “Tak tau makan apa, tak dapat menu. Dah siap lapor diri. Bilik okey, roommate sorang, chalet ni ada dua bilik, so satu chalet empat orang. Tapi roommate tak sampai lagi.” Satu-persatu dia menjawab soalan ala-ala police interrogator ayahnya itu.
“Okey la macam tu. Rehat la dulu. Nanti ayah call lagi.” Dan talian dimatikan sebelum sempat dia nak menjawab apa.
Badan diturunkan berbaring dengan kepala jatuh ke bantal yang sedia menunggu. Pening sedikit terasa memandu sejam setengah dari Kuala Terengganu ke Besut ni. Ayah memang sukarela aje nak hantar, tapi dia yang menolak awal-awal. Apa kes lesen memandu dah bertahun ada tapi masih lagi nak ayah hantar-ambikkan macam zaman sekolah menengah dulu? Buat malu kat orang lain aje la macam tu.
Beg tangan yang masih di bahu ditarik turun, dan laju tangannya menggaul isi beg, mencari sesuatu. Jumpa, tali yang panjang berselirat itu dirungkaikan perlahan-lahan dan earphones itu disumbat ke telinga. Sejenak kemudian, What I’ve Done, Linkin Park mengasak lubang telinga. Jam di tangan kanan dilirik sejenak. Pukul satu. Tadi urusetia dekat reception tu cakap, taklimat ringkas pukul tiga. Boleh la nak layan tidur dulu sekejap, bagi clear balik kepala yang terasa sedikit berdenyut. Mata dipejamkan dengan sebelah tangan meraba mencari telefon bimbit nak set alarm. Bergegar telefon bimbit itu di tangannya menandakan ada mesej masuk.
Eca, dah sampai ye? Aktiviti apa ada hari ni?
Mesej ibu itu dibaca dengan sebelah mata. Dia melepaskan keluhan perlahan. Here we go again...

***

Headphone Boy
            “Ashraf.” Lelaki itu menghulur tangan, memperkenalkan diri padanya yang baru saja nak melabuhkan punggung di atas katil bujang di hujung bilik itu.
            Senyum. Tangan disambut. “Muhammad Hanif.” Beg galas hitam di bahu dilurutkan ke lantai dan beberapa helai kemeja yang sudah siap digosok dan disangkut dengan penyangkut baju di tangan kirinya dihamparkan di atas katil bersebelahan.
            “Ash.” Kawan sebilik barunya itu sengih. “Nama pendek.”
            “Right. Nif-Cut.”
            Kening terjongket sebelah. “Oh?”
            Dia ikut sengih. “Basketball nicknames.”
            “I see.” Angguk. “UKM, TESL.”
            “UiTM, Farmasi.” Dia pun dah melabuh duduk berdepan dengan rakan sebiliknya itu. Jam di pergelangan tangan kiri dikerling sekilas. Pukul satu setengah. Tadi urusetia dekat reception tu cakap, taklimat ringkas pukul tiga. Boleh la jugak kalau nak layan tidur sekejap lepas solat ni.
            “Oh?” kening dua-dua dah terjongket.
            Dia mengangkat muka dari jam di tangan. “Kenapa?”
            “Farmasi?”
            Dia angguk. “Nampaknya aku sorang je kat sini health-line.” Sengih lagi.

            Ashraf ikut sengih, mengangguk lagi. “Cool.” 

Monday 23 March 2015

Saat Bulan Jatuh ke Riba (Prolog) ~ Naurah Iman

Prolog

“Air liur awak meleleh tu!” tegur lelaki itu. Mulut Hanna terbuka tatkala diperkenalkan dengan ahli kumpulannya. Melopong dia dibuatnya. Dia bukannya seorang perempuan yang mudah terpersona dengan insan berlainan jantina itu. Tapi yang ini..., Maha suci Allah yang menciptakan. Kalau orang kata Aaron Aziz itu kacak, lelaki depan dia ini berkali-kali ganda cantiknya.
Eh! Lelaki cantik? Segera dia tutup mulut namun pandangan matanya ternyata sukar untuk dialihkan. Hanna kesat tepi bibir. Mana ada air liur! Tipu! Walaupun ditegur begitu Hanna tetap lihat juga. Susahnya nak kalih pandangan! Cantik sangat!!! Benda yang sedap mata memandang, haruslah pandang lama-lama. Siap menongkat dagu lagi dia. Heh!
Dia bersumpah, dengan nama Allah yang 99 itu! Inilah pertama kali Hanna terpegun melihat lelaki ciptaan Tuhan. Dia cantik amat! Benar-benar cantik! Mengalahkan kecantikkan seorang perempuan. Agaknya kalau orang kerat jari dia pun, Hanna masih mampu tersenyum tanpa rasa sakit.
Bijak sungguh cara Zulaikha untuk mengiakan keindahan Nabi Yusuf a.s. Beri setiap tetamu dengan sebiji buah epal dan pisau. Kemudian panggil nabi Allah itu keluar. Sampai darah meleleh pun tak sedar gara-gara terpersona. Kalau Hanna, tentu dia pengsan tak bangun-bangun (komalah agaknya!).
Beginikah agaknya yang para undangan Zulaikha rasa tatkala terpandang Nabi Yusuf a.s buat pertama kali? Nabi ke sebelas yang terkenal dengan kecantikkan dan ketampanannya. Bukan setakat itu sahaja, baginda juga terkenal dengan kebijaksanaannya dalam mentakwil mimpi.
Oh! Inikah yang dinamakan cinta pandang pertama?
Sempat dia terfikirkan akan hal itu. Ah! Kau ni Hanna, kalau yang ada depan mata pun sudah cantik begini, tentulah pesuruh Allah itu berlebih-lebih lagi cantiknya. Masakan boleh disamakan begitu. Kalau ya pun, sudah tentu berduyun-duyun wanita mengekori lelaki depan matamu ini ke mana-mana. Mata kau sahaja yang nampak dia tu cantik! Orang lain nampak dia itu biasa sahaja tahu!
Hanna hembus nafas. Cantiknya dia. (Aih! Kau sebut lagi. Sudahlah tu! Si tukang tulis ni pun tak larat dah nak tulis perkataan tu tahu!) Tak pernah seumur hidup Hanna dia berkata begitu.
Lelaki itu ketawa kecil apabila Hanna tidak berkelip memandangnya. Ini yang susahnya bila rupa diri tak serupa dengan orang lain. Asyik mencuri tumpuan sahaja. Tapi nak buat macam mana. Sudah begitu kejadiannya. Dia terima dengan berlapang dada. Itu anugerah dan disebabkan itu juga, hidupnya tidak pernah sunyi dengan jantina bernama perempuan.
“Hanna Mariah binti Isa!” lelaki itu melihat fail di tangan. Namanya diseru. Hanna kelip mata apabila lelaki itu sebut nama dia. Bahunya ditegakkan. Eh! Dia tahu nama aku. Macam mana dia tahu? Tambah lima markah bonus untuk dia.
“Ya saya!” Hanna menyahut.
“Bagus, semua orang ada di sini. Baik, untuk tugasan kita...,” Ian masih memandang Hanna ketika dia bersuara.
“Awak orang sini?” potong Hanna. Baguslah tu Hanna. Bagus! Bodohkan diri sendiri. Tanya soalan yang tak berapa nak bijak itu. Mujur dia tak main pintal-pintal rambut. Renungan teman-teman satu kumpulan juga tidak dihiraukan. Hanna sudah terkena panahan asmara!
Lelaki itu geleng kepala sebelum menjawab. Anehnya soalan. Agaknya perempuan ini masih belum betul-betul sembuh. Dia perasan bibir gadis ini kelihatan kering. Mukanya sedikit pucat. Semalam gadis ini tiada semasa pembahagian kumpulan. Dia diberitahu, Hanna dapat cuti sakit tiga hari. Demam panas. Jadi, walaupun rasa hendak kata apa kau peduli, dia pilih untuk menjawab.
“Lahir dan dibesarkan di Malaysia. Mak dan ayah orang Melayu. Awak ada soalan peribadi yang lain lagi yang awak hendak tanya sebelum kita mulakan tugasan ni.” Jawabnya senada. Kadang-kadang penat juga hendak menjawab soalan-soalan begini. Secara teknikalnya, dia memang darah anak Melayu pun. Warganegara jalur gemilang. Tetapi susur galur sebelah mamanya ada darah orang Irish. Setelah beratus tahun, gen resisif itu kembali muncul dan diperturunkan kepadanya.
Hanna mendagu selepas menggeleng tanda dia tiada soalan hendak ditanya. Tunak matanya memandang lelaki yang sedang membahagi-bahagikan tugasan. Terasa tidak puas dengan hanya memandang. Dia mahu memahatkan wajah itu di benaknya. Hanna sudah terpaut hati.
Mata lelaki itu amat menarik minatnya. Di sebalik kaca mata old school itu, jelas warna anak matanya yang perang kehijauan. Rambutnya pula warna coklat gelap dan ada sedikit campuran merah di celah-celah helaian rambutnya. Kalau iris matanya sudah warna begitu, tentu sahaja rambutnya warna asli. Telah Hanna pula.
Hanna senyum. Lelaki tadi kemudian memandang ahli kumpulannya sebelum pandangannya kembali jatuh pada Hanna. Dia perasan gadis itu masih memandangnya. Kaca matanya ditarik melorot pada batang hidung. Sebelah kening diangkat seperti bertanya. Kenapa?
Puas hati dengan kesimpulan sendiri, Hanna tutur perlahan. “Awak cantik sangat!” spontan ia dikeluarkan.
Terpempan lelaki itu. Terjatuh langsung fail tugasan yang dia pegang sejak tadi. Hilang terus kosa katanya.
Yang terdengar hanyalah sorakan daripada rakan sekumpulan.
Gila! Dia berdeham dan memulakan tugasan mereka tanpa memperdulikan pada mata yang asyik merenungnya.


“Aduh! Penatlah aku nak tunggu! Cepatlah Cik Hanna oi! Kau nak cakap apa ni?” rungut lelaki itu. Rasa seperti hendak cekak pinggang pun ada. Sudah hilang rasa sabarnya. Daripada tadi tidak lepas-lepas juga. Dia ni, masih banyak lagi kerja lain yang hendak dibuat. Bukannya ada masa hendak menunggu-nunggu begini. Menunggu bukanlah kekuatannya.
“Aku rasa… aku suka pada kaulah! Kita kahwin nak Ian.” akhirnya terluah juga walaupun tergagap-gagap! Hanna tarik nafas lega. Terkelip mata lelaki itu apabila Hanna menuturkan kata-kata tersebut. Terdiam lelaki itu seketika. Hanna selalu berjaya membuatkannya terkedu dan terkelu begitu. Namun disebabkan sifat berterus terang dan keanehan Hanna yang inilah mereka rapat dan bersahabat.
Terbuka sedikit mulut lelaki itu. Dua saat! Tiga saat! Resah! Hanna tunggu jawapan. Tapi tidak lama, kerana tawa lelaki itu sudah memenuhi ruang dewan kecil tersebut. Beberapa kepala sudah terarah kepada mereka berdua. Mahu tahu apa yang menyebabkan lelaki itu pecah tawanya.
                Pipi Hanna terasa panas tiba-tiba dan dia tahu ianya juga sudah merah. Dia garu-garu kepala. Malunya!!! Namun, dia gagahkan juga untuk angkat muka. Diberanikan juga diri untuk memandang wajah lelaki yang sedang menampakkan keseluruhan giginya. Dia gelakkan aku. Huh! Hanna sengih serba salah.
                Sambil tahan ketawa lelaki itu berkata. Dia tekan perut sama. Satu tangan diletakkan pada dinding. “Ha… Hanna! Aku tahulah kau ni suka melawak. Tapi agak-agaklah. Takkan sampai benda macam ni pun kau nak buat bahan lawak jugak!” lelaki itu menggeleng kepalanya. Hud yang menutup kepalanya ditarik sedikit ke belakang dan dia terus pandang tepat pada Hanna yang sedang turut memandangnya.
                “Aku seriuslah Ian!”
                “Kau ingat aku tak ingat hari ni hari apa? Hmm…” sebelah kening sudah terangkat. Tak dipedulikannya pun luahan rasa yang gadis itu. Perasaan terkedunya sudah bertukar menjadi lucu pula. Dia anggap itu hanyalah salah satu daripada jenaka gurauan daripada Hanna.
                “Hari apa?” tulus Hanna bertanya. Mukanya nampak tidak bersalah langsung.
                Lelaki itu geleng kepala. Cubaan untuk memerangkap dialah agaknya. Dia takkan mungkin kalah pada permainan ini. Gelaran LAMPI (lambat pikap!) kepada Hanna ini memang kena sungguh! Bendul pun boleh jadi juga. Kadang-kadang Hanna memang selalu lambat tangkap. Tak tahulah bagaimana mereka ini boleh rapat dan bergelar sahabat.
Kemudian dia senyum. Matanya nampak bercahaya. Wajahnya serius menatap wajah Hanna. Daripada kedudukan bersandar dia peluk tubuh dan melangkah setapak mendekatkan diri menghampiri Hanna yang terpaksa mendongakkan wajahnya untuk memastikan hubungan mata itu tidak putus.
                Hanna terus telan liur. Berundur dia setapak ke belakang.
                Dengan jari telunjuk kanan, lelaki itu melorotkan kaca mata yang dipakai pada batang hidungnya. Satu tabiat yang dia suka buat jika dia beri sepenuh perhatian. Kepalanya ditundukkan sedikit, membawa wajahnya dekat  dengan Hanna. Matanya tepat merenung ke dalam bola mata gadis itu. Sebelah tangannya mengamit-gamit pada sesuatu.
                “Hanna…” lembut dia bersuara. Wajahnya serius.
                “Ya!” Hanna berdebar-debar menunggu.
                “Aku…, aku nak cakap…” dia sudah tersengih hingga nampak gigi.
                “April Fool!!!
                Serentak dengan itu, sejenis cecair yang telah dicampurkan dengan pelbagai benda yang berbau ‘selamat’ dicurahkan ke atas kepala wanita tersebut.
Dan Hanna hanya mampu menyapu wajahnya yang basah. Riuh dewan itu dibuatnya. Mengelilingi mereka berdua. Wajah basah itu bercampur dengan air mata yang sudah meleleh ke pipi. Luahan rasanya dipersendakan.
Hanna letak tangan pada dada. Allah! Sakitnya rasa ini!

Wednesday 18 March 2015

Saat Bulan Jatuh ke Riba (Epilog 1) ~ Naurah Iman

Epilog 1         
      
“Alhamdullilah! Allah satukan juga mereka berdua.” Itu yang dia tuturkan sebaik sahaja melihat tautan jari jemari kemas di hadapannya. Kemudian, bayi berusia lapan bulan yang berada dalam dukungannya itu diagah sehingga menampakkan dua batang gigi bawahnya.

                “Susah juga rupanya kan, kalau terjatuh hati pada sahabat sendiri.” dia berpaling untuk memandang dan menyatakan pendapatnya pada lelaki di sebelahnya. Lelaki yang juga sedang memandang pasangan tersebut. Pasangan yang mereka berdua pandang itu sedang ralit melihat bulan purnama. Menikmati hangatnya cinta anugerah Ilahi. Muzik irama 60-70-an kedengaran sayup-sayup.

                Lelaki yang diajak berbual itu tidak segera membalas. Berfikir sejenak sebelum menuturkan. Kemudian dia senyum. “Setiap ikatan hati di antara dua manusia itu, bermula dengan namanya persahabatan. Tidak susah dan tidak sukar sekiranya diikhlaskan kerana Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambanya. Kenapa?... Menyesal eh sebab lepaskan dia pergi? Pergi untuk orang lain?” duga lelaki yang kini sedang meletakkan tangannya di atas penghadang balkoni. Tunak matanya memandang. Mengharapkan jawapan.

                Lelaki dengan bayi itu menggeleng kepalanya dengan laju. Dia senyum. “Taklah! Itu, adalah antara keputusan terbaik yang pernah aku buat. Mereka gembira dan aku turut merasa tempias bahagianya. Hati itu, sukar untuk dipaksa-paksa! Apatah lagi hendak jika hendak diperintah-perintah. Hati itu, kan raja kepada tubuh badan kita ni.” Dia berhenti seketika. Mengambil nafas panjang. Dia menggoyangkan tubuhnya apabila bayi dalam dukungannya merengek kecil.

 “Lagi pun... mereka itu sudah dijodohkan untuk bersama. Aku tengok kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain, walaupun perangai masing-masing, Ya Allah, macam anjing dengan kucing.” sambil angkat bahu dia tertawa kecil. Goyangan tubuhnya sedikit dilajukan. Anak kecil itu masih mengeluarkan bunyi. Lapar ke?
“Aku ada kau, aku ada sahabat-sahabat yang sentiasa mengingatkan. Aku nak kompelin apa? Hidup ini terlalu pendek untuk disibuk-sibukkan dengan perkara-perkara yang melelahkan.” Sambungnya sambil dia tersenyum. Anak kecil tadi sudah senyap. Tangannya menepuk-nepuk perlahan belakang bayi tersebut.
                Lelaki ini semakin mengerti dan memahami. Syukur pada-MU, Ya Rabb. Semoga Kau tambahkan pemahamannya dalam agama-MU. “Setiap perbuatan baik, akan Allah balas walaupun sebesar zarah saiznya. Jika tidak di sini, di sana nanti Dia pasti balas. Usah bimbang,... bidadari-bidadari syurga sedang mengintaimu dari sana. Insya-Allah, masa untukmu akan tiba tidak lama lagi. Rasa-rasanya, hidung ini sudah terbau-bau wanginya nasi minyak. Telinga ini, bagai sudah terdengar-dengar kuatnya tamparan bunyi kompang.”

                “Amin! Semoga Allah perkenankan.” Dia tertawa senang hati, sehingga pasangan tadi melihat ke arah mereka dan segera melambai. Dalam terangnya cahaya bulan itu, riak wajah dengan senyuman dapat dilihat dengan jelas. Dengan menggunakan tangan bayi tadi, dia membalas semula lambaian tersebut.

                “Patutlah Hanna sayangkan kau! Aku faham sekarang. Kau berbeza dengan teman-temanmu yang lain! Sampai ada orang tu cemburu!” sambungnya pula selepas itu. Bertuahnya dia, Allah kurniakan dia dengan insan-insan hebat bergelar sahabat. Tidak sia-sia pencariannya selama ini. Jiwanya benar-benar terisi.

                Lelaki itu hanya angkat bahu. Tapi di bibirnya ada senyuman. Hati sudah menyebut syukur, alhamdullilah. Haza min fadhli Rabbi. Ini kurniaan Tuhanku. Selayaknya, puji-pujian itu hanya untuk Dia. Bimbang ujub yang hadir seketika tadi itu menghampiri riak pula.

                Baru berniat nak sambung tengok bulan, tiba-tiba anak kecil dalam dukungannya sudah menjerit minta disusukan.
                “Hanna!” 

Tuesday 17 March 2015

Ash (Bab 3) ~ Rodier

3
Headphone Girl
            I hate this!
            “Eca, Besut tu bukan dekat. Sejam lebih jugak. Lagipun, Eca tak tau pun kat mana resort tu. Kan lebih senang ayah hantar? Kalau Eca sesat sorang-sorang macam mana? Tak ke susah?” Ibu masih cuba memujuk.
            Kak Long dan Kak Ngah yang kebetulan elok pula ada di rumah waktu dia cuti semester tersengih memandangnya dengan ibu silih berganti. Dah dapat modal baru dia orang nak mengusik. Adoi la!
            Dia mengeluh perlahan. Ada dah dekat dua hari aku cakap benda yang sama. Penatnya!
            “Tak de la, bu. Pandai-pandailah Eca cari tempatnya. Bukan budak kecik lagi. Duduk Selangor tu pun boleh hidup, ni kan kat negeri sendiri?”
            “Tak de ke kawan-kawan yang pergi jugak, Eca boleh ajak pergi sekali?”
            Ada. Ashraf. Namun, nasib baik tak tersasul keluar jawapan sepatah itu. Dia sekadar menggeleng.
            “Betul Eca tak nak ayah hantar?”
            Laju dia mengangguk. “Daripada terperap je kereta ibu tu, baik Eca bawak jalan jauh sikit.”
            Tajam mata ibunya merenung dia. “Jangan bawak kereta laju-laju. Bawak paling laju lapan puluh sudah.”
            Dia menggigit bibir, menahan senyum. Aduhai, sampai tetapkan speed limit. Kakak-kakaknya di sebelah dah pecah ketawa.
            “Ada apa-apa call, tau. Bateri handset tu pastikan penuh.”
            Angguk lagi. Sengih. Nampak ada kemajuan di situ…
            Terdengar ibunya mengeluh perlahan. “Eca ambil jalan pantai la, luas sikit jalannya. Tak payah ambil shortcut Sungai Tong, banyak lori.”
            Sengihnya dah bertukar menjadi tawa kecil. “Ye, bu.” Panjang nadanya menjawab. “Lagi?”
            “Apa yang lagi?” terjongket kening ibunya bertanya.
            “Pesanan penaja?” dengan sengih nakal dia melawak.
            Ibu dah buat muka tak faham. “Pesanan penaja? Penaja apa? Sukan SUKMA?”
            Tergolek dia ketawa. Pandai jugak ibunya melawak. “Bukan la, bu, apa la.”
            Ibunya masih tunjuk muka blur. “Dah tu?”
            “Ada lagi pesanan, bu?” tenang dengan senyum meleret dia bertanya.
            “Nanti ibu fikir dulu.” Serius juga ibunya itu membalas.
            Dia ketawa lagi.
            “Tuan puteri intan payung, bersedia la untuk pesanan-pesanan seterusnya selagi tak pergi lagi ni.” Kak Ngah akhirnya bersuara mengusik, berselang tawa kecil dengan Kak Long.
            Terdiam terus dia, lama menjeling dua orang kakaknya itu yang masih tersengih. I hate it when you call me that!

***

Headphone Boy
 “Hei, kau ni!”
Dia sekadar ketawa membalas. Bola yang tadi elok dilantun naik turun dek Faizal dari hujung gelanggang ke hujung satu lagi dah selamat beralih tangan kepadanya. Laju dia berlari dengan bola sesekali dilantun di depannya. Sampai di depan jaring, bola diangkat dan dibaling dengan sebelah tangan, cantik bergerak meniti hoop jaring sebelum perlahan-lahan masuk ke lubang. Bola disambut dan dilempar kembali pada Faizal. “Kau kena ingat, dah sepuluh kosong ni.” Sengih.
Faizal menjulingkan mata. “Rehat la dulu, weh. Penat dah aku kejar kau.”
“Apa kes surrender awal sangat ni?”
“Awal tak awal dah dekat sejam weh!” Faizal dah berlari anak ke tepi gelanggang, jatuh terduduk di sebelah bangku yang dihuni dua beg sukan dan dua botol mineral besar yang dah tinggal suku saja airnya. Termengah-mengah dia mencapai botol air, membuka tutupnya dan meneguk air senafas sampai habis.
Apakehal kau pancit sangat ni? Kau tak main ke? Menghadap buku je, aim nak score dean list setiap sem eh?” Dia menegur dengan sengih senget, duduk di sebelah sahabatnya itu. Botol airnya dicapai juga dari atas bangku, dibuka dan diteguk tenang.
“Apa lak dean list. Aku ni Encik Dean pun dah muak tengok muka aku, tau tak? Kerja tidur dalam kuliah je selalu.”
Dia ketawa, kuat. “Patut la pancit. Kumpul lemak rupanya.” Perut si kawan di sebelah dicucuk-cucuk dengan jari telunjuk. Terpeleot tulang belakang si Faizal mengelak.
“Ada apa eh dengan kem kepimpinan ni?” Entah apa-apa program la yang uni buat. Orang nak lepak bercuti pun tak boleh.
Dia menjongket bahu. “Entah.” Dia menjawab pendek.
“Buat apa ek, benda alah ni sebenarnya?” Aku belajar kejuruteraan kimia apakejadahnya nak masuk kem kepimpinan segala? Aku nak pimpin siapa? Faizal dah menggeleng-geleng kepala. Nasib baik la si kawan sekolahnya ni pun naik nama jugak. Kalau tak, makan pasir agaknya aku kebosanan. Tengok, ni pun dah mula rasa bosan, sampai tanya soalan pun dah lebih kurang aje bunyinya.
“Lepak dengar ceramah je kut kerjanya.” Ringkas lagi dia membalas.
“Agak-agak ada basket court tak kat kem tu?”
Dia merengus perlahan. “Tak. Dinding sepuluh meter tinggi buat latihan panjat-panjat macam askar tu ada la kut.” Dia sengih. Macam mana lagi nak tunjuk kepimpinan selain daripada aktiviti-aktiviti lasak macam tu? Tak ke?

Faizal menggeleng. Hancus!

Wednesday 11 March 2015

... dan Angin pun Berbisik (Bab 5) ~ Adileah

“Meen, next week kita pergi Golden Palm Tree.”
Amboi cara dia macam bukan bernada  ajakan. Itu macam arahan mandatori. Biasanya Adam akan tanya dia free atau tidak, ada banyak tempahan atau tidak. “Abang...”
“Please sayang. Semalam Meen cakap next week free kan?”
“Nanti, let me discuss with Aiman ya.”
“Aiman cakap tak ada order next week.”
“Aiman tu, kalau banyak kerja pun dia tetap akan kata tak ada kerja.” ‘Makcik’ Aiman memang macam tu sejak dia berkahwin dengan Adam. Apabila Adam tanya tentang jadual kerja mereka, dia akan kata tak sibuk. Contohnya macam minggu hadapan ni, mereka ada tiga majlis bertunang, dua majlis nikah dan lima majlis akikah. Belum lagi kira dengan barang hantaran dan dekorasi yang perlu mereka buat.
“Please sayang, for our annivesary.”
Oh okey. Yasmeen tersenyum lebar. “Abang belanja.” Balas Yasmeen.
“Share lah sayang.” Gurau Adam.
“Share?” mata Yasmeen bulat memandang Adam. “Tak nak! Tak aci! Abang ajak Meen, tapi kena share.” Mahal tu nak pergi Golden Palm Tree Resort & Spa. Dia rela guna duit tu untuk pergi shopping.
“Sayang, berapa kali nak bagi tahu ni, Aci kat office tu dah resign.”
“Abang, boleh tak jangan main-main.” Geramnya dia dengan Adam. Puas hati apabila dapat picit hidung Adam sampai merah.
Adam ketawa. “Meen sayang abang tak?”
Bertambah cemberut wajah Yasmeen. “Berapa kali nak bagi tahu ni?” tapi dia angguk juga. Memang dia sayang pada Adam.
“Okey, disebabkan Meen sayang abang, semua expenses abang belanja.”
Yasmeen ketawa. Adam ni la... “Abang sayang Meen kan sebab tu abang belanja kan?”
“Meen rasa?”
Yasmeen tersenyum. Kalau dengan Adam ni macam nilah mereka. Ada saja yang hendak dijadikan topik bergaduh. Tapi bukanlah bergaduh besar, gaduh mereka ni gaduh sayang.
“Tak rasa apa-apa.”
“Sampai hati, Meen tahu tak abang sayang Meen?”
“Abang please stop it. Bila nak habis ni.”
“Ya abang sayang Meen, jadi abang belanja semua.”
“Semua?”
“Ya sayang.” Adam memandang wajah Yasmeen yang nampak sangat teruja dengan tawarannya. “Semua.” Adam mendepangkan tangannya dan membuat bulatan yang membawa maksud ‘semua’.
“Insya-Allah abang. But I need to do some shopping, boleh?” Banyak bajunya sudah tidak muat gara-gara badannya naik mendadak.
“Okey, boleh sayang and you look good in baby blue.”
Yasmeen senyum, dia faham maksud Adam tu yang suka melihat dia memakai baju warna baby blue katanya nampak sangat lembut sedangkan dia suka pada warna yang garang barulah nampak ceria. “Baju kelawar aja yang Meen muat sekarang ni.” Yasmeen mengeluh perlahan. Tak tahulah kenapa berat badannya boleh naik mendadak seminggu dua ni. Sudahlah kuat makan, kuat merajuk dan emosinya juga jadi sangat sensitif. Kadang-kadang tu tak tahu kenapa, tiba-tiba dia sudah merajuk dan berkecil hati.
“Tak kisahlah Meen pakai baju apa pun, yang penting I love you sayang.” Adam tunduk memandang Yasmeen yang sedikit rendah darinya. Kedua belah tangannya memegang pinggang Yasmeen.
Dia perasan juga lekuk pinggang Yasmeen agak melebar berbanding daripada sebelum ini. Mengandung kah? Tetapi dia diamkan saja, tidak mahu bertanya kepada Yasmeen bimbang nanti dia berkecil hati. Isu mengandung adalah isu paling sensitif pada Yasmeen!
Yasmeen senyum membalas senyuman Adam. “Abang tak nak pergi kerja ke?” tali leher Adam dibetulkan, biar nampak lebih kemas.
“Oh sorry lupa, abang pergi kerja ya.” Lama dia mengucup dahi Yasmeen. Terasa bibirnya hendak berada di situ lebih lama. Dalam keterpaksaan dia menjauh sedikit dari Yasmeen.
“Abang pergi dulu ya sayang.” Tangan kanannya mengusap lembut kepala Yasmeen. Alhamdulillah dengan kehidupan mereka yang sederhana dan bahagia.
“Happy working abang.”
Yasmeen menghantar Adam hingga ke kereta. Setiap hari dia berdoa agar keselamatan Adam terpelihara walau di mana saja dia berada kerana Adam itulah nyawanya. Yasmeen masih lagi berdiri dan melambaikan tangan ke arah kereta Adam yang bergerak pergi. Begitulah rutinnya setiap pagi atau setiap kali Adam kena pergi outstation.



Mereka memilih bilik Ivory Palm Villa. Kalaulah laut di Sepang ini airnya biru tentu lebih cantik dan menarik. Tetapi tak kisahlah asalkan dia dapat luangkan masa berdua begini. Selepas urusan check in selesai mereka menuju ke kafe terlebih dahulu untuk makan tengah hari.
Kafe Sepoi-Sepoi kelihatan lengang. mungkin mereka yang datang awal agaknya. Yasmeen memandang ke sekeliling. “Abang, kita duduk meja yang menghadap ke laut tu nak tak?” Yasmeen menunjukkan arah meja yang dimaksudkannya.
“Sure sayang.”
Damainya memandang laut yang terbentang luas. Ditambah pula dengan angin yang bertiup perlahan. Terasa sangat nyaman dan menenangkan. Mereka membuat pesanan makanan laut. Adam senyum, hari ini dia akan ikutkan saja segala kemahuan Yasmeen. Esok kan hari bahagian mereka.
“Meen.”
“Ya.”
“Thank you.” Ucap Adam dalam senyuman mengusik.
“Kenapa?” udang bakar yang sudah dibuang kulit oleh Adam tadi dicucuknya dengan garpu.
“Tolong kopekkan kulit udang.” Yasmeen ni suka makan makanan laut seperti udang, ketam, kerang dan adik-beradik makanan laut yang lain. Tetapi satu aje perangai Yasmeen ni, dia suka makan tapi malas hendak kopek makanan laut yang berkulit dan bercangkerang. Selalunya dialah yang tolong buatkan untuk Yasmeen.
“Berkira! Meen dah belikan baju  baru untuk abang tau.” Balas Yasmeen tidak mahu kalah. Mulutnya yang bulat penuh dengan udang mengundang tawa Adam.
Comelnya dia, puji Adam dalam hati sebelum dia membalas kata-kata Yasmeen tadi. “Itu Meen sendiri yang pakai bukan abang.”
“Tapi Meen pakai untuk abang tengok, abang siap request nak baby blue. Tapi tak apalah kalau abang berkira sangat. Meen tak payah pakai dan abang tak payah tengok.” Penat tahu dia pusing keliling Paradigm Mall hari itu untuk cari baju yang sesuai dengan ‘kegemukan’nya sekarang ni. Sudahlah tu, dia sanggup tawaf satu shopping mall semata-mata nak cari warna baby blue. Adam tu satu aje perangainya, kalau dia cakap suka maknanya kita kena cari kerana dia tidak akan beritahu secara terus terang. 
Adam ketawa. “Tahu tak yang Meen ni comel sangat kalau membebel macam ni.” Adam mengelap hujung bibir Yasmeen dengan hujung ibu jarinya.
“Tahu... tapi abang tak boleh berkira sangat sebab Meen kan isteri abang.” balas Yasmeen selamba dan udang yang sudah berkopek kulit dalam pinggan Adam dia cucuk dengan garpu.
“Thanks sayang.” Ucap Yasmeen sambil mengenyitkan sebelah matanya ke arah Adam.
“Naughty wife.” Balas Adam menggelengkan kepala.
Bagaimanakah agaknya jika dia terpaksa meninggalkan Yasmeen? Bagaimanakah kehidupan Yasmeen nanti? Terbit pertanyaan di hatinya di celah kebahagiaan yang dia sedang kecapi saat ini.
“Meen.”
“Hmm...” Yasmeen memandang Adam di hadapannya.
Adam senyum, dia suka suara manja Yasmeen yang menggumam begini. Mungkin Yasmeen juga akan mengecapi kebahagiaan sekiranya dia masih lagi bersama dengan Ariel?
“Walau apa pun yang terjadi, hari ini, esok dan bila-bilalah... abang sentiasa nak Meen cari kebahagiaan Meen sendiri.”
“Kenapa? Abang tak bahagia dengan Meen ke?” kenapa lain macam sangat ni? Dia ada buat salah ke? Atau dia ada mengecilkan hati Adam ke tanpa disedari?
“Sangat bahagia.” Abang sayang Meen sampai mati.
“Habis tu kenapa ni?” Angin laut bertiup sedikit kuat hingga alas meja pun turut beralun keras ditiup angin.
“Abang sayang Meen dan sebab tu lah abang kata, abang nak Meen cari kebahagiaan sendiri. Kebahagiaan Meen, kebahagiaan abang jugak.”
“Oh...” Yasmeen memandang Adam di hadapan. Lama mereka berkenalan, bercinta, terputus dan akhirnya jodoh mereka bersatu juga. Adam bukanlah pilihan keduanya selepas Ariel kerana Ariel juga bukanlah pilihannya pertama. Kedua-dua mereka ada tempat istimewa di hatinya. Bezanya, Ariel adalah kisah silam yang banyak memberinya pengajaran.
“Meen ingatkan apa tadi. Tapi, kebahagiaan abang pun kebahagiaan Meen jugak. ” Balas Yasmeen perlahan. “Kita jalan tepi pantai nak tak?” mesti seronokkan kalau dapat jalan tepi laut waktu redup macam ni. Bukan senang nak jumpa waktu tengah hari yang redup dan mendung macam ni.
Angin semakin kencang bertiup hingga menyukarkan dia hendak bergerak kerana dress yang dipakainya turut sama terbang ditiup angin. “Kuatnya angin, nak hujan kut.” Rungut Yasmeen perlahan.
“Ya kut.” Bahu Yasmeen semakin erat dipeluk. “Jomlah balik, sejuklah.”
“Itulah abang, tadi Meen suruh bawak cardigan tak nak.”
Adam ketawa perlahan.
“Lepas tu sendiri yang sejuk.”
Memang betul pun hari nak hujan. Ketika mereka sampai di hadapan pintu bilik, hujan turun dengan lebatnya dan semakin kuat juga ombak menghempas tiang bilik mereka ni.
“Hujan.” Bisik Yasmeen ketika menarik langsir pintu lungsur bilik mereka.
“Bagus untuk misi khas malam ni.”
“Misi apa?” bulat mata Yasmeen memandang Adam. Misi apa pulalah yang dia hendak buat ni. Tengok gaya muka macam lain macam aja. Macam ada misi ‘jahat’ aje.
“Rahsia.” Balas Adam dalam senyuman. Sekurang-kurangnya biarlah Allah berikan dia seorang zuriat untuk menjadi teman Yasmeen kala ditinggalkan.
“Rahsia apa ni? Misi ni mesti ada Meen kan?” Adam ni suka buat dia tertanya-tanya. Tak sukalah.
“Rahsialah...” balas Adam. Rambut Yasmeen yang terjuntai diselak ke tepi telinga. Mereka berpandangan sesama sendiri. “Dalam misi abang tu, memang ada Meen sorang aje. Kalau Meen tak ada, misi pun gagal.” Balas Adam dalam senyuman dan lembut dia mencium dahi Yasmeen.
“Baiknya clue abang, Meen dah tahu.”
“Bijak isteri abang ni.” Ya Allah, aku bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai nikmatnya mencintai seorang isteri seperti Yasmeen. berikanlah dia keberkatan dan kebahagiaan hidup kerana membahagiakan hati suaminya. Doa Adam dalam hati.



Malam tu hujan masih lagi turun dengan lebatnya. Mereka hanya buat pesanan makanan ke bilik saja. Hendak keluar pun malas waktu hujan begini.
“Happy anniversary abang.” Bisik Yasmeen di telinga Adam. Dalam hati terbit juga rasa sedih. Sudah dua tahun mereka berkahwin, sampai sekarang masih belum dikurniakan cahaya mata. Anak kan pengikat kasih sayang antara suami dan isteri.
“Happy anniversary sayang.” Balas Adam perlahan.  
“Sorry Meen cuma sempat beli baju aja untuk abang.” Bisik Yasmeen perlahan dan rasa bersalah. Baju tu cuma untuk keguaan Adam pergi kerja saja.  
Adam senyum. Yasmeen yang berdiri di hadapannya dia tatap dengan penuh rasa cinta. Misteri jodoh tidak pernah ada siapa yang tahu. Siapa menyangka Yasmeen yang pernah terlepas daripadanya, kini menjadi miliknya yang sah.
“Abang pun tak beli hadiah untuk Meen because I am your anniversary gift.” Balas Adam nakal dan inilah misi khasnya.
“Ala... Meen beli baju tau tapi abang tak beli apa-apa pun.”
“Take me as you anniversary gift.” Usik Adam dalam ketawa yang panjang walau pun selepas itu dia mengaduh kesakitan dicubit oleh Yasmeen.
“Abang jahat.”
Semakin kuat dia ketawa memandang Yasmeen yang bercekak pinggang. Tetapi akhirnya akur juga pada misi khasnya. Ya lah misi ni akan gagal kalau dia tiada partner dan orang yang paling tepat dan berhak adalah Yasmeen.
“Okey, okey.” Adam mengangkat kedua belah tangannya tanda mengaku kalah. “Kita berdamai okey sayang?” ketawanya masih bersisa memandang Yasmeen yang muncung seperti itu. Comel sangat.
“Janji jangan usik Meen lagi?”

“Janji sayang.” Yasmeen dibawa ke dalam pelukannya. Ya Allah, berkatilah hidup isteri ku. Doa Adam berulang kali. Ada banyak rasa dalam hatinya yang susah hendak dijelaskan, dia akan terus mendoakan untuk Yasmeen setiap kali memandang wajah isterinya dan setiap kali dia merasai nikmat bahagia. 

Tuesday 10 March 2015

Ash (Bab 2) ~ RodieR

2
Headphone Boy
            Matanya melilau sekeliling, mencari tempat duduk kosong. Dia mengeluh perlahan. Penuh pulak perpustakaan hari ini. Dia sengih sendiri. Patut boleh agak la. Kan tengah study week. Siapa suruh datang lambat?
            Tiba-tiba pandangannya terhenti. Ada satu tempat kosong. Setentang dengan budak perempuan yang tengah tunduk dengan kepala sedikit terhinggut-hinggut. Dengar MP3 kut. Eh, kejap…
            Matanya mencerun.
            Oh.
            Dia mengeluh lagi. Boleh ke tak, agak-agak? Nak cuba ke tak?
            Separuh sedar kaki dah dihayun menuju satu tempat kosong itu.
            “Assalamualaikum.” Rendah dia menegur kepala yang sedikit terhinggut-hinggut itu.
            Kepala itu terhenti. Muka diangkat sedikit. Senyum nipis yang tak sampai ke pipi itu yang diterimanya sebelum wajah itu menunduk semula.
            Dia tayang sengih kelat pada si kawan di sebelah. “Kau orang belajar apa ni?”
            Ina menjulingkan mata padanya. “Respiratory la weh! Kan tu first paper.”
            “Oh.” Dia sengih lagi. “Patut la aku tengok kau dah semput semacam. Belajar fasal lelah dan ubatnya rupanya. Buat praktikal sekali ke?” Selamba dia mengusik sambil menjeling Mia yang masih menunduk di depannya.
            “Tak. Tapi kalau kau ada terasa nak ditersemputkan oleh aku, meh la sini, aku cekik tekak tu.” Dengan nada geram, Ina membalas, tajam matanya merenung.
            Pecah ketawanya. “Gerun aku. Gitu sekali kau orang belajar eh?” Dia menjeling sebelah lagi.
            “Kau nak apa sebenarnya ni?” Jelas sekali Ina dah hilang sabar.
            Laju dia mengangkat sebelah tangan, surrender. “Whoa! No offense meant. Usik sikit, marah. Macam mana la si Arif boleh sabar dengan kau ni?”
            Ina mencebik. “Hel-lo, dia bukan hantu mengusik macam kau!”
            Ketawanya makin kuat.
            Ina di depannya merengus.
            “Kau makin melayan si Nif-Cut tu, makin dia usik, Ina.” Tiba-tiba saja suara itu mencelah.
            Senyap. Bisu sekejap terasa dunia.
            Ina mencebik lagi padanya, spontan sengih.
Dia menala mata ke siling sesaat. “Aku nak join kau orang belajar, boleh? Meja lain dah penuh.” Keluar juga akhirnya niat sebenar dia ke situ, Mia di depan dipandangnya lagi.
            Gadis itu senyap, masih juga tunduk membaca.
            “Boleh je, kan Mia?” Ina pula yang menjawab soalannya, Mia di sebelah disiku perlahan.
            “Hm?”
            “Nif-Cut nak join kita belajar, boleh tak? Mia, aku pekik lagi sekali karang…”
            Mia berpaling. “Oh?” Muka diangkat juga memandangnya. Kemudian sejenak mata gadis itu menala sekeliling. Beku. Kosong. “La, duduk je la. Bukan kerusi atuk aku pun tu, kau nak kena mintak kebenaran.” Selamba dia berkata akhirnya.
            Ina di sebelah menggeleng kepala.
            Kerusi di depannya ditarik. Sekilas mengerling Ina yang tersenyum lembut memandangnya.
            “One step at a time.” Rendah gadis itu berbisik, memujuk.
            Dia angguk, senyum. “One step at a time.” Mia yang dah kembali tunduk dijelingnya lagi.

***

Headphone Girl
            “Erk?” Bulat matanya merenung kertas sekeping di tangan. What the…?
            “Ashraf!!!” Kuat akhirnya dia memanggil.
            Lelaki itu yang sedari tadi tersenyum sumbing di ceruk bilik tutorial itu pecah ketawa mendengar jeritannya.
            Laju dia menapak ke arah anak muda itu yang tertawa kecil, kertas sekeping di tangan digoyang-goyang. “Apa ni?”
            “Em… er… kertas?” Dengan sengih nakal, lelaki itu menjawab bodoh.
            Kaki dihentak kuat. “Ashraf, stop kidding around!”
            Tawa itu meletus lagi. “Seriously, Di. You really act like a spoiled baby.” And I even rhymed. Aha!
            Matanya terasa bagai keluar bebola api mencerlung lelaki yang tenang berdiri di depannya dengan senyum nakal itu di bibir. Sungguh terasa gatal tangannya nak menampar bersih that mocking smirk. “Shut up! Don’t call me baby! What the hell is this?!” Suaranya masih lagi memetir. “Seriously?!”
            Ashraf senyum, lembut. Taktik pencairan yang memang selalunya berkesan pun diguna untuk gadis yang sedang berasap, berapi biru di depannya itu. “Seriously, Di. Tau la you belajar TESL. Tapi, takkanlah invitation letter Bahasa Melayu pun dah tak faham nak baca?” Again, I rhymed. Ahaha!
            Dia merengus, kuat. Menyindir aku tak habis-habis mamat ni!
            “Bila aku applied nak join kem ni? Tak pernah pun!”
            Kem Kepimpinan Pelajar Universiti Satu Malaysia. Dibuat serentak di setiap negeri. Salah satu cara nak berhubung dengan pelajar-pelajar universiti lain dengan jurusan yang berbeza-beza. Hanya insan-insan terpilih saja yang dipilih. Kem dibuat di negeri asal masing-masing. Empat hari, tiga malam waktu cuti semester tak lama lagi.
            “Randomly picked la, Di. I tak ada kena-mengena pun.” Kening dijongket sebelah.
            “Kau pun terpilih ke?”
            Walau dah dua tahun mereka berkawan, dan Ashraf memang lekat membahasakan dirinya I-You, tapi dia masih selesa dengan aku-kau. Senang nak meletakkan batas-batasnya di situ. Walau hati terasa kembang setiap kali lelaki itu ‘berI-you’ dengannya dengan senyum lembut taktik pencairan yang boleh mengalahkan Casanova.
            Ashraf angguk. “Same venue as you la, baby. Seronok la nanti.”
            Itu lagi satu hal. Dia mencebik. Sejak si pakcik ni seorang tahu dia anak bongsu, dibantainya panggil dia baby ikut sesuka-sesuki hatinya aje. Penat dah marah. Dan penat sudah menahan warna mukanya daripada berubah.
            “Don’t baby-baby me. Cepuk karang.” Dia merengus lagi. “Kenapa venue macam ni? Kat negeri asal macam ni?”
            Ashraf menjongket bahu. “Nak bagi senang pergi kut.”
            Dia mencebik semula. “Ish, bosannya! Cuba la buat kat negeri lain-lain. Buat kat pulau ke. Kan ada thrill sikit?”

            “Penganjur tu tau ada anak bongsu macam you ni join kut. Takut nanti karang ada yang homesick, rindu rumah, baik buat dekat-dekat terus, senang nak…” Tak sempat habis ayatnya nak mengusik, kertas sekeping itu ditampar tepat mengena dahinya.