Friday 17 October 2014

Jiran Masam Manis (Bab 3) ~ Bunick Firdaus

Suria julurkan kepalanya terlebih dahulu sebaik sahaja dia melebarkan daun pintu. Selepas memastikan tiada sesiapa pun di laman sebelah, laju sahaja dia menyarungkan kasut dan mula mengunci pintu. Odah pagi-pagi lagi sudah keluar kerana perlu menghadiri seminar di Melaka. Kalau tidak, pasti sahaja Odah akan menjadi mangsa untuk mengunci pintu rumah dan juga pagar hadapan. Laju sahaja dia bergerak pagi itu, dari menghidupkan enjin kereta, kemudian membuka pintu pagar dan mengeluarkan kereta dari bawah garaj sehinggalah kembali mengunci pagar tanpa perlu  melihat kelibat orang sebelah.
Dia menarik nafas lega sebaik sahaja berada di dalam kereta selepas mengunci pintu pagar. Pagi ni dia agak terlambat keluar dari rumah, dikerlingnya jam pada dashboard kereta. Tepat jam tujuh lima belas minit pagi. Dia terlambat hampir lima belas minit dari waktu kebiasaan. Selalunya pada waktu ini keretanya sudah meluncur laju di atas jalanraya. Nasibnya baik kerana tidak terserempak dengan jiran yang agak menakutkan itu.
Dia tidak rela untuk bertembung dengan jiran sebelah yang pada pemikirannya mempunyai masalah mental. Dia sanggup keluar dari rumah sebelum matahari memancarkan sinarnya, dan pulang dari pejabat pula hanya selepas bulan mengambil alih tugas matahari. Sampai bila harus begitu? Dia sendiri pun tidak tahu. Tegakah dia untuk terus bertahan semata-mata hanya untuk mengelak dari bertembung jirannya? Dia malas nak fikir. Lets follow the flow! Kalau susah-susah sangat, berpindah adalah tindakan yang paling baik!
Papa pun satu, banyak-banyak rumah kat Kuala Lumpur kenapa mesti beli rumah kat Shah Alam? Okey, terpulang pada papa nak beli rumah kat mana pun, tapi kenapa mesti meminta dia tinggal di rumah itu? Sewakan sahaja rumah itu, habis cerita. Tak perlulah dia hidup dalam ketakutan berjirankan manusia-manusia pelik itu! Tapi, apa pula alasan yang perlu dia berikan pada papa dan mama sekiranya dia mahu berpindah keluar dari rumah itu? Penat unpacked barang-barang pun belum hilang lagi, sudah mahu berpindah? Pasti Odah akan sekeh dia sampai pengsan kalau dia utarakan hasrat untuk berpindah dari rumah itu. Masalah! Masalah! Masalah!
Tapi, betulkah masalah yang dihadapinya itu begitu kronik sehingga memaksa dia untuk berpindah dari rumah yang baru seminggu diduduki. Abaikan sahaja jiran yang aneh itu. Hidup sahaja seperti biasa. Lagipun dia bukan dua puluh empat jam sehari, tujuh hari seminggu ada di rumah. Waktu siang dia kerja, malam baru balik rumah. Hari minggu pula duduk je dalam rumah, tak pun pergi tengok wayang, shopping dan hang out dengan Odah. Tapi takkan lah nak hidup macam tu je? Bila masa pulak nak bersantai-santai kat rumah? Takkan tak nak keluar jemur baju? Pokok bunga mama yang bermacam jenis tu takkan tak nak siram? Mati dia kalau mama tahu pokok-pokok bunga kesayangan dia tu tak mendapat bekalan air secukupnya. Mama kalau pasal pokok bunga, papa lalu kat belakang pun dia tak  sedar.
Dalam sibuk berkhayal atau lebih tepat lagi berfikir mencari jalan penyelesaian, akhirnya Suria berjaya juga sampai di pejabatnya yang terletak di Subang Jaya dengan selamat. Seperti biasa sejak seminggu yang lalu, dia antara orang yang terawal meletakkan kenderaan di hadapan bangunan pejabat tempat dia bekerja. Perjalanan dari Shah Alam ke Subang Jaya hanya mengambil masa kurang setengah jam sahaja, dengan syarat jalan tidak sesak. Kalau sesak, jawabnya hampir satu jam juga akan berada di atas Lebuhraya Persekutuan itu.
Kalau dahulu jarak dari rumah sewa ke pejabatnya hanya mengambil masa lima belas minit sahaja. Tapi selepas berpindah masuk ke rumah yang baru dibeli oleh papa, jarak perjalanan semakin bertambah. Walaupun agak kurang setuju dengan cadangan papa supaya dia berpindah ke rumah itu, namun akhirnya dia akur juga dengan permintaan papa dan mama.
Diheretnya sekali Odah supaya tinggal dengannya. Sejujurnya, dia agak takut untuk menghuni rumah berkembar dua itu seorang diri. Lalu, Odah yang baru sahaja berpindah ke Kelana Jaya dijadikan mangsa untuk menjadi temah serumahnya. Nasib baik juga Odah masih belum mendapat rumah sewa, dan peluang itu diambil sepenuhnya oleh Suria. Odah yang sebelum ini bekerja di Pulau Pinang, baru sahaja ditukarkan ke Shah Alam selepas dinaikkan pangkat. Kebetulan yang cukup sempurna untuk Suria dan Odah!
Tok! Tok! Tok!
Ketukan pada cermin kereta mengejutkan Suria yang masih bersandar pada seat kereta. Dia matikan enjin selepas memastikan penghawa dingin dan sistem radio kereta sudah berada dalam posisi off. Pintu keretanya dibuka dari luar sebaik sabbaik sahaja auto lock terbuka. “Terima kasih,” Suria senyum kepada Hilman, ketuanya yang sedang berdiri di sebelah keretanya.
“Assalamualaikum Suria.” Hilman senyum balik kat Suria.
“Waalaikummussalam bos. Awalnya bos pagi ni.”
“Saya yang awal atau Suria yang lambat?”
Suria tengok jam pada pergelangan tangan kiri, sudah hampir jam lapan pagi. Patutlah ketuanya sudah sampai. “Saya lambat sikit pagi ni,” ujarnya sambil memperlahankan langkah. Dia agak tidak selesa untuk menyaingi langkah Project Manager atau lebih mesra disapa dengan panggilan bos di pejabat tapak syarikat pembinaan itu. Tahu-tahu sajalah radio buruk di pejabatnya pasti sahaja akan berbunyi andainya berita dia dan Hilman berjalan bersama-sama tersebar nanti.
Hilman yang menyedari langkah Suria semakin perlahan turut berhenti bila mendapati Suria sudah sedikit terkebelakang. “Suria takut ke nak jalan dengan saya? Takut kena gossip?” Hilman memasukkan kedua tangannya ke dalam kocek seluar.
“Taklah, mana ada saya takut.” jawab Suria dengan pantas.
“Kalau tak takut kenapa tak saing dengan saya?” soal Hilman lagi. Dia tahu sebenarnya Suria segan untuk berjalan bersama-sama dengannya. Bukan Suria sahaja, bahkan boleh dikatakan semua pegawai dan kakitangan bawahannya agak takut-takut untuk dekat dengannya. Garang sangat ke aku ni?
“Pakai kasut baru, sakit kaki. Sebab tu saya jalan perlahan je,” Suria pandang kakinya yang bersarung dengan heel setinggi dua inci itu. Nasib baik kasut Primavera itu masih kelihatan agak baru, kalau tidak pagi-pagi dah kantoi dengan bos!
Oh I see, mak saya cakap kalau beli kasut baru, sebelum pakai kita kena gigit kasut tu dulu sebelum dia gigit kaki kita,” Hilman panjangkan petua yang diberikan oleh arwah ibunya suatu waktu dahulu. Dia memperlahankan langkahnya bagi menyaingi Suria yang tertinggal di belakang.
Really Encik Hilman? Boleh percaya ke?” Suria menyoal ketuanya itu dengan penuh minat. Ini kali pertama dia mendengar petua yang agak lucu itu.
“Cubalah, belum try belum tahu kan?”
Suria menjuihkan bibirnya, baru tersedar yang ketuanya itu hanya main-main dengan petua kaki dan kasut itu.
I'm not lying. Saya dah pernah buat, it works.” Hilman yakinkan Suria yang tidak percaya dengan petua itu. Dia menekan butang lif sebaik sahaja mereka berdua sampai di lobi lif.
“Okey, only if you buy me the shoes,” Suria semakin selesa berbual dengan bosnya itu. Ternyata, Hilman bukanlah seorang ketua yang sukar didekati. Dia sendiri tidak tahu kenapa semua pekerja di bawah seliaan Hilman seakan takut untuk berbual dengan Hilman. Dan dia sendiri terikut-ikut dengan momokan itu, langsung turut menjarakkan dirinya dari Hilman. Mereka hanya akan berinteraksi tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan pejabat sahaja. Tiada masa untuk berborak-borak kosong. Mungkin juga kerana Hilman itu baru sahaja ditukarkan ke pejabat tapak yang terletak di Subang Jaya itu. Belum pun sampai tiga bulan lagi Hilman mengisi kerusi Project Manager yang dokosongkan oleh Haji Fauzi setelah ketua lamanya itu diserang strok. Akan dia khabarkan kepada kawan-kawan pejabatnya tentang penemuan baru ini! 
“Awak ni memang suka berangan ye?” Soalan Hilman menyentap lamunan Suria.
“Mana ada bos, Mat Jenin je yang suka berangan,” Suria sengih, cover malu sebenarnya.
“Tak salah kalau nak berangan, cuma jangan tinggi sangat sebab kalau jatuh nanti tak adalah sakit sangat. Lagi satu, angan-angan je tak cukup kalau tanpa usaha.” Hilman kedengaran seperti pakar motivasi yang sering keluar di kaca televisyen je.
“Betul tu bos, tapi apa salahnya kalau kita angankan sesuatu yang sangatlah mustahil untuk kita dapat. Tak dapat betul-betul, dapat dalam angan-angan pun jadilah.”
“Berangan tu dah masuk dalam kategori aktiviti lagha tau tak? Ye lah, kalau dah asyik berangan je, satu apa pun tak jadi. Masa terbuang macam tu aje.”
“Wah bos, dah boleh buat part time jadi motivator ni.” usik Suria. Langkahnya diperlahankan sebaik sahaja pintu lif sudah terbentang di depan mata. Diperhatikan sahaja Hilman yang pantas menekan butang lif.
“Saya tak ada bakat nak convince orang lain. Lagipun muka saya ni agak menakutkan okey!” Hilman sudah tergelak kecil dengan kenakalan Suria itu.
“Saya gurau jelah boss. Don't take it seriously.” Suria sudah masuk ke dalam lif  sebaik sahaja pintu lif terbuka. Perbualan mereka terhenti apabila memasuki lif yang hampir penuh dengan pekerja-pekerja lain.

Hilman memerhatikan lenggok Suria keluar dari lif setelah mereka sampai di tingkat lapan. Dia langsung tidak berpeluang untuk menggamit Suria untuk berjalan dengannya. Dia akhirnya melangkah perlahan-lahan sambil melihat kelibat Suria yang makin menghilang. Jujur dia akui, dia tertarik dengan keperibadian Suria yang ceria itu. Ada rasa aneh yang menyelinap di celahan jiwanya sebentar tadi. Sekilas, dia teringatkan Elena. Gadis pilihan ibunya yang cukup membuatkan dia rasa serba salah. Rimas!

1 comment: